#747: Tidur Selepas Asar

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika seseorang itu tidur selepas waktu Asar kerana katanya terdapat hadith yang melarang daripada tidur pada waktu itu kerana boleh menghilangkan akalnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا

Maksudnya:Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat.

(Surah al-Naba’: 9)

Menurut Ibn Kathir, tidur itu adalah memutuskan pergerakan bagi tujuan merehatkan diri daripada banyak bergerak dan berjalan pada urusan kehidupan bagi menempuh waktu siang. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/307)

Tidur ialah keadaan rehat dan tidak sedar terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling dalam tempoh tertentu. Tidur tidak sama dengan koma kerana orang yang tidur mudah terjaga. Manusia atau haiwan yang sedang tidur boleh terjaga dengan cepat, misalnya, akibat bunyi bising atau cahaya lampu yang terang. Semua manusia dan beberapa jenis haiwan mesti mempunyai jumlah tidur yang cukup dalam sehari pada sela masa yang tetap. Apa yang berlaku semasa tidur. Apabila seseorang itu tidur, semua aktiviti menurun dan otot berehat. Denyutan jantung dan kadar pernafasan menjadi perlahan. Orang itu, perlahan-lahan menjadi tidak sedar terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Orang yang tidur menukar posisi keseluruhan badan sekurang-kurangnya 12 kali semasa tidur selama lapan jam. Kepala, tangan, atau kaki lebih kerap digerakkan.

Apa yang berlaku tanpa tidur. Orang yang tidak cukup tidur kehilangan tenaga dan menjadi cepat marah. Apabila tidak tidur selama dua hari, mereka mendapati bahawa perhatian menjadi kurang tajam. Seseorang hanya dapat melakukan tugas bersungguh-sungguh sekejap sahaja, kemudian dia akan rasa terganggu. Banyak kesilapan dilakukan, terutamanya dalam tugas rutin, dan terlepas perhatian pada masa tertentu. Setiap orang yang “tidak tidur” terlelap selama beberapa saat atau lebih. Orang itu betul-betul tidur nyenyak melainkan jika aktif secara berterusan. Orang yang tidak tidur selama lebih daripada tiga hari sukar berfikir, melihat, dan mendengar dengan jelas. Ada yang mengalami halusinasi, iaitu melihat sesuatu yang tidak benar-benar wujud. Mereka juga terkeliru antara khayalan dengan kehidupan sebenar dan sering terhenti kerana terlupa apabila berbual. Ada manusia yang tidak tidur selama 11 hari tetapi orang yang lama tidak tidur hilang hubungannya dengan realiti. Mereka berasa sangsi dan takut akan orang lain. Contohnya, mereka menyangka bahawa doktor ialah pengurus mayat yang datang untuk mengebumikan mereka, atau makanan yang dimakan mereka telah diracun.

Perlunya tidur. Tidur mengembalikan tenaga kepada tubuh, terutamanya kepada otak dan sistem saraf. Manusia memerlukan tidur gelombang perlahan dan juga tidur bermimpi. Kekurangan tidur gelombang perlahan tidak dapat ditukar ganti dengan penambahan tidur bermimpi dan begitulah juga hal yang sebaliknya. Tidur gelombang perlahan dapat membantu terutamanya dalam membentuk protein dan mengembalikan kawalan otak dan sistem saraf terhadap otot, kelenjar, dan sistem tubuh yang lain. Tidur bermimpi penting khususnya untuk mengekalkan aktiviti mental seperti pembelajaran, penaakulan, dan penyesuaian emosi. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 21/476-478)

Jelaslah bahawa tidur merupakan satu perkara lumrah bagi seorang manusia yang normal. Tidur yang cukup diperlukan oleh manusia untuk menjalankan aktiviti harian selain daripada makan dan minum. Walau bagaimanapun, tidur juga tidak lari daripada hukum taklif yang lima, iaitu harus, wajib, sunat, haram dan makruh. Ia bergantung kepada situasi dan keadaan tertentu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 42/17)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat riwayat yang dikatakan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:

مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ، فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ، فلا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”

Seterusnya kami sertakan juga sebahagian pendapat ulama berkenaan status hadith ini. Di antaranya:

  • Ibn Hibban menyebutkan, di dalam sanadnya terdapat Khalid bin al-Qasim dan dia menyambung riwayat-riwayat yang terputus, merafa‘kan riwayat-riwayat yang mursal dan menyambung riwayat-riwayat yang mauquf. Justeru, tidak boleh menulis riwayatnya. (Lihat al-Majruhin, 1/344)
  • Ibn al-Jauzi menilai hadith ini sebagai tidak sahih. (Lihat al-Maudhu‘at, 3/252)
  • Al-Zahabi menyatakan, di dalam sanad hadith ini terdapat Khalid bin al-Qasim yang dituduh berdusta. (Lihat Tartib al-Maudhu‘at, hlm. 239)
  • Al-Haithami menyatakan, di dalamnya terdapat perawi bernama ‘Amr bin al-Husain ialah seorang yang matruk — ditinggalkan hadithnya. (Lihat Majma‘ al-Zawaid, 5/119)
  • Al-Busairi menyebutkan bahawa sanadnya adalah dhaif — yakni lemah. (Lihat Ithaf al-Khairah al-Mahrah, 4/451)
  • Al-Syaukani menyebutkan, di dalam sanad hadith ini terdapat perawi yang berdusta. (Lihat al-Fawaid al-Majmu‘ah, hlm. 216)
  • Ibn ‘Adi menyatakan bahawa di dalamnya terdapat perawi bernama Abdullah bin Lahi‘ah dan dia ialah seorang perawi yang dinilai dhaif. Akan tetapi hadithnya dinilai hasan dan termasuk dalam kalangan yang ditulis hadithnya. Selain itu, pada tempat yang lain, beliau juga ada menyebutkan, di dalamnya terdapat Mansur bin ‘Ammar dan Ibn Lahi‘ah. Mansur ialah seorang yang diingkari hadithnya. Manakala Ibn Lahi‘ah pula layyin. (Lihat al-Kamil fi al-Dhu‘afa’, 5/240; al-Kamil fi al-Dhu‘afa’, 8/133)
  • Al-Albani pula menilai hadith ini sebagai dhaif. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah, 1/112)
  • Al-Suyuti juga ada menyebutkan bahawa hadith ini adalah dhaif dan bukannya palsu. (Lihat al-Nukat ‘ala al-Maudu‘at, hlm. 206)

Oleh itu, kita mengetahui bahawa para ulama berbeza pendapat dalam menentukan statusnya. Ada dalam kalangan mereka yang mengdhaifkan hadith ini dan ada juga dalam kalangan mereka yang memalsukannya. Justeru, hadith ini adalah dhaif dan lemah sekalipun tidak sampai kepada palsu. Maka dengan itu, kami nyatakan bahawa tiada hadith sahih yang melarang tidur selepas Asar.

Walau bagaimanapun, sebahagian para ulama tetap berpendapat makruh hukumnya untuk tidur selepas waktu solat Asar sebagaimana disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah. Tambahan lagi, ‘Abd al-Karim al-Khudhair dalam syarahannya terhadap Bulugh al-Maram menyebutkan, tidur selepas solat Subuh termasuk dalam perkara yang dilihat tidak baik dan begitu juga tidur selepas solat Asar. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/17; Syarh Bulugh al-Maram, 45/9)

Begitu juga Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menyatakan bahawa dimakruhkan untuk tidur selepas Asar berdasarkan hadith:

مَنْ نَامَ بَعْدَ العَصْرِ، فَاْخَتَلَّ عَقْلُهُ، فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidur selepas solat Asar lalu terganggu akalnya. Maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”

Kemudian, pada bahagian nota kaki berkenaan hadith ini dinayatakan bahawa ia diriwayatkan oleh Abu Ya‘la al-Mausili daripada Aisyah R.Anha. Akan tetapi ia adalah hadith dhaif. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/470)

Para ulama yang berpendapat bahawa tidur selepas Asar adalah makruh selain berdalilkan dengan hadith ini, mereka juga berhujah dengan sebahagian athar daripada kalangan ulama salaf. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Khawwat bin Jubair, beliau berkata:

كَانَ نَوْمُ أَوَّلِ النَّهَارِ خُرْقٌ، وَأَوْسَطُهُ خُلُقٌ، وَآخِرُهُ حُمْقٌ

Maksudnya:Tidur pada awal siang itu adalah suatu yang tercela, tidur pada pertengahan siang adalah suatu yang baik, dan tidur di akhir siang pula adalah satu kebodohan.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (26677)

Begitu juga diriwayatkan daripada Makhul bahawa beliau tidak menyukai perbuatan tidur selepas Asar. Beliau mengatakan:

يُخَافُ عَلَى صَاحِبِهِ مِنْهُ الْوَسْوَاسُ

Maksudnya:Dikhuatiri pelakunya akan ditimpa penyakit waswas.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (26678)

Selain itu, Ibn Muflih juga ada menyebutkan bahawa makruh untuk tidur selepas Asar kerana terdapatnya hadith yang menyatakan bahawa perbuatan itu akan menjejaskan akalnya dan dalam sanad hadith itu terdapat perawi bernama Ibn Lahi‘ah. Namun, al-Laith bin Sa‘d tidak beramal dengan hadith ini dan beliau tidur pada waktu tersebut. Selain daripada itu, Ibn Muflih turut menukilkan daripada al-Marruzi bahawa beliau mendengar daripada Abu ‘Abdillah — yakni Imam Ahmad bin Hanbal — yang menyebutkan, makruh untuk seseorang itu tidur selepas Asar kerana dikhuatiri akan menjejaskan akalnya. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 3/159; Ghaza’ al-Albab fi Syarh Manzumah al-Adab oleh al-Saffarini, 2/355)

Di samping itu, pendapat al-Laith yang tidak bersetuju dengan larangan tidur selepas Asar ini turut disebutkan oleh al-Albani dalam kitabnya, ketika mana seseorang bertanya kepada al-Laith berkenaan, mengapa beliau tidur selepas waktu Asar dalam bulan Ramadhan? Lalu beliau menjawab, aku tidak akan meninggalkan perkara yang bermanfaat buat diriku hanya disebabkan oleh hadith Ibn Lahi‘ah daripada ‘Uqail. Kemudian, al-Albani mengulas kenyataan ini dengan mengatakan bahawa sesungguhnya beliau berasa takjub dengan jawapan yang diberikan oleh al-Laith ini. Hal ini kerana ia menunjukkan kepada kefaqihan dan keilmuannya. Maka ia bukanlah suatu perkara yang pelik, lebih-lebih lagi beliau termasuk dalam kalangan imam kaum Muslimin dan fuqaha yang dikenali. Sesungguhnya aku mengetahui ramai dalam kalangan masyayikh hari ini yang melarang daripada tidur selepas Asar sekalipun sebenarnya mereka berhajat kepadanya. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah, 1/113)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak ada sebarang larangan untuk tidur selepas waktu Asar yang sahih. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat makruh tidur pada waktu tersebut kerana ia termasuk dalam perkara yang dilihat tidak baik. Selain itu, hukum makruh itu adalah berdasarkan kepada athar daripada ulama salaf dan juga pengalaman — yakni tajrubah — kebiasaannya orang yang tidur selepas Asar ini akan terjejas akalnya. Oleh yang demikian, mereka berpendapat hukumnya adalah makruh dan sebaiknya perbuatan ini dijauhi.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu sangat memerlukan atau berhajat untuk tidur pada waktu tersebut kerana terlalu letih dan mengantuk, maka ia dibolehkan dan tidak mengapa melakukannya kerana Allah SWT telah menjadikan tidur untuk kita berehat daripada kepenatan bekerja dan sebagainya. Dengan tidur yang secukupnya, akan mengembalikan tenaga kepada tubuh badan bagi melaksanakan segala tugasan, termasuklah soal beribadah kepada Allah SWT dengan lebih khusyuk dan berfokus.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H