#7259: Menipu Isteri Demi Maslahat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, berdosa atau tidak, saya tipu isteri saya pasal kewangan sebab kalau menipu dia marah-marah. Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bersikap jujur merupakan tuntutan Syariat Islam yang paling agung. Kejujuran merupakan suatu kewajipan, sepertimana berdusta dan berbohong adalah suatu dosa besar yang diancam keras di sisi Islam. Allah SWT berfirman:

إِنَّا قَدۡ أُوحِیَ إِلَیۡنَاۤ أَنَّ ٱلۡعَذَابَ عَلَىٰ مَن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami (para Nabi dan Rasul) bahawa akan ada azab yang ditimpakan ke atas orang yang berdusta dan berpaling daripada kebenaran.”

(Surah Taha: 48)

Orang Mukmin yang sejati itu tidak akan berdusta dan berpaling daripada menuruti kebenaran. Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi ketika menghuraikan tafsiran ayat di atas yang menceritakan tentang sifat firaun yang mendustakan kebenaran dan bahkan bercakap dusta mengenai dirinya apabila mengaku sebagai Tuhan, al-Qurtubi menukilkan kalam Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma menafsirkan ayat di atas ini seraya berkata: “Ini merupakan ayat yang paling memberi harapan kepada sekalian orang-orang yang bertauhid (Muwahhidun) kerana mereka itu tidak mendustakan dan tidak berpaling (daripada kebenaran).” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 11/204)

Jujur itu besar nilainya di sisi Tuhan, sepertimana dusta itu besar sekali kesan buruk di sisi-Nya. Abdullah bin Mas‘ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ الصِّدْقَ يهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإنَّ البرِّ يهْدِي إِلَى الجنَّةِ، وإنَّ الرَّجُل ليَصْدُقُ حتَّى يُكتَبَ عِنْدَ اللَّهِ صِدّيقًا، وإنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ وإنَّ الفُجُورَ يهْدِي إِلَى النارِ، وَإِنَّ الرجلَ ليكذبَ حَتى يُكْتبَ عنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu mendorong kepada kebaikan, dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Seorang lelaki itu bersikap jujur, sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang senantiasa jujur. Dan sesungguhnya pembohongan itu mendorong ke arah keburukan, dan keburukan akan mengantar ke neraka. Seorang lelaki sentiasa berbohong, sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang kerap berdusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094); Muslim (2607)

Imam Syamsuddin al-Barmawi berkata ketika mensyarahkan hadith di atas:

(يُكتَب)؛ أي: يُحكَم له، فالمرادُ إظهارُه للمخلوقين، أو في الملأ الأعلى، أو إلقاؤُه في قلوب الناس وألسنتهم، وإلا فحُكمُ اللهِ قديمٌ

“[Ditulis] bermaksud: dihukumkan sedemikian rupa, yang dimaksudkan adalah, Allah akan menzahirkan hakikat dirinya (sama ada jujur atau pembohong) di khalayak sekalian makhluk, atau di hadapan malaikat alam tinggi, atau mencampakkan perasaan kepada hati-hati manusia dan kalam-kalam mereka. Manakala, hukum Allah yang berada di sisi-Nya adalah qadim.” (Lihat al-Lami ‘ al-Sabih bi Syarh al-Jami ‘ al-Sahih, 15/130)

Berkenaan soalan di atas, telah sabit di dalam himpunan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan menerusi banyak jalur yang saling menguatkan dan mendukung antara satu sama lain menegaskan bahawa berbohong adalah dilarang kecuali pada tiga [3] tempat dan keadaan yang mendesak, iaitu:

  • Ketika dalam situasi peperangan yang berkecamuk
  • Suami menyembunyikan hakikat daripada isteri, untuk menggembirakannya
  • Seseorang orang tengah yang mendamaikan antara dua pihak yang sedang bergaduh.

Perkara ini berdasarkan hadith menerusi jalur Saidina al-Nuwwas bin Sam‘an al-Ansari RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ الْكَذِبِ يُكْتَبُ عَلَى ابْنِ آدَمَ إِلَّا ثَلَاثًا الرَّجُلُ يَكْذِبُ فِي الْحَرْبِ فَإِنَّ الْحَرْبَ خَدْعَةٌ وَالرَّجُلُ يَكْذِبُ الْمَرْأَةَ فَيُرْضِيهَا وَالرَّجُلُ يَكْذِبُ بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ فَيُصْلِحُ بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Setiap dusta itu dicatat dosanya ke atas anak Adam melainkan dalam tiga keadaan; iaitu seseorang yang berdusta kepada musuh tatkala situasi berperang, seorang suami yang menipu isterinya untuk menggembirakan isterinya, seorang yang berfungsi sebagai orang tengah yang mengusahakan perdamaian antara dua pihak yang sedang berkelahi.”

Riwayat Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (612); Ibn Qani‘ dalam al-Mu‘jam (3/163); sanadnya dinilai dha‘if oleh Imam al-‘Iraqi dan Imam al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (8/84) kerana kewujudan perawi bernama Muhammad Jami‘ al-‘Attar yang berstatus dha‘if.

Imam ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan: “[Dan suami yang menipu isterinya untuk menggembirakannya] adalah dikira berkata jujur dengan isterinya, begitu juga ahli keluarga perempuan yang lain seperti hamba perempuannya dan anak perempuannya. Menipu dalam keadaan seperti ini tidak diharamkan, bahkan boleh jadi wajib. Hasilnya, berdusta boleh menerima lima hukum taklifi dan kayu ukurnya adalah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali bahawa kalam (perkataan) adalah wasilah menuju kepada tujuan. Setiap tujuan yang baik yang boleh digapai dengan jujur dan dusta, maka berdusta berkenaannya adalah haram, kerana tiada keperluan untuk berdusta. Jika kebaikan itu hanya boleh digapai menerusi berdusta, maka dibolehkan untuk melakukannya ketika sekiranya tujuannya juga baik dan diperbolehkan; bahkan boleh jadi wajib sekiranya tujuan tersebut juga adalah wajib, banyak contoh untuk keadaan sedemikian.” (Lihat Faidh al-Qadir, 5/10)

Tuntasnya, berbohong dan berdusta adalah salah satu dosa bahkan dosa besar yang dikecam di dalam Islam. Namun, dalam keadaan tertentu, Syariat membenarkan untuk menyembunyikan hakikat yang jelas dan hanya memberitahu sebuah hakikat yang agak jauh atau beritahu sesuatu secara umum sahaja. Ia dinamakan sebagai konsep al-Tauriyah dalam ilmu balaghah di sisi Sastera Arab. Hukumnya adalah harus, dibenarkan ketika ada keperluan. Khususnya ketika dilakukan untuk memelihara keharmonian dan kemaslahatan rumah tangga.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpandangan bahawa, jujur adalah yang paling utama dan mesti diutamakan, namun sekiranya berterus terang hanya membawa kepada kemudaratan, maka dibenarkan untuk menyembunyikan hakikat tersebut dan memberitahu si isteri secara umum dan kiasan semata-mata. Seeloknya, pasangan suami isteri mempunyai persefahaman dan sekufu dalam minda pengurusan sesuatu pemilikan yang diuruskan bersama sepanjang melayari bahtera perkahwinan.

Dalam masa yang sama, harta suami adalah hak si suami secara mutlak. Isteri tidak boleh mencampuri urusan tersebut, melainkan sekiranya si suami terlalu kedekut atau terlupa untuk mengagihkan nafkah; maka si isteri boleh mengambil bahagian nafkah yang mencukupi untuk dirinya dan anak-anak meskipun tanpa izin dan pengetahuan suami. Adapun untuk isteri memarahi suami pada soal pengurusan kewangan, adalah tidak dibenarkan melainkan apabila si suami nyata melakukan kemaksiatan dan kemudaratan. Isteri boleh menasihati, menegur dan memarahinya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.