#5881: Penghidap Heterokromia Mengubah Warna Mata kerana Salah Satunya Berbeza

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika ada seseorang yang dilahirkan dengan warna mata yang berbeza, misalnya sebelah berwarna kekuningan dan sebelah lagi berwarna kebiruan, maka apakah hukumnya mengubah warna mata dengan pembedahan laser, dan menjadikan kedua-dua warnanya sama jika boleh? Apakah hukumnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Heterokromia

Ringkasnya, seseorang yang memiliki mata dengan dua warna yang berbeza dipanggil sebagai heterokromia. Heterokromia ialah apabila anda mempunyai mata berwarna berbeza atau mata yang mempunyai lebih daripada satu warna. Selalunya, ia tidak menyebabkan sebarang masalah. Ia selalunya hanya disebabkan oleh gen yang diwarisi daripada ibu bapa anda atau oleh sesuatu yang berlaku semasa mata anda sedang terbentuk. Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menjadi gejala keadaan perubatan. Heterokromia adalah biasa dalam beberapa haiwan tetapi jarang berlaku pada manusia. Ia menjejaskan kurang daripada 200,000 orang di Amerika Syarikat.

Iris mendapat warnanya daripada pigmen yang dipanggil melanin. Ia yang menjadikan mata anda biru, hijau, coklat, atau hazel. Kurang melanin menghasilkan warna mata yang lebih cerah. Lebih banyak melanin menghasilkan mata yang lebih gelap. Tiada gejala lain bagi heterokromia.

Seseorang penghidap heterokromia hanya memerlukan rawatan sekiranya faktor kesihatan merupakan penyebab kepada heterokromia tersebut. Jika tidak, ia tidak memerlukan rawatan kerana ia bukanlah suatu masalah kesihatan.[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya kami katakan bahawa diharuskan untuk menjalankan pembedahan laser bagi mengubah warna mata, jika ia bertujuan untuk membetulkan kecacatan kongenital, atau menghilangkan kecacatan yang menyebabkan seseorang mengalami gangguan psikologi atau fizikal, seperti seseorang yang dilahirkan dengan mata yang berbeza warna.

Adapun jika perubahan warna mata semata-mata untuk tujuan penambahbaikan dan kecantikan tambahan semata-mata, dan tiada kecacatan pada kedua-duanya, maka hal itu tidak dibenarkan; kerana ia termasuk dalam mengubah ciptaan manusia yang sempurna.

Hal ini kerana, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Bahkan ini juga adalah sebagaimana keputusan yang telah dikeluarkan oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami di mana mereka menetapkan bahawa:

Pertama: Syarak membenarkan untuk menjalankan pembedahan kosmetik yang diperlukan dan dikehendaki yang bertujuan:

  • Mengembalikan bentuk anggota badan kepada keadaan asalnya yang diciptakan oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman-Nya:

لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍۢ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

(Surah al-Tin: 4)

  • Mengembalikan fungsi asal anggota badan.
  • Memperbaiki kecacatan kelahiran seperti bibir sumbing, kelainan bentuk hidung yang teruk, tanda lahir, jari dan gigi yang berlebihan, serta jari yang melekat, jika kewujudannya menyebabkan gangguan fizikal atau psikologi yang ketara.
  • Memperbaiki kecacatan yang diperoleh akibat luka bakar, kemalangan, penyakit, dan seumpamanya, seperti pemindahan dan cantuman kulit, pembentukan semula payudara sepenuhnya jika ia dikeluarkan, atau sebahagiannya jika saiznya terlalu besar atau kecil sehingga menyebabkan masalah kesihatan, dan penanaman rambut sekiranya rambut gugur, terutamanya bagi wanita.
  • Menghilangkan kecacatan yang menyebabkan seseorang mengalami gangguan psikologi atau fizikal.

Kedua: Tidak dibenarkan untuk menjalankan pembedahan kosmetik yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan, yang bertujuan mengubah ciptaan manusia yang sempurna menurut hawa nafsu dan keinginan untuk meniru orang lain, seperti pembedahan mengubah bentuk wajah untuk kelihatan dengan penampilan tertentu, atau dengan tujuan penipuan dan mengelirukan keadilan, mengubah bentuk hidung, membesarkan atau mengecilkan bibir, mengubah bentuk mata, dan membesarkan pipi.

Selain itu, kami juga pernah menjawab soalan seumpama ini berkenaan mengubah warna mata melalui kaedah pembedahan dengan cara laser, yang dipanggil sebagai “keratopigmentation.” Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tambahan berkenaannya, bolehlah merujuk artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Keratopigmentasi.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.webmd.com/eye-health/heterochromia-iridis. Diakses pada 30 Mei 2024.