#5921: Mewakafkan Harta Pemilikan Bersama

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada seorang hamba Allah yang bercadang mewaqafkan bahagian pemilikan beliau (anggaran 60%) dari tanah, beserta perniagaan dan hasilnya kepada sebuah Madrasah Quran bagi membiayai kos bulanan pengurusan Madrasah tersebut.

  1. Apakah hukum mewaqafkan harta pemilikan bersama (bukan pemilikan tunggal beliau, di mana pemilik lain tidak ingin mewaqafkan harta tersebut?
  2. Dan apakah pelaksanaan terbaik untuk mewaqafkan harta serta perniagaan tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrif wakaf terlebih dahulu. Wakaf  pada bahasa bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصَرُّفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وِزَارًةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya:Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.” (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376)

Menurut Mazhab Hanafi pula, wakaf bermaksud menahan sesuatu aset atau harta yang sah pemilik pewakaf dan bersedekah manfaatnya ke jalan kebajikan. (Lihat Syarh Fath al-Qadir ‘ala al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi’, 5/416)

Pendapat dua sahabat Abu Hanifah serta difatwakan di dalam mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali menyatakan: Wakaf ialah menahan barangan serta harta yang boleh dimanfaatkan serta kekal asetnya dengan memutuskan guna pakai ke atas aset itu dari pihak pewakaf atau lainnya ke arah kegunaan yang harus atau diguna pakai penghasilannya ke arah kebaikan dan kebajikan kerana mendampingkan diri kepada Allah. (Lihat Sharh Mukhtasar al-Karkhi, 4/268)

Wakaf di sisi mazhab Maliki pula tidak memutuskan hak pemiliknya pada aset yang diwakafkan, hanya memutuskan hak guna pakai sahaja. Dengan erti kata lain, menyedekahkan manfaat sesuatu harta selama mana harta itu wujud dan kekal pemilikan harta tersebut kepada pewakaf secara taqdiri dengan satu aqad (lafaz ijab) mengikut kehendak pewakaf. (Lihat Hashiyah ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani Li Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, hlm. 210) Dengan itu, pemilik menjadikan manfaat yang dimilikinya sekalipun dimiliki dengan menyewa ataupun dijadikan penghasilan seumpama wang kepada yang memerlukan dengan jalan berlafaz untuk jangka masa yang ditetapkan oleh pewakaf.

Secara ringkas, wakaf boleh difahami sebagai menahan harta benda yang kekal ainnya (zatnya) yang boleh diambil atau digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan dan diserahkan ke tempat atau pihak yang ditentukan, serta terhalang daripada boleh digunakan secara berleluasa terhadap benda yang diwakafkan dan dimanfaatkan itu dengan harapan ianya dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Dalil Pensyariatan Wakaf

Wakaf adalah suatu amalan yang telah disyariatkan, bahkan ia merupakan salah satu cara mendekatkan diri dengan Allah. Amalan ini sangat digalakkan oleh syarak. Al-Quran dan al-Sunnah telah menyebut dalil-dalil yang memperakui amalan ini.

Kami kemukakan dalil-dalil pensyariatannya seperti berikut:

Pertama: Daripada al-Quran

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.

 (Surah ali-Imran: 92)

Terdapat satu kisah yang menarik berkaitan reaksi sahabat apabila diturunkan sahaja ayat di atas. Dalam satu hadis Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW: “…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…”

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

بَخٍ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Wah, itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu), itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu). Aku telah mendengar apa yang engkau katakan tentangnya, dan sesungguhnya aku berpendapat agar engkau menjadikannya (memberikannya) buat kaum kerabatmu.”

Riwayat al-Bukhari (2769)

Setelah itu, Abu Talhah pun menyedekahkan harta tersebut kepada keluarganya. Kata perawi: “Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.”

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

قُلْ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيْرٍ مِّن ذَٰلِكُمْ ۚ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah. Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.

(Surah ali-Imran: 15)

Kedua: Daripada al-Sunnah

Melalui sunnah pula, terdapat beberapa hadis berhubung isu wakaf ini, antaranya adalah seperti hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadis ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 3/89)

Manakala dalam satu riwayat daripada, Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَصَابَ أَرْضًا بِخَيْبَرَ، فَأَتَى النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَسْتَأْمِرُهُ فِيهَا، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّى أَصَبْتُ أَرْضًا بِخَيْبَرَ، لَمْ أُصِبْ مَالاً قَطُّ أَنْفَسَ عِنْدِى مِنْهُ، فَمَا تَأْمُرُ بِهِ قَالَ: إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا. قَالَ: فَتَصَدَّقَ بِهَا عُمَرُ: أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ، وَتَصَدَّقَ بِهَا فِى الْفُقَرَاءِ وَفِى الْقُرْبَى، وَفِى الرِّقَابِ، وَفِى سَبِيلِ اللَّهِ، وَابْنِ السَّبِيلِ، وَالضَّيْفِ، لاَ جُنَاحَ عَلَى مَنْ وَلِيَهَا أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ، وَيُطْعِمَ غَيْرَ مُتَمَوِّلٍ

Maksudnya:Umar bin al-Khattab RA telah menerima sebidang tanah di Khaibar lalu beliau menemui Nabi SAW dan bertanya apa yang sepatutnya dilakukan dengan harta itu. Beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, aku telah menerima sebidang tanah di Khaibar. Aku tidak pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang patut aku lakukan dengannya.” Sabda baginda: “Sekiranya mahu, engkau wakaflah ia dan sedekahlah hasilnya.” Ibnu Umar R.Anhuma berkata lagi: “Lalu Umar sedekahkan tanah ini sambil berkata: Ini sama sekali tidak akan dijual atau dihadiahkan atau diwariskan. Hasilnya akan disedekahkan kepada fakir miskin, kaum keluarga, hamba-hamba, orang yang berada di jalan Allah, ibnu sabil dan tetamu. Tidak salah bagi penjaga tanah tersebut memakan hasilnya atau pun memberi makan orang lain tanpa menyimpan harta.”

Riwayat al-Bukhari (2586) dan Muslim (1632)

Sebagaimana yang diketahui bahawa tindakan Umar RA ini merupakan wakaf yang dilakukan di dalam Islam. Amalan wakaf telah menjadi budaya di kalangan para sahabat sehinggakan Jabir RA pernah berkata: “Tidak ada seorangpun di kalangan sahabat yang berkemampuan tetapi tidak mewakafkan hartanya.” (Lihat al-Tahjil fi Takhrij Ma Lam Yakhruj min al-Ahadith wa al-Athar fi Irwa’al-Ghalil, hlm. 251)

Menjawab persoalan di atas, kami membahagikan masalah ini kepada dua situasi:

Pertama: Situasi di mana tanah, perniagaan serta hasilnya telah dibahagikan dengan jelas setiap bahagian tersebut kepada setiap pemilik hak, maka tidak menjadi masalah untuk diwaqafkan harta dengan anggaran 60% tersebut kepada mana-mana pihak. Asas yang dalam perbahasan waqaf adalah 4 rukun yang berikut:

  1. al-Waqif (الوَاقِفُ): Iaitu orang yang melakukan waqaf.
  2. al-Mauquf (المَوْقُوفُ): Harta yang diberikan sebagai waqaf.
  3. al-Mauquf ‘alaih (المَوْقُوفُ عَلَيْهِ): Pihak yang menerima harta waqaf tersebut.
  4. al-Sighah (الصِّيغَةُ): Lafaz waqaf.

Isu mewaqafkan harta yang melibatkan ramai pemilik ini, ia perlu kembali kepada syarat-syarat bagi al-Mauquf, iaitu status harta yang ingin diberikan sebagai waqaf. Salah satu syarat bagi harta ini adalah ia mesti dimiliki oleh orang yang melakukan waqaf tersebut, dengan pemilikan yang mengharuskan dia untuk membuat tukar milik serta memperolehi faedah dan manfaat darinya. Tanah dan perniagaan tersebut, setiap darinya termasuk dalam harta yang boleh alih (perniagaan) dan tidak dapat dialih (tanah), kedua-duanya harta yang dikongsi tetapi dapat dibahagikan. Maka tidak menjadi masalah di dalam Mazhab al-Syafi‘i untuk diberikan bahagian 60% tersebut sebagai waqaf. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/16; Mughni al-Muhtaj, 3/525)

Kedua: Situasi di mana tanah itu tidak dibahagikan terlebih dahulu. Harta pemilikan bersama bagi harta tidak alih ini boleh diwaqafkan sebahagian milik al-waqif sebagaimana yang disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafi‘iyyah. Harta ini disebutkan sebagai al-musya‘ (المُشَاعُ), dan ia harus untuk diwaqaf berdasarkan hadith ‘Umar bin al-Khattab R.A. Beliau pernah berkata kepada Rasulullah SAW:

إِنَّ المِائَةَ سَهْمٍ الَّتِي بِخَيْبَرَ، لَمْ أَصِبْ مَالًا قَطُّ أَعْجْبُ إِلَيَّ مِنْهَا، قَدْ أَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهَا. فَقَالَ النَّبيُّ ﷺ: احْبِسْ أَصْلَهَا وسبِّلْ ثَمَرَتَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya 100 saham (bahagian) milikku di Khaibar, tidak pernah aku dapatkan sama sekali yang lebih aku kagumi daripadanya, akan aku sedekahkan. Rasulullah SAW bersabda: ‘Tahanlah (waqafkanlah) tanahnya dan sedekahkanlah buahnya’.”

Riwayat al-Nasa’ie (3603)

Akan tetapi, pemilik bersama yang lain berhak untuk menuntut semula harta tersebut dengan cara al-syuf‘ah (الشُّفْعَةُ). Ia merupakan hak untuk memiliki sesuatu sekalipun dengan cara paksaan, yang diberikan kepada pemilik bersama lama untuk mengambil bahagian yang dimiliki oleh pemilik bersama baharu, dengan membayar suatu imbalan bagi mendapatkan hak tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/351)

Hak ini thabit dalam hadith Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

قَضَى رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالشُّفْعَةِ فِي كُلِّ مَالٍ لَمْ يُقْسَمْ، فَإِذَا وَقَعَتْ الْحُدُودُ وَصُرِّفَتْ الطُّرُقُ فَلَا شُفْعَةَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menetapkan syuf‘ah pada harta yang belum dibahagikan. Namun setelah ditandakan sempadan dan dibahagikan jalan, maka tiada lagi syuf‘ah.”

Riwayat al-Bukhari (2138) dan Muslim (1608)

Dalam erti kata lain, harta yang diwaqafkan itu boleh dituntut semula oleh pemilik bersama secara mandatori dengan cara bayaran. Oleh itu, kami cadangkan agar dicapai kata sepakat dan persetujuan sebelum bertindak mewaqafkan harta tersebut. Inilah bentuk mu‘amalat yang dihalalkan oleh Allah SWT, sepertimana disebutkan dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Dr Hussam al-Din ‘Affanah berkata: “Kaedah mengenai keharusan sesuatu perkara berkaitan mu‘amalat adalah berdasarkan perkataan (إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡ) yang bermaksud ‘kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu’, manakala dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut adalah daripada perkataan (لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ) yang bermaksud ‘janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah’.” (Lihat Yas’alunaka ‘An al-Mu‘amalat al-Mu‘asarah, hlm. 89)

Berkenaan dengan perlaksanaan terbaik untuk mewaqafkan harta tersebut, seperti yang telah kami cadangkan, hendaklah mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada semua pihak. Namun sekiranya tidak mendapat persetujuan, maka boleh untuk mewaqafkan hasil bahagiannya yang diperoleh selepas dibahagikan harta tersebut mengikut bahagian setiap pemilik.

Rundinglah dengan cara baik berdasarkan keuntungan bersama antara yang ingin mewakaf dan yang tidak ingin mewakaf, serta melihat kepada risiko yang wujud. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)