#5909: Syarat dan Fadilat Taubat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat syarat taubat dan fadilat taubat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225 )

Allah SWT juga berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.

(Surah Hud: 3)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, dan aku memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut, dan kamu tetap dan berterusan atas hal yang demikian.(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/411)

Secara asasnya, syarat sesuatu taubat itu diterima adalah dengan memenuhi tiga perkara iaitu:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat yang telah dilakukan
  • Menyesal dengan sepenuh hati terhadap maksiat yang dilakukan
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Talah dinyatakan dalam Taujihat Islamiyyah bahawa syarat taubat itu diterima adalah dengan tujuh perkara:

  • Ikhlas iaitu mesti taubat itu dilakukan ikhlas kerana Allah SWT bukan disebabkan yang lain
  • Menyesal atas apa yang dilakukan daripada dosa maksiat
  • Meninggalkan maksiat yang dilakukan
  • Berazam tidak mengulanginya lagi
  • Memohon keampunan daripada dosa yang dilakukan sekiranya melibatkan hak-hak Allah
  • Menunaikan hak-hak ke atas manusia
  • Hendaklah taubat tersebut dilakukan ketika masih hidup.(Lihat Taujihat Islamiyyah,113)

Manakala antara fadilat dan kelebihan taubat pula ialah:

  • Mendapat kasih sayang Allah SWT
  • Menyucikan jiwa dari sebarang dosa dan kesilapan
  • Dimurahkan rezeki

Firman Allah:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

(Surah Nuh: 10-12)

Al-Qurtubi berkata: Dalam ayat ini juga, disebutkan dalam ‘وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ’ (Dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya) [Surah Hud: 3], dan ia merupakan dalil yang menunjukkan bahawa istighfar adalah salah satu wasilah memohon diturunkan rezeki dan hujan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/302)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, jika kamu bertaubat kepada Allah, memohon ampun kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan membanyakkan rezeki kamu, menurunkan air hujan serta keberkatan dari langit, mengeluarkan keberkatan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kamu, melimpahkan air perahan susu untuk kamu, membanyakkan harta dan anak-anak untuk kamu, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan untuk kamu, dan mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/449)

  • Dapat mengangkat bala daripada manusia
  • Taubat membawa kepada ketenangan jiwa

Inilah sebahagian daripada fadilat taubat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”