Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan, baru-baru ini saya ada melihat satu video yang menyatakan bahawa siput babi ini mempunyai lendir yang sangat kaya dengan kolagen. Justeru, ia dijadikan sebagai antara bahan utama dalam pembuatan produk kosmetik. Soalan saya, siput babi tidak boleh dimakan, jadi bagaimana pula dengan produk kosmetik yang dihasilkan dengannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Secara umumnya, jumhur ulama berpendapat, siput babi (escargot) adalah haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis hasyarat yang dianggap jijik dan kotor, serta tabiat semula jadi manusia menjauhinya. Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan, ada dalam kalangan ulama yang mengharuskan untuk memakannya. Ini merupakan pendapat Imam Malik. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini kami telah bahaskannya dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #649 Makan Escargot.[1]
Dalam menjawab soalan di atas, siput babi termasuk dalam kategori haiwan yang tidak memiliki darah merah seperti serangga, ulat dan seumpamanya. Haiwan seperti ini ketika hidupnya dianggap suci dan bukannya najis. Hal ini kerana hukum asal setiap haiwan itu adalah suci — yakni bukan najis — melainkan ada nas yang menunjukkan sebaliknya seperti kenajisan babi, anjing atau seumpamanya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan (yang hidup) itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226). Justeru, siput babi termasuk dalam haiwan yang suci ketika ia masih hidup.
Adapun ketika matinya, jumhur ulama berpendapat, ia dianggap suci dan bukan najis manakala ulama Syafi‘iyyah berpendapat, ia adalah najis. Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan, terdapat dua tariq (pendapat/aliran). Salah satunya, berkenaan kenajisannya ada dua pendapat. Jika kita katakan ia najis, maka ia telah menajiskan air. Sekiranya tidak (yakni bukan najis), maka ia tidak menajiskan air. Ini merupakan pendapat al-Qaffal. Manakala aliran (tariq) kedua pula, haiwan itu dikira sebagai najis secara pasti. Inilah pendapat yang diputuskan oleh ulama dari Iraq dan selain mereka. Inilah pendapat yang sahih kerana ia termasuk dalam bangkai. Seterusnya mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat, ia tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Dalil kami (ulama mazhab Syafi‘i), haiwan itu adalah bangkai. Namun, air tidak menjadi najis kerana susah untuk menjaga dan memelihara daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/130).
Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, setiap haiwan yang tidak memiliki darah merah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khiraqi yang terdiri daripada haiwan darat dan haiwan laut (air) seperti lintah, cacing, ketam dan seumpamanya, maka ia tidak menjadi najis dengan sebab kematiannya, begitu juga ia tidak menajiskan air apabila mati di dalamnya menurut pendapat kebanyakan fuqaha’. Ibn al-Munzir menyatakan, tidak diketahui dalam hal tersebut adanya khilaf melainkan terdapatnya salah satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i yang menyatakan, ia menajiskan air yang sedikit (kurang dua qullah). Sebahagian ashabnya menyebutkan, ia berdasarkan kaedah qias. Manakala pendapat keduanya menyatakan, ia tidak menajiskan air. Inilah pendapat yang paling terbaik (dari segi maslahahnya) untuk orang ramai. (Lihat al-Mughni, 1/60).
Kemudian Ibn Qudamah menyatakan pula, dalil kami (ulama mazhab Hanbali) ialah sabda Nabi SAW:
إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَفِي الأُخْرَى شِفَاءً
Maksudnya: “Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia mencelupnya kemudian membuangnya, kerana sesungguhnya pada salah satu daripada kedua sayapnya terdapat penyakit dan pada yang lainnya terdapat penawar.”
Riwayat al-Bukhari (3320)
Selain itu juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 di Negeri Sembilan telah membincangkan Hukum Menternak dan Menjual Lintah dan Cacing untuk Tujuan Perubatan dan Kosmetik. Muzakarah telah memutuskan bahawa menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan sebagai bahan kosmetik adalah harus, dan hukum menternak atau berjual beli atas dasar manfaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut juga adalah harus. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 118.
Berdasarkan keputusan muzakarah fatwa di atas, didapati wujudnya persamaan antara hukum penggunaan cacing dan lintah untuk penghasilan produk kosmetik dengan siput babi. Ini kerana kedua-dua mempunyai ciri-ciri yang hampir sama, iaitu kedua-duanya tergolong dalam jenis haiwan hasyarat, di samping dipandang kotor dan jijik oleh masyarakat majmuk setempat dari sudut dijadikannya sebagai makanan. Namun, haiwan ini juga sudah dikenal pasti dapat mendatangkan manfaat dan maslahah kepada manusia sama ada maslahah dari sudut asliyyah atau tab’iyyah.
Kesimpulannya
Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik adalah termasuk dalam masalah ijtihadiyyah kerana tidak ada nas al-Quran atau nas hadith yang secara sahih dan sarih menjelaskan hukum masalah ini sama ada membenarkannya mahupun melarangnya. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَن أَشيَاءَ رَحْمَةً بِكُم غَيرَ نِسيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya, dan Allah SWT telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dia juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa perkara sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya (hukumnya).”
Riwayat al-Daraqutni (4/183) dan al-Hakim (7114)[2]
Larangan untuk memakan siput babi kerana ia dianggap sebagai suatu yang jijik, tidak menafikan manfaat yang dapat diperoleh daripadanya untuk perkara yang lain (selain sebagai makanan) seperti kosmetik dan perubatan. Penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik adalah termasuk masalah al-maskut ‘anhu (yang disenyapkan dan tidak dijelaskan hukumnya secara jelas) oleh al-Quran atau al-Sunnah. Oleh itu, selagi mana ia tidak mendatangkan mudarat dan mafsadah maka ia adalah mubah (diharuskan). Lebih-lebih lagi terdapat kajian menyatakan bahawa lendir yang dihasilkan oleh siput babi kaya dengan kolagen sehinggakan harga lendir siput babi yang sudah ditukarkan (diproses) menjadi serum serbuk dikatakan lebih mahal daripada emas dengan harga 58, 200 dollar setiap kilogram.[3]
Justeru, kami berpendapat bahawa menggunakan siput babi mahupun lendirnya sebagai bahan utama dalam pembuatan produk kosmetik adalah diharuskan selagi mana ia tidak mendatangkan mudarat mahupun mafsadah kepada penggunanya. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Bahkan Allah SWT sendiri telah mengkhabarkan kepada kita bahawa dijadikan segala yang ada di langit dan di bumi untuk manusia mengambil faedah atau manfaat daripadanya menerusi firman-Nya:
وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya -Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Penggunaan siput babi dalam penghasilan produk kosmetik adalah harus kerana terdapatnya manfaat yang dapat diperolehi daripadanya, dari segi perubatan dan kecantikan (kosmetik). Oleh yang demikian, hukum jual beli siput babi juga adalah sah disebabkan oleh manfaat yang terhasil daripadanya. Hal ini bertepatan dengan prinsip-prinsip penetapan hukum Islam, di mana salah satu tujuan syariat hukum Islam adalah untuk mewujudkan kemaslahatan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a’lam
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/649-makan-escargot/. Diakses pada 18 Ogos 2023.
[2] Imam al-Nawawi dalam Bustan al-‘Arifin (44) menilai sanadnya sebagai hasan. Manakala Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran (3/202) menilainya sebagai sahih. Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam Fath al-Bari (13/280), padanya terdapat syahid (sokongan).
[3] Lihat https://www.facebook.com/Jadok5737/videos/1650784125079044/. Diakses pada 21 Ogos 2023.
Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445