#710 Solat Berjemaah Berdua-duaan dengan Bukan Mahram

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sah solat yang dilakukan secara berjemaah antara lelaki dan perempuan bukan mahram secara berdua-duaan di ruangan yang tertutup?  Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah suatu perbuatan yang ditegah dalam agama. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: الحَمْوُ الـمـَـوْتُ

Maksudnya:Jauhilah kamu daripada masuk kepada wanita-wanita. Seorang lelaki Ansar berkata: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu dengan al-Hamwu (iaitu kaum kerabat suami yang halal dinikahi)?’ Baginda menjawab: “Al-Hamwu ialah kematian.”

Riwayat al-Bukhari (5232)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ. فَقَامَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّةً، وَاكْتُتِبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: ارْجِعْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ

Maksudnya:Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya. Seorang lelaki bangun lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, isteriku keluar untuk haji, sedangkan aku pula telah mendaftar untuk ikut berperang sekian dan sekian.’ Baginda bersabda: ‘Kembalilah dan laksanakan haji bersama isterimu’.

Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. Sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut di situ sama seperti tiada. Selain itu, ulama-ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, tiada beza dalam pengharaman khalwat — antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah — sama ada khalwat itu berlaku ketika solat atau selainnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan larangan berdua-duaan antara lelaki dan wanita ajnabiyyah merupakan kesepakatan para ulama. Akan tetapi para ulama berbeza pendapat adakah keperluan adanya mahram ini boleh digantikan dengan bukan mahram yang lain, contohnya seperti adanya sekumpulan wanita-wanita yang dipercayai? Pendapat yang sahih ialah ia adalah dibolehkan kerana kurangnya fitnah dan tohmah dalam hal tersebut. Manakala al-Qaffal tetap berpendapat bahawa mesti ada juga mahram. Begitu juga halnya dengan sekumpulan wanita yang dipercayai dalam permusafiran menunaikan haji, mestilah ada mahram bersama salah seorang daripada mereka. Ini diperkuatkan lagi dengan nas Imam al-Syafi‘i  bahawa tidak boleh seorang lelaki mendirikan solat bersama kaum wanita melainkan bersama-sama salah seorang wanita itu mahramnya. (Lihat Fath al-Bari, 4/77)

Antara hikmah larangan seorang lelaki ajnabi berdua-duaan bersama seorang perempuan ajnabiyyah adalah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam dan menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana riwayat daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya:Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”

Riwayat al-Tirmizi (2165)

Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa syaitan ada bersama kedua-duanya iaitu lelaki dan perempuan yang berkhalwat itu, lalu membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320)

Walau bagaimanapun, para fuqaha ada menyebutkan beberapa pengecualian serta keadaan yang dibenarkan bagi seorang lelaki itu berdua-duaan dengan wanita ajnabiyyah. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa dikecualikan daripada isu ini (berdua-duaan dengan bukan mahram) kesemua tempat-tempat yang terdapat padanya darurat seperti seseorang lelaki menjumpai seorang perempuan yang sesat di jalanan atau seumpamanya, maka diharuskan kepadanya untuk menemani wanita itu. Bahkan menjadi satu tuntutan kepadanya untuk melakukan hal itu sekiranya dia risaukan keselamatan wanita itu apabila ditinggalkan bersendirian. Dalam situasi ini, tiada khilaf padanya dan berdalilkan dengan hadith Aisyah R.Anha mengenai peristiwa al-Ifk. ([Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109)

Berkaitan dengan isu menjadi imam kepada perempuan bukan mahram secara berdua-duaan pula, al-Syirazi menyebutkan dalam kitabnya bahawa dimakruhkan untuk seorang lelaki itu mendirikan solat bersama dengan seorang perempuan ajnabiyyah) berdasarkan hadith bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dengan seorang perempuan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.” (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, hlm. 186)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi ini menyebutkan bahawa makruh yang dimaksudkan di sini ialah makruh tahrim. Hal ini sekiranya lelaki itu beduaan dengan perempuan tersebut. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat jika seorang lelaki menjadi imam kepada isterinya atau kepada mahram baginya dalam keadaan berdua-duaan, maka ia adalah dibolehkan tanpa sebarang kemakruhan. Hal ini kerana dibolehkan buatnya untuk berdua-duaan dengannya — yakni sama ada isteri atau mahramnya — di luar solat. Namun, jika dia menjadi imam kepada seorang wanita ajnabiyyah dalam keadaan berdua-duaan dengannya, maka perkara itu adalah haram ke atas dirinya dan juga ke atas wanita tersebut, berdasarkan hadith-hadith yang sahih. Walau bagaimanapun, jika seorang lelaki itu menjadi imam kepada wanita-wanita ajnabiyyah dan berkhalwat bersama mereka, maka dalam isu ini terdapat dua pendapat. Majoriti ulama memutuskan bahawa ia adalah dibolehkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 4/173)

Oleh itu, jelaslah bahawa perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah adalah haram dan dilarang dalam agama. Meskipun begitu, solat yang didirikan antara seorang lelaki dan seorang perempuan ajnabiyyah adalah sah. Hal ini kerana berlakunya Infikak al-Jihah (sudut berasingan) dalam hal ini. Perbuatan berkhalwat atau berdua-duaan antara bukan mahram adalah jelas haram, akan tetapi ia langsung tidak ada kaitan dengan perbuatan-perbuatan solat. Justeru solat berjemaah yang dilakukan, jika menepati rukun-rukun solat dan syarat-syaratnya adalah sah. Ini samalah seperti seseorang yang mendirikan solat dengan pakaian curi. Perbuatan mencuri itu adalah haram, namun solat yang didirikan dengan memakainya adalah sah jika memenuhi syarat-syarat sah solat seperti menutup aurat dan bersih daripada najis.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan mendirikan solat secara berdua-duaan dengan perempuan bukan mahram dalam ruangan yang tertutup adalah haram kerana terdapatnya larangan daripada berkhalwat atau berdua-duaan antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah berdasarkan hadith-hadith yang sahih. Walau bagaimanapun, solat yang didirikan itu adalah sah selama mana ia memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat sah solat.

Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini menasihatkan kepada semua pihak untuk sentiasa memperbaiki diri dan menjauhi segala perkara atau perbuatan yang dilarang dalam agama seperti perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah ini. Janganlah sesekali kita memberi peluang atau membuka ruang kepada syaitan dan musuh-musuh agama, dalam usaha mereka untuk merosakkan anak Adam, menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka dan menjauhkan mereka daripada agama yang sebenarnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H