#5882: Tidak Pasti Terpijak Tapak Kaki Lembu atau Babi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada program hiking di kem dalam kawasan perkampungan dalam hutan. Masa dalam perjalanan, saya melalui kawasan becak dan nampak ada kesan tapak kaki (tetapi tidak tahu tapak kaki lembu atau babi) dan saya tidak memijak tapak kaki itu. Cuma pijak kawasan lecak tersebut. Saya teruskan perjalanan sampai habis aktiviti hiking tersebut. Dekat kawasan hiking tu juga ada kandang lembu dan saya bertanya kepada orang yang guide hiking tu, dia kata memang lembu melalui kawasan situ untuk makan, dan ada juga babi sebab itu kawasan hutan. Jadi saya tidak pasti adakah ia tapak kaki babi atau lembu. Boleh ke saya beranggapan itu adalah tapak kaki lembu sebab ada kandang lembu dan lembu memang lalu situ. Adakah kasut saya telah dikira bersih sebab berjalan di tanah teruskan hiking. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa ia termasuk dalam umum al-balwa. Seperti yang diketahui umum, lafaz umum al-balwa merupakan gabungan daripada dua perkataan iaitu umum dan balwa. Umum dari segi bahasa berasal daripada perkataan (عمّ) yang bermaksud syumul (menyeluruh) dan mengumpul, manakala perkataan al-Balwa pula merupakan pecahan daripada perkataan al-bala’ yang bermaksud ikhtibar (ujian). (Lihat Tajj al-Arus, 325/2)

Sementara itu, pengertian umum al-balwa dari segi syarak pula bermaksud sesuatu yang berleluasanya sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya. (Lihat Nazariyah al-Darurah al-Syar‘iyah, hlm. 123)

Selain itu, menurut Muslim al-Dusari, Umum al-Balwa bermaksud, isu yang berlaku secara menyeluruh ke atas orang mukalaf atau keadaan orang mukalaf yang terikat dengan pertanggungjawaban tertentu berkenaan isu tersebut, serta wujud kesukaran menghindarinya atau tidak mampu menghilangkannya melainkan dengan bertambah kesulitan yang memerlukan kemudahan dan keringanan. (Lihat Umum al-Balwa: Dirasah Nazariyah Tatbiqiyah, hlm. 61).

Oleh itu, tidak mengapa jika terpijak tapak kaki mahupun becak di kawasan berhampirannya, dan selagi mana tidak jelas terdapatnya tanda-tanda najis padanya yang diyakini memang daripada babi, maka kasut itu juga tidak perlu untuk disertu.

Ini bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” ( Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Tambahan lagi, al-Sa‘di juga ada menyebutkan kaedah:

والأَصْلُ في مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ

                        “Asal bagi air kita adalah suci bersih.

                                                              Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”

Syeikh Hamad bin Abdullah mensyarahkan kaedah ini dengan menyatakan bahawa makna kaedah ini ialah hukum asal bagi air, tanah, pakaian dan batu adalah suci bersih. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3).

Justeru, selagi mana tidak diyakini atau terdapatnya syak berkenaan tapak kaki tersebut, tidak pasti sama ada ia tapak kaki babi ataupun lembu, maka ia kembali kepada hukum asalnya yang diyakini — yakni yang pasti — iaitu suci dan tidak bernajis. Firman Allah SWT:

إنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesungguhnya zan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.

(Surah Yunus: 36)

Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan, sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan.(Lihat al-Jami‘ al-Bayan, 15/89).

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Suatu hukum yang dibina dengan keyakinan tidak akan dihilangkan hanya kerana keraguan.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 50).

Begitu juga kaedah:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ والْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Asal (hukum) sesuatu perkara adalah kekal mengikut keadaan sebelumnya dan perkara yang sudah diyakini tidak boleh hilang dengan sebab keraguan.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 47-49)

Tambahan pula, kasut mahupun selipar yang sentiasa digunakan seharian boleh disucikan secara tidak langsung apabila terkena padanya tanah, air mahupun rumput. Tapak kasut atau selipar yang disapu pada tanah dapat menyucikannya. Hal ini berdasarkan  riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya  (dengan tanah) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.”

Riwayat  Abu Daud (650)

Ibn Ruslan menyatakan, perkataan “الْأَذَى” dari segi bahasa bermaksud yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72).

Hadith tersebut menunjukkan sapuan selipar atau sepatu pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering. (Lihat Subul al-Salam, 1/137). Justeru, dapat difahami bahawa tapak  kasut  yang terkena najis yang nyata akan hilang kesannya dengan sebab disapu oleh tanah.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa kasut tersebut masih lagi dikira bersih daripada najis selama mana tidak nampak padanya ‘ain najasah dan tanda-tandanya yang nyata lagi zahir.

Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Apatah lagi, kasut yang digunakan itu, secara tidak langsung boleh disucikan apabila terkena padanya tanah, air mahupun rumput.

Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang. Justeru, kami nyatakan di sini supaya meninggalkan keraguan dan mengambil sikap tidak peduli terhadapnya. Diriwayatkan daripada  Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”