#5923: Waktu Solat Zohor Bagi Wanita Pada Hari Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bilakah waktu wanita mengerjakan solat zohor pada hari Jumaat. Sebaik selesai azan zohor atau selepas solat jumaat? ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak yang wajib hukumnya ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf serta salah satu daripada syiar agama Islam. Begitu banyak nas syarak yang menunjukkan kepada pensyariatan solat Jumaat serta larangan yang tegas ke atas mereka yang meninggalkannya dengan sengaja. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198).

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/159).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan kaum wanita tidak diwajibkan baginya untuk menunaikan solat Jumaat sebagaimana yang diwajibkan ke atas lelaki. Oleh yang demikian, mereka diwajibkan mendirikan solat zohor sebagaimana hari-hari yang lain.

Diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “(Solat) Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap muslim secara berjamaah melainkan empat orang: Hamba, orang perempuan, kanak-kanak, atau orang yang sakit.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Orang perempuan tidak diwajibkan untuk hadir menunaikan solat Jumaat, kerana faktor berikut: Kerana kesibukan mereka dalam menjaga anak-anak serta urusan-urusan rumah, serta terhasilnya masyaqqah (kepayahan) buat mereka sekiranya diwajibkan hadir ke tempat tertentu pada waktu yang tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/201).

Dalam isu ini, waktu solat zohor bagi mereka pada hari Jumaat adalah sepertima hari-hari yang lain iaitu setelah tergelincirnya matahari sehingga masuknya waktu Asar. Tidak disayaratkan bagi mereka untuk melaksanakan solat zohor setelah selesainya solat Jumaat Bagi kaum Lelaki.

Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menyatakan: Adapun mereka yang tidak diwajibkan solat Jumaat  seperti orang yang bermusafir, hamba, wanita, orang sakit, dan lain-lain yang uzur, mereka dibolehkan menunaikan solat Zohor sebelum imam menunaikan solat Jumaat menurut pendapat kebanyakan ahli ilmu (Lihat al-Mughni, 3/222)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menukilkan bahawa kebanyakan ulama berpandangan orang yang tidak diwajibkan solat Jumaat seperti musafir, hamba, wanita, orang sakit kronik, dan lain-lain yang ada uzur, dibolehkan menunaikan solat Zohor sebelum imam menunaikan solat Jumaat kerana mereka tidak diwajibkan untuk solat Jumaat. Maka sah solat Zuhur mereka, seperti mereka yang berada jauh dari tempat solat Jumaat. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/335)

Begitu juga Syeikh Abdul Aziz Bin Baz menyatakan bahawa: Adalah wajib bagi wanita untuk menunaikan solat Zuhur pada hari Jumaat selepas gelincir matahari seperti hari-hari yang lain. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwia’h, 30/259)

Justeru, sehubungan dengan pandangan para ulama yang telah kami sebutkan sebelumnya, dapat kami simpulkan bahawa tidak terdapat perbezaan dalam aspek waktu untuk melaksanakan solat Zohor pada hari Jumaat bagi wanita berbanding dengan hari-hari lain. Tidak ada syarat yang mewajibkan wanita menunggu sehingga selesai solat Jumaat kaum lelaki sebelum mereka mendirikan solat Jumaat. Dengan ini, mereka dibolehkan untuk mendirikan solat tersebut setelah masuknya waktu solat dan apa  yang paling utama adalah mendirikannya pada awal waktu tanpa penundaan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam