Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya sekiranya dulu kita ada tersalah faham tentang kaedah solat jamak dan qasar, bagaimana dengan solat kita pada masa itu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Pada asasnya, solat secara jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak.
Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi orang bermusafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 149/1)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”
Riwayat al-Bukhari (1107)
Ibn Daqiq al-‘Aid menyebutkan bahawa para ulama’ tidak berbeza pendapat berkenaan ‘illah atau sebab dibolehkan jamak antara dua solat fardhu adalah permusafiran. Akan tetapi, Mazhab Hanafi mengkhususkan musafir itu antara Arafah dan Muzdalifah sahaja, maka ‘illah mereka berubah daripada permusafiran kepada nusuk haji. (Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/329)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami menyatakan bahawa solat jamak yang dilaksanakan dengan cara yang salah disebabkan oleh kekeliruan atau faktor-faktor lain, yang mengakibatkan solat tersebut menjadi tidak sah, maka ianya perlu diulang. Ini kerana solat yang telah dilakukan itu dianggap tidak sah.
Dinyatakan dalam Matalib Uli al-Nuha bahawa: Jika kerosakan pada solat pertama jelas selepas melakukan solat jamak, seperti (sekiranya dia mengingati bahawa dia lupa rukun daripada solat pertama) atau syarat, maka batal lah solat jamak tersebut dan dia perlu mengulanginya secara tertib (kedua-dua solat), atau jika dia ingat bahawa dia lupa rukun daripada salah satu solat dan dia tidak tahu sama ada rukun itu daripada solat pertama atau kedua: dia perlu mengulanginya secara tertib dalam waktu solat sekiranya masih ada, jika tidak, dia perlu mengqadha’ kedua-dua solat secara tertib. Jika dia mengingati bahawa dia lupa rukun atau syarat daripada solat kedua, dia hanya perlu mengulangi solat kedua sahaja. Solat jamak ta’khir tidak akan batal secara mutlak, dan solat jamak taqdim tidak akan batal jika dia mengulanginya dalam masa yang singkat sehingga tidak luput muwalat (bersambung tanpa gangguan). (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 1/739)
Dr Wahbah al-Zuhaili dalam isu ini juga menyatakan: jika ternyata solat pertama rosak selepas melakukan jamak kerana terlupa rukun atau perkara lain, maka batal lah solat pertama dan kedua. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/384)
Justeru dalam dalam keadaan ini, perlu dipastikan bahawa kesilapan yang berlaku dalam melaksanakan solat jamak adalah perkara yang menyebabkan solat tersebut batal. Sekiranya telah dipastikan ianya terbatal, maka saudara dikehendaki untuk mengulanginya. Kita berharap agar Allah SWT mengampuni kesilapan dan kekeliruan yang telah berlaku, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-Nya:
عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ
Maksudnya : “Allah maafkan apa yang telah lalu,”
(Surah al-Maidah : 95)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua’lam.