#5885: Menanam Tulang Haiwan Korban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah selepas memasak daging korban, tulang tersebut wajib ditanam dan haram dibuang begitu saja? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, memakan daging korban hendaklah dibezakan di antara korban tersebut merupakan korban sunat, korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban. Jika ia adalah korban sunat maka dibolehkan baginya untuk memakan daripada daging korban itu berdasarkan kaedah qiyas ke atas al-Hady (الهَدْيُ). Firman Allah SWT mengenainya:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu.”

(Surah al-Hajj: 36)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjadikannya untuk kita (yakni manusia), dan bagi manusia pula, dia boleh memilih untuk memakannya atau meninggalkannya. Akan tetapi dia disunatkan untuk memakan sebahagian daripada daging korban sunat tersebut. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

Maksudnya: “Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta dengan tangannya, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali untuk menyembelih haiwan yang berbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.”

Riwayat Muslim (1218)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami ingin menyatakan bahawa tulang dari daging korban yang telah dimasak tidak mempunyai keistimewaan khusus. Ia sebenarnya hanya seperti tulang-tulang dan sisa-sisa lain. Oleh itu, tidak menjadi kewajipan untuk menanam atau melakukan apa-apa tindakan khusus terhadap tulang tersebut selain daripada apa yang biasanya dilakukan terhadap sisa-sisa lain. Namun, kami berpendapat bahawa lebih baik jika sisa tulang tersebut ditanam sekiranya tidak dimanfaatkan bagi menjaga kebersihan disamping ada yang berpandangan  bahawa tulang adalah makanan bagi makhluk jin.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A:

أَنَّهُ كَانَ يَحْمِلُ مَعَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – إِدَاوَةً لِوَضُوئِهِ وَحَاجَتِهِ ، فَبَيْنَمَا هُوَ يَتْبَعُهُ بِهَا فَقَالَ « مَنْ هَذَا » . فَقَالَ أَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ . فَقَالَ « ابْغِنِى أَحْجَارًا أَسْتَنْفِضْ بِهَا ، وَلاَ تَأْتِنِى بِعَظْمٍ وَلاَ بِرَوْثَةٍ » . فَأَتَيْتُهُ بِأَحْجَارٍ أَحْمِلُهَا فِى طَرَفِ ثَوْبِى حَتَّى وَضَعْتُ إِلَى جَنْبِهِ ثُمَّ انْصَرَفْتُ ، حَتَّى إِذَا فَرَغَ مَشَيْتُ ، فَقُلْتُ مَا بَالُ الْعَظْمِ وَالرَّوْثَةِ قَالَ « هُمَا مِنْ طَعَامِ الْجِنِّ ، وَإِنَّهُ أَتَانِى وَفْدُ جِنِّ نَصِيبِينَ وَنِعْمَ الْجِنُّ ، فَسَأَلُونِى الزَّادَ ، فَدَعَوْتُ اللَّهَ لَهُمْ أَنْ لاَ يَمُرُّوا بِعَظْمٍ وَلاَ بِرَوْثَةٍ إِلاَّ وَجَدُوا عَلَيْهَا طَعَامًا

Maksudnya: Bahawa beliau pernah membawa sedikit air sahaja untuk kegunaan Rasulullah SAW bagi berwuduk dan hajatnya yang lain. Tatkala dia menghampiri Rasulullah SAW, Baginda SAW bertanya: “Awak siapa?” “Saya… Abu Hurairah”.”Tolong dapatkan aku beberapa ketul batu untuk beristinjak dengannya. Tapi jangan bawakan tulang dan ketul-ketul tahi binatang” ujar Rasulullah S.A.W Maka aku pun membawa beberapa ketul batu yang diisi dalam bajuku sehinggalah sampai ke tempat Rasulullah S.A.W., lalu aku letakkan batu tersebut ditepinya. Selepas itu aku berlalu pergi. Apabila baginda telah selesai menunaikan hajatnya dan ketika itu aku berjalan bersama-samanya, aku pun bertanya kepada baginda S.A.W.: “Apa kenanya dengan tulang dan ketulan tahi binatang itu?” Jawab Rasulullah S.A.W.: “Kedua-duanya adalah makanan makhluk jin. Dan sesungguhnya makhluk tersebut pernah menghantar satu delegasi kepadaku bertujuan meminta supaya aku menentukan makanan mereka. Aku pun kemudiannya berdoa kepada Allah S.W.T., Jadi tidaklah mana-mana tulang serta tahi binatang ternakan yang mereka temui melainkan ianya menjadi makanan mereka.”

Riwayat al-Bukhari ( 3860)

Syeikh Soleh al-Uthaimin menyatakan bahawa: Tulang itu merupakan makan bagi makhluk jin sekiranya ia dari haiwan yang disembelih. (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail al-Uthaimin, 11/112)

Justeru kami berpandangan, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya tidak ditanam dan dimanfaatkan tulang tersebut atau dibuang begitu sahaja. Namun adalah lebih baik untuk ditanam sekiranya ia tidak dimanfaatkan bagi menjaga kebersihan dan mengelakkan daripada sebarang kemudaratan serta bau yang tidak menyenangkan serta mengalak daripada terdedahnya kepada mahkluk-makhluk yang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam.