#7509: Jumlah Hadis dalam Sahih al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berapakah jumlah hadith yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)

Jumlah hadith dalam kitab Sahih al-Bukhari menjadi perselisihan oleh para ulama. Hal ini disebabkan berbezanya kaedah pengiraan hadith yang diriwayatkan Imam al-Bukhari secara mutaba‘ah, mu‘allaqat dan juga hadith-hadith yang berbeza riwayatnya:

Pertama: Imam Ibn Solah:

Jumlah hadith keseluruhannya: 7275

Jumlah hadith yang tidak berulang: 4000 (Lihat al-Hadith fi ‘Ulum al-Quran wa al-Hadith, hlm. 197)

Kedua: Imam al-Nawawi:

Jumlah hadith keseluruhannya: 7275

Jumlah hadith yang tidak berulang: 4000 (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/73)

Ketiga: Imam al-Hafiz Ibn Hajar:

Jumlah hadith keseluruhannya: 9082

Jumlah hadith yang tidak berulang: 2602 (Lihat: al-Hadith fi ‘Ulum al-Qur’an wa al-Hadith, hlm. 197)

Keempat: Dr. Abu Laith:

Jumlah hadith keseluruhannya: 9082

Jumlah hadith bersambung (mausul) yang tidak berulang: 2602

Jumlah Mutaba‘ah: 341 (Lihat ‘Ulum al-Hadith, hlm. 65)

Kami nyatakan di sini beberapa pujian ulama’ terhadap Sahih al-Bukhari, antaranya:

  • Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Para ulama telah bersepakat menerima Sahih al-Bukharidan kesahihan semua yang ada di dalamnya, begitu juga seluruh umat Islam.”
  • Imam Tajuddin al-Subki (w. 756H) berkata: “Adapun kitabnya (al-Bukhari) al-Jami‘ al-Sahih ialah kitab Islam yang paling mulia selepas Kitabullah (al-Qur’an).”

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”