Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Imam al-Bukhari merupakan seorang manusia terdedah kepada kesilapan dan kesalahan. Bagaimana mungkin kitabnya dinilai yang paling sahih selepas al-Quran?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abi al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.
Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.
Imam Ibn Ruslan berkata: “Memadailah dengan kemuliaan ini, sebagaimana tiada kedudukan yang lebih tinggi daripada darjat kenabian, maka tiada kemuliaan yang melebihi kemuliaan pewaris darjat itu. Para ulama mewarisi Nabi bagi membimbing manusia dan menunjukkan kepada mereka keselamatan di dunia dan akhirat.” (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 15/69)
Bagi menjawab persoalan ini:
- Terdedah kepada kesilapan bukanlah semestinya menunjukkan bahawa setiap yang dia lakukan itu pasti ada kesilapannya, namun ia hanyalah kebarangkalian berlakunya kesilapan.
- Imam al-Bukhari telah melakukan usaha yang luar biasa dalam menghasilkan karya Sahihnya ini. Disebabkan itu beliau mengambil masa yang lama iaitu selama 16 tahun bagi menghasilkan karya ini.
- Imam al-Bukhari juga mempersembahkan karya Sahihnya kepada para tokoh hadith di zamannya, lalu mereka memperakui setiap hadith di dalamnya adalah sahih. (Lihat Abraz al-Ta‘un al-Mu‘asir fi al-Jami‘ al-Sahih li al-Bukhari, hlm. 17-19)
Cukuplah pujian ulama’ terhadap Sahih al-Bukhari ini:
- Imam Ibn Solah (w. 643H) berkata: “Sesungguhnya kitab al-Bukhari ialah kitab yang paling sahih antara keduanya (Sahih Muslim) dan yang lebih banyak faedahnya.”
- Imam al-Nawawi (w. 676H) berkata: “Para ulama telah bersepakat bahawa kitab yang paling sahih selepas al-Quran ialah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dan umat ini telah menerimanya. Kitab al-Bukhari adalah yang paling sahih daripada keduanya dan yang paling banyak faedah.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”