#5911: Zinnirah; Sahabat dalam Kalangan Wanita

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz terangkan secara ringkas biodata seorang sahabat dalam kalangan wanita yang bernama Zinnirah? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para sahabat adalah generasi terbaik yang pernah ada di dalam sejarah islam. Mereka merupakan generasi yang terawal memeluk Islam dan membantu penyebaran Islam ke seluruh alam. Kemuliaan para sahabat disebutkan sendiri oleh Nabi SAW. Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu).

Riwayat Muslim (6632)

Bahkan Allah SWT  meredhai mereka dan ia dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah : 100)

Al-Syaukani menyebut bahawa Allah redha terhadap amalan ketaatan yang ikhlas yang dilakukan oleh mereka. Dan mereka juga redha terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah terhadap yang tidak terlintas di sanubari mereka dan tidak terfikir oleh akal. Redha daripada Allah merupakan darjat yang tertinggi dan merupakan kemuliaan yang teragung. (Lihat Fath al-Qadir, 2/386).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, Zinnirah R.Anha termasuk dalam kalangan sahabat yang terawal memeluk agama Islam. Selain itu, beliau termasuk dalam kalangan mereka yang diseksa kerana beriman kepada Allah SWT. Abu Jahal telah menyeksanya, dan beliau tergolong dalam kalangan tujuh orang hamba yang dibeli oleh Abu Bakar al-Siddiq bagi menyelamatkan mereka daripada diseksa oleh tuan mereka.

Al-Waqidi meriwayatkan daripada hadith Hassan bin Thabit, katanya: “Aku menunaikan haji ketika Nabi Muhammad SAW mengajak orang ramai kepada Islam, dan para sahabatnya diseksa. Aku melihat ‘Amr menyeksa seorang hamba perempuan dari Bani ‘Amr bin al-Mu’ammal, kemudian dia pergi pula kepada Zinnirah dan melakukan perkara yang sama terhadapnya.

Manakala al-Fakihi ada meriwayatkan daripada Muhammad bin Abdullah bin Yazid al-Muqri, dan Ibn Mandah daripada sanad yang lain, daripada Ibn al-Muqri, daripada Ibn ‘Uyainah, daripada Sa‘d bin Ibrahim, katanya: “Zinnirah adalah seorang wanita Rom, lalu beliau telah memeluk agama Islam lalu penglihatannya hilang. Maka orang-orang musyrik pun berkata: ‘Dia telah dibutakan Lata dan ‘Uzza.’ Maka, beliau menjawab: ‘Sesungguhnya aku telah kufur terhadap Lata dan ‘Uzza,’ lalu Allah SWT mengembalikan penglihatannya.”

Muhammad bin Uthman bin Abu Syaibah meriwayatkan dalam kitabnya, al-Tarikh daripada riwayat Ziyad al-Bakka’i, daripada Humaid, daripada Anas, katanya: “Ummu Hani’ binti Abu Talib berkata kepadaku bahawa Abu Bakar memerdekakan Zinnirah, dan penglihatannya hilang ketika beliau dimerdekakan. Maka orang Quraisy pun berkata: ‘Tidaklah penglihatannya hilang melainkan disebabkan Lata dan ‘Uzza.’ Lalu beliau berkata: ‘Mereka berbohong, demi Allah, Lata dan ‘Uzza tidak dapat memberikan sebarang manfaat mahupun mudarat,’ maka Allah SWT mengembalikan penglihatannya.” (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/150-151).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)