Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan bagaimana ulama memuji Sahih al-Bukhari?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.”
(Surah al-Mujadalah: 11)
Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)
Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.
Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.
Imam Ibn Ruslan berkata: “Memadailah dengan kemuliaan ini, sebagaimana tiada kedudukan yang lebih tinggi daripada darjat kenabian, maka tiada kemuliaan yang melebihi kemuliaan pewaris darjat itu. Para ulama mewarisi Nabi bagi membimbing manusia dan menunjukkan kepada mereka keselamatan di dunia dan akhirat.” (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 15/69)
Antara pujian ulama’ terhadap Sahih al-Bukhari ialah:
- Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Para ulama telah bersepakat menerima Sahih al-Bukharidan kesahihan semua yang ada di dalamnya, begitu juga seluruh umat Islam.”
- Imam Tajuddin al-Subki (w. 756H) berkata: “Adapun kitabnya (al-Bukhari) al-Jami‘ al-Sahih ialah kitab Islam yang paling mulia selepas Kitabullah (al-Qur’an).”
- Imam Ibn Solah (w. 643H) berkata: “Sesungguhnya kitab al-Bukhari ialah kitab yang paling sahih antara keduanya (Sahih Muslim) dan yang lebih banyak faedahnya.”
- Imam al-Nawawi (w. 676H) berkata: “Para ulama telah bersepakat bahawa kitab yang paling sahih selepas al-Quran ialah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dan umat ini telah menerimanya. Kitab al-Bukhari adalah yang paling sahih daripada keduanya dan yang paling banyak faedah.”
- Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) berkata: “Tidak ada di bawah permukaan langit ini kitab yang lebih sahih selepas al-Quran daripada Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.”
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”