#2070: Peranan Seorang Muslim Dalam Mendepani Ujian Allah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mohon sedikit nasihat tentang peranan kita warga emas yang telah lanjut usia. Terdapat sebahagian mereka yang tidak redha dan tidak dapat terima ujian Allah SWT di usia emas mereka seperti sakit dan pasangan mengalami Dementia. Hal ini mengakibatkan mereka melalui fasa kemurungan, menangis mengenang kisah-kisah lalu, terkadang menyalahkan anak-anak, dan mengadu domba sehingga anak-anak berpecah belah. Mereka seakan tidak mendapat pengisian jiwa kerana jiwa sendiri tidak berasa tenang.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia di dalam portal rasmi MyHealth, Dementia merupakan sejenis penyakit otak (gangguan mental) yang progresif. Ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian dan boleh menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan masa panjang. Sebahagian dari pesakit dementia kurang/tidak berupaya melakukan aktiviti-aktiviti harian. Mereka juga sukar untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi.[1]

Kesemua penyakit sama ada fizikal atau mental adalah termasuk dalam ujian kehidupan. Ia termasuk di dalam hikmah Allah SWT dalam penciptaan makhluk-Nya, terkadang ada yang indah dan terkadang ada yang tidak indah. Baginilah sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Kahf: 7)

Dan juga dalam firman-Nya:

وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ

Maksudnya: “dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan.”

(Surah al-Anbiya’: 35)

Dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan dugaan, cabaran dan rintangan, kita sebagai orang yang beriman, adalah dituntut untuk bersangka baik, berfikiran positif, dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Hal ini terutamanya apabila kita menghadapi masalah atau berdepan dengan situasi yang sukar atau berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

(Surah Yusuf: 87)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas menjelaskan bahawa Allah SWT menegah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/232)

Sayyid Qutb pula berkata: “Orang-orang beriman, yang mempunyai hati yang berhubung mesra dengan Allah dan mempunyai kelegaan dan keselesaan yang dipupuk oleh bayu rahmat Allah, mereka tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun mereka dikepung oleh kesusahan dan penderitaan. Hal ini kerana orang yang beriman itu sentiasa berada dalam kelegaan dan keselesaan di bawah naungan iman dan sentiasa berada dalam hubungan mesra dengan Allah. Mereka juga sentiasa tenteram disebabkan keyakinan mereka kepada Allah tatkala mereka dilanda kesusahan dan penderitaan yang mencemaskan. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/339)

Kami mengajak sahabat sekalian untuk merenung sejenak firman Allah SWT:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).”

(Surah al-Taghabun: 11)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya mengatakan bahawa tidak akan menimpa seseorang hamba sebarang ujian melainkan dengan izin Allah SWT, qadha’ dan qadar-Nya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah SWT pasti akan tahu bahawa tiada siapa yang mampu menimpakan ujian pada dirinya kecuali dengan izin Allah SWT, lalu hatinya redha dengan ketentuan Ilahi. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 23/421)

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kalam Abu al-Darda’ berkenaan ayat di atas, katanya: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mentaqdirkan suatu ketentuan, dia suka apabila ketentuan-Nya itu diredhai (oleh hamba-hambanya).” (Lihat Rawai‘ al-Tafsir, 2/477)

Benarlah sabda Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan daripada Suhaib bin Sinan al-Rumi R.A:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Sungguh ajaib perihal orang yang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka baik-baik sahaja, dan tidak ada yang seperti itu melainkan mereka yang beriman sahaja. Apabila dia ditimpa kegembiraan lalu dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya. Dan apabila dia ditimpa kesedihan lalu dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”

Riwayat Muslim (2999)

Ingatlah bahawa pada setiap ujian yang dilalui oleh seorang hamba itu akan mendapat imbal balasnya daripada Allah SWT tanpa sebarang hisab terlebih dahulu. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”

(Surah al-Zumar: 10)

Rasulullah SAW juga telah menyampaikan berita gembira kepada kita bahawa orang yang redha dengan ketentuan Allah SWT, maka Allah SWT akan redha dengannya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

Maksudnya: “Sesungguhnya besarnya suatu ganjaran itu apabila besarnya ujian (yang dilalui), dan sesungguhnya Allah apabila Dia menyukai suatu kaum itu, maka Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha maka Allah akan redha terhadapnya, dan siapa yang marah (atau kecewa) maka baginya murka (Allah)”

Riwayat al-Tirmizi (2396) dan Ibn Majah (4031)

Apabila seseorang yang beriman itu ditimpa ujian Allah SWT, ketahuilah bahawa ujian tersebut tidak lain hanyalah sebagai penghapus dosa-dosa kecilnya yang lampau. Ini seperti mana yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ شَيْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ، حَتَّى الشَّوْكَةُ تُصِيبُهُ، إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً، أَوْ حُطَّتْ عَنْهُ خَطِيئَةٌ

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu pun yang menimpa seorang mukmin (kesusahan), sekalipun yang menimpanya itu hanyalah duri (atau lebih daripada itu), melainkan Allah catat baginya kebaikan atau menghapuskan dosa-dosanya kerana itu.”

Riwayat al-Bukhari (5640) dan Muslim (2572)

Kami menyebutkan kesemua kelebihan orang yang bersabar dan ganjaran bagi mereka yang redha seperti di atas, bukanlah tujuannya untuk menafikan sebab yang boleh membantu kepada kesembuhan iaitu mendapatkan rawatan. Bahkan yang lebih afdhal adalah dengan kita bersabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT atas ujian yang menimpa, serta mengambil langkah rawatan dan pencegahan dengan berjumpa pakar-pakar perubatan.

Diriwayatkan daripada Usamah bin Syarik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَدَاوَوْا عِبَادَ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سُبْحَانَهُ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ مَعَهُ شِفَاءً إِلَّا الْهَرَمَ

Maksudnya: “Wahai hamba Allah, berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak meletakkan satu penyakit melainkan Dia juga akan meletakkan ubat bagi penyakit tersebut melainkan penyakit tua (tidak boleh dirawat menjadi muda).”

Riwayat al-Tirmizi (2038), al-Nasa’ie (7553), Ibn Majah (3436) dan Ahmad (18454)

Wallahu a‘lam

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/demensia/#:~:text=Dementia%20adalah%20sejenis%20penyakit%20otak,berupaya%20melakukan%20aktiviti%2Daktiviti%20harian

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H