Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan manhaj imam bukhari dalam memilih hadis khususnya untuk Jami’ al-Sahih?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
(Surah al-Baqarah: 269)
Syeikh al-Sa’di berkata: Hikmah ini merujuk kepada ilmu yang bermanfaat, pemahaman yang tepat, kebijaksanaan dalam pemikiran, dan keupayaan untuk menzahirkan kebenaran dalam ucapan dan perbuatan. Hikmah merupakan anugerah paling utama dan kurniaan terbesar. Oleh itu, Allah berfirman: “Dan sesiapa yang dikurniakan hikmah, maka sesungguhnya dia telah dianugerahi kurniaan yang besar.” Dengan hikmah, seseorang keluar dari kegelapan kejahilan menuju cahaya petunjuk. Dia mampu mengelak penyimpangan kata dan perbuatan, mencapai kebenaran, serta menghiasi dirinya dengan sifat-sifat mulia yang memberi manfaat besar kepada makhluk, baik dari sudut agama mahupun duniawi. Segala urusan hanya dapat berjalan dengan baik melalui hikmah, iaitu kemampuan meletakkan sesuatu pada tempatnya, memberi keutamaan kepada perkara yang lebih utama, dan menangguhkan sesuatu yang wajar ditangguhkan. Namun, keutamaan besar ini hanya dihayati dan difahami oleh “orang-orang yang berakal.” Mereka ialah golongan yang memiliki pemikiran yang matang dan cita-cita luhur, mengetahui mana yang bermanfaat untuk dilakukan dan mana yang membawa mudarat untuk ditinggalkan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 281)
Imam al-Bukhari telah memilih hadith-hadith yang sahih untuk dimuatkan di dalam karya beliau ini. Akan tetapi, beliau tidak meletakkan kesemua hadith-hadith yang sahih kerana khuatir ia akan menjadi panjang oleh kerana terlampau banyak hadith.
Selain itu juga, Imam al-Bukhari memilih hadith-hadith yang bersesuaian dengan bab-bab yang terdapat di dalam sahihnya. Tambahan pula, Imam al-Bukhari terkenal dengan manhaj ikhtisar(memendekkan teks atau matan hadith) iaitu beliau tidak mendatangkan matan hadith dengan penuh.
Jika melihat kepada nama Sahih al-Bukhari, itu telah jelas menunjukkan manhaj Imam al-Bukhari dalam menghasilkan karya beliau ini. Antaranya, al-Jami‘ iaitu menghimpunkan, al-Sahih iaitu hadith-hadith yang sahih, al-Musnad iaitu hadith-hadith yang mempunyai sanad yang bersambung kepada Rasulullah SAW dan juga al-Mukhtasar iaitu memendekkan atau memotong matan hadith. Di samping itu, Imam al-Bukhari juga telah memilih daripada 100 ribu hadith yang sahih untuk dimuatkan ke dalam karya beliau. Hal ini difahami melalui perkataan Imam al-Bukhari sendiri:
أَحْفَظُ مِائَةَ أَلْفِ حَدِيْثٍ صَحِيْحٍ وَأَعْرِفُ مِائَتَيْ أَلْفِ حَدِيْثٍ غَيْرِ صَحِيْحٍ
Maksudnya: “Aku menghafal 100 ribu hadith yang sahih dan aku juga tahu 200 ribu hadith yang tidak sahih.” (Lihat al-Irsyad fi Ma’rifati ‘Ulama’ al-Hadith, 3/962)
Syarat-Syarat Hadith Sahih Imam al-Bukhari
Para ulama telah bersepakat bahawa syarat-syarat hadith untuk mencapai darjat sahih adalah seperti berikut:
- Bersambung sanadnya.
- Perawi mestilah seorang yang adil dan bermaruah. Sifat adil yang dimaksudkan adalah perawi-perawi yang bertaqwa serta menjauhi perkara-perkara yang fasiq dan bida‘ah. Perawi juga mestilah menepati ciri-ciri berikut:
- Seorang Muslim walaupun sewaktu dia mendengar hadith tersebut dia seorang yang kafir.
- Baligh walaupun sewaktu dia menerima hadith tersebut dia cuma kanak-kanak mumaiyiz.
- Tidak fasiq iaitu tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil.
- Menjaga maruah seperti tidak sentiasa bergaul dengan orang-orang yang buruk akhlaknya, tidak keterlaluan dalam bergurau senda dan tidak membuang air kecil di tepi jalan.
- Perawi mestilah dhabit dalam hafazannya iaitu kuat dan tepat hafazannya, selamat daripada kesalahan ataupun ragu-ragu. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu:
- Dhabit Sadri: Perawi yang menghafaz hadith dengan mendengar-nya dan mampu untuk meriwayatkan apa yang didengarnya pada bila-bila masa.
- Dhabit Kitabi: Perawi yang benar-benar menjaga catatannya daripada hilang, diseleweng atau diubah bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia meriwayatkannya.
- Tiada syaz yakni tidak bercanggah dengan riwayat lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah.
- Tiada ‘illah yakni tidak ada kecacatan di dalam hadith tersebut yang menghalang daripada mencapai tahap sahih. Contohnya pada sanad hadith ada seorang yang fasiq atau pemalsu hadith.
Perbezaan Imam al-Bukhari dengan yang selainnya ialah Imam al-Bukhari telah menambah satu syarat yang ketat iaitu mesti berlaku pertemuan antara perawi-perawi (ثُبُوتُ اللِّقَاءِ), manakala Imam Muslim hanya mensyaratkan sezaman (المُعَاصِرَةُ) kerana kemungkinan berlaku pertemuan antara perawi-perawi kerana mereka sezaman.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”