Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum berzikir secara nyaring selepas solat fardhu?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya.[1]
Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT.[2]
Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya.[3]
Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”[4]
Manakala ayat-ayat yang menyebut tentang perintah berzikir tanpa menyebut bentuk ibadah tertentu adalah tersangat banyak. Cukup dinyatakan di sini ayat 41 dalam surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT secara umum. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”[5]
Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq.[6]
Ayat al-Quran dan Hadith Nabawi Berkenaan Tuntutan Berzikir
Antara ayat al-Quran berkaitan tuntutan berzikir adalah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”[7]
Firman Allah SWT:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”[8]
Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti hadith daripada Abu Musa R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”[9]
Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ” قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.” [10]
Galakan Zikir dan Doa Selepas Solat Fardhu
Pada asasnya, berzikir dan berdoa selepas solat fardu adalah amalan yang digalakkan. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat hadis dan athar berkaitan galakan dan kelebihan amalan zikir dan berdoa selepas solat fardhu. Antaranya, hadith daripada Abu Umamah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah pernah ditanya tentang apakah doa yang paling didengari. Lalu Rasulullah SAW menjawab:
جَوْفَ اللَّيْلِ الْآخِرِ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ
Maksudnya: “(Doa yang paling didengari ialah) ketika satu pertiga malam yang terakhir dan ketika selesai solat fardu.”[11]
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ
Maksudnya: “Terangkatnya suara (kuat) ketika berzikir adalah apabila orang ramai selesai menunaikan solat fardu. Ianya berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Maka aku tahu jika mereka selesai menunaikan solat adalah ketika aku mendengar suara mereka berzikir.”[12]
Thauban R.A pula meriwayatkan dengan katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا وَقَالَ اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila selesai menunaikan solat Baginda beristighfar sebanyak 3 kali seraya menyebut : اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَام.”[13]
Daripada al-Mughirah bin Syu’bah R.A, beliau menulis surat kepada Mu’awiyah:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ إِذَا فَرَغَ مِنَ الصَّلاَةِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِىَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW apabila Baginda selesai menunaikan solat Baginda mengucapkan : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِىَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَد[14]ّ
Kata Ibn Zubair: “Rasulullah SAW mengucapkannya setiap kali selepas menunaikan solat.”
Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِى دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ فَتِلْكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bertasbih pada setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali. Kesemuanya adalah sebanyak 99 kali. Ketika mana sampai ke kali yang ke-100 dia mengucapkan ‘لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير, maka diampunkan kesalahannya walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.”[15]
Riwayat-riwayat yang dinyatakan di atas ini menunjukkan bahawa amalan berzikir setiap kali selepas solat fardhu adalah amalan yang sentiasa dilazimi oleh Rasulullah SAW. Malah, Nabi SAW pernah menegur seorang lelaki yang tergesa-gesa berdoa selepas solat tanpa ada pujian kepada Allah dan selawat. Baginda SAW bersabda:
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ ، فَلْيَبْدَأْ بِتَمْجِيدِ رَبِّهِ جَلَّ وَعَزَّ ، وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، ثُمَّ يَدْعُو بَعْدُ بِمَا شَاءَ
Maksudnya: “Jika salah seorang dari kalian selesai menunaikan solat maka mulakanlah (doa selepas solat ) dengan mengagungkan dan memuji Allah. Kemudian berselawat ke atas Nabi dan barulah berdoa selepas itu apa yang dia ingini.”[16]
Imam al-Nawawi menyebut: “Para ulama bersepakat terhadap keharusan zikir selepas menunaikan solat.”[17]
Justeru, berdasarkan beberapa riwayat di atas, dapat kita fahami bahawa amalan zikir dan berdoa selepas solat fardu adalah satu amalan yang amat digalakkan. Moga zikir-zikir yang kita ucapkan selepas menunaikan solat fardu menjadi penghapus dosa. Maka tidak perlu tergesa-gesa bangun selepas menunaikan solat fardu. Alangkah baiknya jika kita dapat duduk sejenak berzikir dan berdoa sebelum menunaikan solat sunat Ba’diah sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Hadith Ibn ‘Abbas dan Penjelasan Ulama’
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ
Maksudnya: “Bahawa menguatkan suara ketika berzikir selepas jemaah mendirikan solat fardhu adalah biasa dilakukan pada zaman Nabi SAW.” Kata Ibn ‘Abbas lagi: “Dahulu aku mengetahui bahawa berakhir solat (selesai solat) itu adalah apabila telah mendengar suara zikir.” [18]
Imam al-Nawawi menjelaskan seperti berikut: Al-Syafi’i Rahimahullahu Ta’ala menjelaskan berkenaan hadith ini, bahawa Baginda SAW menguatkan suara dalam beberapa tempoh waktu sahaja. Ia adalah bertujuan untuk mengajar para Sahabat berkenaan cara-cara berzikir, bukan bererti mereka sentiasa menguatkan suaranya.
Beliau (al-Syafi’i) berkata: Aku berpendapat bahawa seseorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah, sebaik selesai menunaikan solatnya. Dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, kecuali bagi seseorang imam yang mahu supaya para makmumnya belajar (berkenaan zikir) daripadanya. Maka dia boleh menguatkan zikirnya sehingga apabila dia merasa (mengetahui) bahawa mereka telah memahami (belajar), maka hendaklah dia kembali merendahkan (memperlahankan) suaranya ketika berzikir.[19]
Imam al-Nawawi turut berkata: Disunatkan untuk berzikir dan berdoa pada setiap kali selesai solat (fardhu) dan hendaklah dia merendahkan suaranya. Apabila seseorang imam hendak mengajarkan makmumnya (tentang bacaan zikir), maka dia boleh untuk menguatkan suaranya. Kemudian apabila mereka telah mengetahui, dia kembali merendahkan (suara zikirnya).[20]
Al-‘Imrani menjelaskan: Riwayat perawi yang meriwayatkan bahawa Baginda SAW berdoa (berzikir) dan menguatkan suaranya, ditafsirkan bahawa Baginda SAW melakukan perkara tersebut agar para Sahabat dapat belajar daripada Baginda SAW. Dan riwayat perawi yang menyebut bahawa Baginda SAW diam sejenak (selepas selesai solat), kemudian bangun dan pergi, difahami bahawa Baginda berdoa dengan merendahkan suaranya, sehingga Baginda hanya memperdengarkan untuk dirinya sahaja.[21]
Berkenaan hadith di tersebut juga, Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam dalam syarahnya terhadap ‘Umdah al-Ahkam berkata: “Di sini sebenarnya perlu difahami bahawa Ibn ‘Abbas masih kecil dan dia tidak turut serta dalam solat berjemaah. Dia mendengar suara tahlil dari luar masjid. Dapat juga diertikan bahawa beliau menyertai solat berjemaah, tetapi beliau berada di saf yang jauh sehingga tidak ada orang yang menyambung suara kepadanya, menjadikan beliau tidak mengetahui telah berakhirnya solat Rasulullah SAW melainkan dengan mendengar suara tahlil daripada saf-saf yang awal.”[22]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Bahawa Ibn ‘Abbas R.Anhuma tidak hadir menyertai solat berjemaah tersebut kerana usianya yang masih kecil. Dia tidak termasuk di antara orang yang terus-menerus menghadiri jemaah. Maka beliau mengetahui selesainya solat berdasarkan keadaan tersebut. Ulama’ selainnya mengatakan, kemungkinan Ibn ‘Abbas hadir di akhir saf, maka beliau tidak mengetahui selesainya solat berdasarkan salam. Akan tetapi, beliau mengetahuinya dengan takbir. Ibn Daqiq al-‘Id berpendapat, daripada sini dapat dibuat kesimpulan bahawa di ketika itu, tidak ada orang yang menyampaikan takbir imam (muballigh) supaya didengari oleh orang yang berada di akhir saf.[23]
Berkenaan Zikir Secara Nyaring Selepas Solat
Adakah berzikir selepas solat fardu secara nyaring itu sunat atau tidak sunat? Jika mempunyai dalil, sudah pasti ia akan dihukumkan sunat. Jika tidak mempunyai dalil, adakah ia suatu amalan bid’ah yang menyesatkan atau bidaah yang hasanah iaitu yang dipuji?
Dalam menjawab persoalan ini, dikemukakan tokoh ulama, antaranya:
Pertama: Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali
Beliau merupakan salah seorang tokoh ulama hadis terkemuka. Bermazhab Hanbali dan juga memiliki kitab Syarah kepada Sahih al-Bukhari yang menyamai dengan nama kitab karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani iaitu Fath al-Bari.
Ibnu Rajab berkata dalam kitab Fath al-Bari: “Imam Ahmad meriwayatkan hadis ini dan menambahnya sesungguhnya manusia (pada waktu itu) apabila imam memberi salam daripada solat fardu mereka akan bertakbir sebanyak tiga kali.” Dengan ini telah jelas maksud takbir yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW selepas solat fardu ialah tiga kali takbir berturut-turut. Hadis riwayat Ibnu Umar R.Anhuma menyokongnya (riwayat Imam Ahmad) yang berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut selepas selesai solat dalam keadaan berbaring sambil mengiring:
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا عَدَدَ الشَّفْعِ وَالْوِتْرِ، وَكَلِمَاتُ اللهِ الطَّيِّبَاتُ الْمُبَارَكَاتُ
Sebanyak tiga kali dan:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ عَدَدَ الشَّفْعِ وَالْوِتْرِ، وَكَلِمَاتُ اللهِ الطَّيِّبَاتُ الْمُبَارَكَاتِ
Juga sebanyak tiga kali, nescaya dijadikan cahaya baginya semasa berada di dalam kubur, cahaya baginya di Padang Mahsyar, dan cahaya baginya ketika berada di atas titian Sirat sehinggalah dia memasuki syurga.
Al-Hafiz Ibnu Rajab berkata lagi: “Sesungguhnya hadis Ibnu Abbas menjadi dalil kepada menyaringkan suara ketika bertakbir selepas solat fardu. Sebahagian ahli zahir telah mengambil secara zahir, dan diceritakan daripada kebanyakan ulama bersalahan dengan (pemahaman) tersebut. Sesungguhnya yang paling utama adalah memperlahankan suara ketika berzikir berdasarkan firman Allah SWT (Surah al-A’raf: 205) yang bermaksud: Sebutlah Tuhanmu di dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut. Firman-Nya (Surah al-A’raf: 55) lagi yang bermaksud: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.
Nabi SAW bersabda kepada mereka yang berzikir secara kuat dalam kalangan sahabat Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya kalian bukannya menyeru seorang yang pekak dan tiada di hadapan kamu.”
Al-Hafiz Ibnu Rajab berkata lagi: Al-Qadhi Abu Ya’la menyebut dalam kitab al-Jami’ al-Kabir: Zahir kata-kata (Imam) Ahmad bahawa disunatkan bagi imam menyaringkan suara ketika berzikir dan berdoa selepas solat sekadar makmum mendengarnya dan tidak lebih daripada itu. Beliau (Abu Ya’la) menyebutkan nas-nas daripada Imam Ahmad yang menunjukkan beliau (Imam Ahmad) menyaringkan (suara) pada beberapa zikir dan berdoa secara perlahan. Inilah yang paling jelas, dan ia bukanlah dikhususkan kepada imam sahaja. Sesungguhnya hadis Ibnu Abbas ini secara zahirnya menunjukkan bahawa makmum juga menyaringkan (suara).
Apa yang diriwayatkan oleh Muslim juga menjadi dalil kepadanya (perbuatan ini) daripada hadis Ibnu al-Zubair bahawa beliau menyebut pada setiap kali selepas solat ketika memberi salam:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ. لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Beliau berkata: “Rasulullah SAW menyebutnya pada setiap kali selesai solat.”
Maksud perkataan yuhillu adalah meninggikan suaranya (Baginda SAW).
Sesungguhnya para sahabat Nabi SAW telah berzikir dengan nyaring selepas solat, sehingga orang yang berada di samping mereka boleh mendengarnya. Imam al-Nasaie telah meriwayatkan dalam kitab Amal al-Yaum wa al-Lailah daripada riwayat ‘Aun bin Abdullah bin Utbah, katanya: Seorang lelaki telah solat bersebelahan Abdullah bin Amru bin al-‘Ash dan dia mendengar beliau mengucapkan ketika memberikan salam:
اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ، وَمِنْكَ السَّلاَمُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ
Kemudian (suatu ketika yang lain), dia solat bersebelahan Abdullah Ibnu Umar, dan dia mendengar beliau mengucapkan perkataan seperti itu ketika memberikan salam. Lalu lelaki itu pun ketawa. Lantas Ibnu Umar bertanya kepadanya: Apakah perkara yang menyebabkan engkau ketawa? Dia berkata: “Sesungguhnya aku telah solat bersebelahan Abdullah bin Amru. Aku mendengar beliau mengucapkan sama seperti apa yang telah engkau ucapkan tadi.” Kata Ibnu Umar: Adalah Rasulullah SAW mengucapkan sedemikian.”
Kedua: Imam al-Nawawi
Beliau merupakan tokoh yang agung, terkemuka serta tidak asing lagi dalam mazhab al-Syafi’i. Beliau memiliki banyak kitab yang menjadi rujukan kepada ramai ulama’ di seluruh dunia.
Sepertimana yang telah kami sebutkan di atas, kami nukilkan sekali lagi di sini tentang kenyataan Imam al-Nawawi berkenaan isu ini. Kata beliau: (Imam) Al-Syafi’i Rahimahullahu Ta’ala menjelaskan berkenaan hadith ini (hadith Ibn ‘Abbas di atas), bahawa Baginda SAW menguatkan suara dalam beberapa tempoh waktu sahaja. Ia adalah bertujuan untuk mengajar para Sahabat berkenaan cara-cara berzikir, bukan bererti mereka sentiasa menguatkan suaranya.
Beliau (al-Syafi’i) berkata: Aku berpendapat bahawa seseorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah, sebaik selesai menunaikan solatnya. Dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, kecuali bagi seseorang imam yang mahu supaya para makmumnya belajar (berkenaan zikir) daripadanya. Maka dia boleh menguatkan zikirnya sehingga apabila dia merasa (mengetahui) bahawa mereka telah memahami (belajar), maka hendaklah dia kembali merendahkan (memperlahankan) suaranya ketika berzikir.[24]
Ketiga: Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani
Beliau juga merupakan salah seorang tokoh ulama hadis yang sangat terkemuka lagi disegani dan dihormati sejak sekian lama oleh para ulama hadis yang lain. Beliau bermazhab Syafie dan mempunyai beberapa buah kitab yang sangat hebat menjadi rujukan para ulama seluruh pelosok dunia.
Antara kitab paling unggul karangannya ialah kitab Fath al-Bari, syarah kepada kitab Sahih al-Bukhari, yang dikarang memakan masa selama 25 tahun. Kitab ini merupakan yang paling unggul daripada 49 buah kitab yang pernah dikarang oleh ulama-ulama hadis dalam menghuraikan kitab Sahih al-Bukhari.
Menjawab isu ini, dalam kitabnya Fath al-Bari, katanya bahawa Ibnu Abbas R.Anhuma telah mengkhabarkan:
أَنَّ رَفَعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِيْنَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوْبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. وَقَالَ اِبْنُ عَبَّاسٍ: كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوْا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya menyaringkan suara ketika berzikir semasa orang ramai selesai daripada solat fardu telah berlaku pada zaman Nabi SAW lagi. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata: Aku mengetahui mereka (orang ramai) telah selesai melaksanakan solat fardu apabila aku mendengarnya (berzikir secara nyaring).”[25]
Al-Hafiz Ibnu Hajar ketika mengulas kenyataan Ibnu Abbas R.Anhuma berkata: “Ia (hadis ini) menjadi dalil harus menyaringkan suara ketika berzikir selepas solat. Imam al-Nawawi berkata: “Imam al-Syafie memberikan pendapat dengan berdasarkan hadis ini bahawa mereka menyaringkannya dalam tempoh yang sedikit untuk mengajarkan bentuk zikir, bukannya mereka berterusan menyaringkannya. (Pendapat) yang terpilih ialah imam dan makmum berzikir dengan merendahkan (suara) melainkan jika ia perlu kepada pengajaran (imam mengajarkan makmumnya zikir tersebut).”
Hadis tersebut telah disokong dengan satu lagi riwayat daripada Imam al-Bukhari yang berbunyi:
كُنْتُ أَعْرِفُ انقِضَاءَ صَلاَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ بِالتَّكْبِيْرِ
Maksudnya: “Aku mengetahuinya selesainya solat Nabi SAW dengan ucapan takbir (secara nyaring).”
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245
[2] Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20
[3] Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396
[4] (Surah Taha: 14)
[5] (Surah al-Ahzab: 41-42)
[6] Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478
[7] (Surah al-Ahzab: 41)
[8] (Surah al-Insan: 25)
[9] Riwayat al-Bukhari (6407)
[10] Riwayat Ahmad (27102). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menilai sanad hadith ini adalah sahih.
[11] Riwayat al-Tirmizi (3499). Beliau berkata: Hadis ini adalah hadis Hasan.
[12] Riwayat al-Bukhari (841) dan Muslim (1346)
[13] Riwayat Muslim (1362)
[14] Riwayat al-Bukhari (844) dan Muslim (1366)
[15] Riwayat Muslim (1380)
[16] Riwayat Abu Daud (1481)
[17] Lihat al-Azkar, hlm. 57
[18] Riwayat al-Bukhari (796) dan Muslim (919)
[19] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/84
[20] Lihat al-Tahqiq, hlm. 219
[21] Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/250
[22] Lihat Taisir al-‘Allam, hlm. 266
[23] Lihat Fath al-Bari, 2/326
[24] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/84
[25] Riwayat al-Bukhari (840 )