#7261: Lupus Harta Wakaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Bagaimanakah cara untuk melupuskan harta wakaf?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Amalan berwakaf merupakan salah satu bentuk amalan sedekah dan infaq yang amat dianjurkan oleh Allah SWT di dalam syariat Islam untuk saling membantu sesama insan dalam merealisasikan kemaslahatan sejagat. Allah SWT berfirman:

لَن تَنَالُوا۟ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَیۡءࣲ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِیمࣱ

Maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh pahala kebajikan yang sempurna sehingga kamu menginfakkan sebahagian daripada harta yang kamu sayangi. Apa jua yang kamu infak, maka sesungguhnya Allah mengetahui tentangnya.”

(Surah Ali ‘Imran: 92)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa hadith ini dijadikan dalil anjuran di sisi fuqaha’ untuk bersedekah dengan segenap cara, antara cara tersebut adalah dengan melaksanakan ibadat wakaf. Diriwayatkan bahawa ayat ini turun kepada Abu Talhah R.A  menyerahkan sebidang taman kebun yang beliau paling sayangi untuk jalan Allah. Namun kisah tersebut secara khusus, terdapat beberapa kemusykilan dalam beberapa sudut keabsahan wakafnya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga bersabda:

إذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah catatan amalan daripadanya kecuali tiga perkara: sedekah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan buatnya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam Zainuddin al-Malibari menjelaskan, “Sedekah yang berterusan” di dalam hadith di atas merupakan dalil anjuran untuk melakukan ibadat wakaf di sisi para ulama. (Lihat Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain, hlm. 400)

Takrifan Wakaf dan Syarat-Syarat Harta Wakaf

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diperuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa Arab pula, wakaf berasal daripada perkataan waqf (وَقَفَ) bererti berdiri atau berhenti. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359)

Imam Ibn al-Rif‘ah ketika mentakrifkan ibadat wakaf mengatakan perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf dari sudut bahasa ialah kalimat al-Habs atau al-Tahbis yang bermaksud menghentikan atau menahan. (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 12/3)

Dari sudut istilah pula, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks istilah syara’ sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Syarat-syarat harta yang hendak diwakafkan (al-Mauquf) dinyatakan oleh al-Habib Ahmad bin Umar al-Syatiri adalah seperti berikut:

  • Wakaf itu barang yang tertentu
  • Barang tersebut mestilah ditentukan
  • Barang tersebut dimiliki penuh oleh pewakaf
  • Barang tersebut boleh dipindah milik
  • Barang tersebut memiliki manfaat
  • Manfaat barang tersebut tidak hilang dengan kehilangan ‘ain barang tersebut
  • Bentuk manfaat daripada wakaf itu adalah harus dan tidak haram
  • Perbuatan tersebut dimaksudkan dan diniatkan wakaf

(Lihat al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris, hlm. 183)

Harta Wakaf Milik Allah SWT

Apabila kita telah mewakafkan sesuatu harta, maka harta yang diwakafkan tersebut adalah hak milik mutlak Allah SWT secara kekal abadi, selama-lamanya. Tidak boleh ditarik-balik atau dibatalkan.

Imam Ibn Raslan al-Ramli al-Syafi‘i mendendangkan syair:

وَالْوَقفُ لاَزِمٌ وَمِلْكُ الْبَارِي … أَلْوَقفُ, وَالمَسْجِدُ كَالْأَحْرَارِ

Wakaf itu sifatnya lazim (terus berkuatkuasa), ia hak milik mutlak Allah,

          Dan status pemilikan masjid adalah sama seperti orang merdeka (ia milik Allah).

(Lihat Safwah al-Zubad, hlm. 153)

Ia bukan lagi milik pewakaf tersebut, namun ia milik Allah SWT. Wakaf telah mengangkat status pemilikan daripada pemilik asal. Pewakaf tersebut tidak bebas dalam menguruskannya, dan tidak boleh melakukan apa sahaja sewenang-wenangnya; wakaf tidak boleh dibatalkan, ia tidak boleh dijual beli, dihadiahkan, diwariskan atau dipindahkan hak pemilikan.

Allah SWT mengarahkan agar manfaat dan hasil keuntungannya diberikan kepada maslahat harta wakaf tersebut seperti penerima wakaf dan juga lain-lain orang-orang yang berhak.

Harta wakaf tidak boleh sengaja dilupuskan selagi manfaatnya masih ada. Sekiranya manfaat harta wakaf itu tidak digunakan lagi oleh sesebuah tempat, maka harta wakaf tersebut boleh dipindahkan ke tempat lain yang sama jenis; dengan tujuan yang sama (iaitu untuk diwakafkan) berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh pewakaf.

Imam Abu Bakr Syata al-Dimyati menjelaskan dalam kitab I‘anah: “Sekiranya alat tersebut (yang merupakan harta wakaf) tidak lagi diperlukan oleh masjid itu, maka dibolehkan untuk memindahkannya ke masjid yang lain. Jika tidak (ia masih digunakan lagi), maka tidak boleh dipindahkan (ke masjid lain).” (Lihat I‘anah al-Talibin, 3/215)

Tuntasnya bagi persoalan yang diajukan ini, kami nyatakan bahawa harta wakaf tidak boleh dilupuskan kerana wakaf bersifat al-ta’bid (hak milik kekal) bagi Allah SWT dan tidak boleh tukar milik apatah lagi dilupuskan selagi manfaatnya masih ada walaupun sedikit. Yang dibolehkan adalah Wakaf Istibdal iaitu menukar bentuk material harta wakaf supaya manfaatnya dapat diteruskan; berdasarkan pendapat di dalam mazhab Abu Hanifah, sepertimana yang difatwakan oleh Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi (Lihat al-‘Uqud al-Durriyyah fi Tanqih Fatawa al-Hamidiyyah, 1/212).

Wakaf Ibdal atau Istibdal al-Waqf merupakan instrumen yang dibenarkan di dalam mazhab Hanafi, contohnya adalah seperti apabila tanah wakaf itu sudah terbatal manfaatnya; maka tanah wakaf tersebut dijual manakala hasil jualannya berbentuk nilai harta tertentu pula akan dihukumkan sebagai harta wakaf dan disalurkan kepada kemaslahatan wakaf umat Islam. Ia perlu dilaksanakan menurut syarat-syarat yang digariskan oleh Imam Ibn ‘Abidin berikut:

  • Kadi meyakini bahawa manfaatnya sudah tiada secara keseluruhan (al-kulliyyah)
  • Memastikan ketiadaan sebarang keuntungan lagi yang dihasilkan olehnya
  • Proses penjualan harta wakaf tersebut mestilah bersih dari unsur ghabn fahisy
  • Kadi yang meneliti prosedur ini adalah Qadhi al-Jannah iaitu orang yang berilmu dan beramal
  • Dijual beli dalam bentuk aset hartanah; bukannya dalam bentuk mata wang.
  • Dijual kepada orang yang diterima kesaksiannya di dalam mahkamah dan orang yang tidak mempunyai sebarang hutang segera, syarat ini ditambah oleh Imam Ibn Nujaim di dalam kitab al-Bahr. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 4/386)

Qadhi wajib memastikan bahawa manfaat harta wakaf itu sudah tiada secara mutlak, atau secara total. Sekiranya masih ada sebarang manfaat dari mana-mana sudut walaupun sedikit (bil-jumlah), maka tidak boleh ditukar ganti di sisi pendapat yang asah dan mukhtar di dalam mazhab Hanafi, sepertimana yang difatwakan oleh al-‘Allamah Qanali Zadah al-Hanafi dalam kitab al-Risalah dan Imam Kamaluddin Ibn al-Humam dalam kitab Fath al-Qadir (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 4/384).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam kali ke-4 yang bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 telah membuat keputusan bahawa:

“Wakaf ganti (wakaf ibdal) ialah bermaksud menukar mauquf dengan harta yang lain melalui jualan atau beliau atau sebagainya dengan tujuan mengekalkan mauquf adalah diharuskan mengikut taqlid pendapat Imam Abu Hanifah.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang ke-41 yang bersidang pada 3 hingga 4 November 1996 telah membuat keputusan bahawa wakaf istibdal merupakan perkara yang amat baik dan perlu diamalkan memandangkan pembangunan sedang berjalan dengan pesat sedangkan tanah wakaf, tapak masjid lama terbiar dengan begitu sahaja dan menyulitkan pihak berkuasa.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.