#4594: Sa‘d bin Khaithamah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada baca buku Garis Masa Hayat al-Rasul tulisan ustaz, sehinggalah mata saya menangkap satu gambar monumen yang tertulis padanya nama-nama syuhada’ dalam Peperangan Badr, antaranya adalah Sa‘d bin Khaithamah. Saya pernah juga dengar namanya tentang peristiwa hijrah Rasulullah ke Madinah. Boleh ustaz ceritakan tentang Sa‘d ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami katakan, orang yang kami terjemahkan biografinya salah seorang daripada ahli Badar yang telah mati syahid dalam peperangan Badar.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Nama penuh beliau adalah Abu ‘Abdillah Sa‘d bin Khaithamah bin al-Harith al-Ansari al-Ausi al-Badri ibn Malik bin Ka‘b bin al-Nahhat bin Ka‘b bin Harithah bin Ghanam bin al-Salmi. Dan beliau merupakan saudara seibu kepada Abu Dhayyah al-Nu‘man bin Thabit R.A. Rasulullah SAW pernah mempersaudarakannya dengan Abu Salamah bin ‘Abd al-Asad.

Kisah Ketika Peperangan al-Badr

Sejarawan Islam mengatakan bahawa Sa‘d  ini merupakan salah seorang dari 12 orang panglima perang. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 137)

Dikisahkan, ketikamana Rasulullah SAW mempersiapkan kaum muslimin pada hari peperangan Badr, mereka semua bersegera bersiap siaga. Sa‘d dan bapanya Khaithamah masing-masing berebut untuk keluar berperang bersama Rasulullah SAW, sedangkan salah seorang mereka perlu tinggal untuk menjaga keluarga mereka dari kalangan wanita.

Diriwayatkan daripada Sulaiman bin Aban, katanya:

أنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ لَمَّا خَرَجَ إِلَى بَدْرٍ أَرَادَ سَعْدُ بْنُ خَيْثَمةَ وَأَبُوهُ جَمِيعًا الخُرُوجَ مَعَهُ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ ﷺ، فَأَمَرَ أَنْ يَخْرُجَ أَحَدُهُمَا فَاسْتَهَمَا، فَقَالَ خَيْثَمَةُ بْنُ الحَارِثِ لِابْنِهِ سَعْدٍ: إِنَّهُ لَا بُدَّ لِأَحَدِنَا مِنْ أَنْ يُقِيمَ فَأَقِمْ مَعَ نِسَائِكَ، فَقَالَ سَعْدٌ: لَوْ كَانَ غَيْرَ الْجَنَّةِ آثَرْتُكَ بِهِ، إنِّي أَرْجُو الشَّهَادَةَ فِي وَجْهِي هَذَا، فَاسْتَهَمَا، فَخَرَجَ سَهْمُ سَعْدٍ، فَخَرَجَ مَعَ رَسُولِ اللهِ ﷺ إِلَى بَدْرٍ، فَقَتَلَهُ عَمْرُو بْنُ عَبْدِ وُدٍّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW ketikamana hendak keluar dalam peperangan al-Badr, Sa‘d bin Khuthaimah dan bapanya kedua-dua mereka ingin keluar bersama Baginda, lalu perkara tersebut diceritakan kepada Rasulullah SAW, maka Baginda mengarahkan salah seorang dari mereka sahaja yang keluar. Kedua-dua mereka pun membuat undian menggunakan anak panah, Khaithamah berkata kepada anaknya Sa‘d: ‘Salah seorang daripada kita perlu tinggal, maka tinggallah kamu bersama wanita-wanita di bawah jagaanmu’. Lalu Sa‘d menjawab: ‘Kalau bukan kerana syurga, aku akan dahulukanmu untuk keluar berperang, sungguh aku inginkan mati syahid dengan wajahku ini (beliau memaksudkannya sebagai sumpah)’. Mereka berdua terus membuat undian. Kemudian keluarlah anak panah Sa‘d (beliau menang undian) dan beliau keluar berperang bersama Rasulullah SAW dalam peperangan Badr, lalu ‘Amru bin ‘Abd Wudd membunuhnya.”

Riwayat al-Hakim (4935)

Manakala bapa Khaithamah pula gugur syahid dalam peperangan Uhud. Kisah kematiannya ini diceritakan oleh Dr Raghib al-Sirjani, bahawa pada suatu ketika Khaithamah ini memeberitahu kepada Rasulullah SAW tentang penyesalannya. Katanya: “Wahai Rasulullah, aku telah melakukan kesilapan ketika hari berlakunya peperangan Badr. Aku membuat undian menggunakan anak panah dengan anakku untuk keluar berperang (peperangan Badr), dan anak panahnya keluar lalu dia direzekikan mati syahid. Semalam aku telah melihatnya di dalam mimpiku dalam gambaran yang sangat baik, makan dari buah-buahan syurga dan minum dari sungai-sungainya.

Dan dia juga berkata kepadaku: ‘Marilah bersama menemaniku di syurga. Aku telah mendapati bahawa apa yang dijanjikan Tuhanku itu adalah benar.’

Demi Allah wahai Rasulullah! Aku bangun dalam keadaan rindu untuk menemaninya di syurga. Umurku telah lanjut, tulang-belulangku telah rapuh, dan aku berharap agar dapat menemui Tuhanku. Doakanlah untukku wahai Rasulullah! Agar aku direzekikan mati syahid dan menemani Sa‘d di syurga.” Rasulullah SAW pun mendoakan perkara tersebut, lalu Khaithamah gugur syahid dalam peperangan Uhud. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/266; al-Sirah al-Nabawiyyah, 26/15)

Keistimewaan Sa‘d bin Khaithamah

Imam Ibn Hisyam menukilkan daripada Ibn Ishaq, bahawa Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah al-Munawwarah, Baginda berhenti di rumah Kulthum bin Hadm. Terdapat juga riwayat bahawa Baginda SAW berhenti di rumah Sa‘d bin Khaithamah, dikatakan apabila Rasulullah SAW keluar dari rumah Kulthum bin Hadm, Baginda akan duduk dengan masyarakat di rumah Sa‘d bin Khaithamah kerana beliau bujang dan tidak berkeluarga. Dan di situ juga terdapat rumah-rumah sahabat dari kalangan Muhajirin yang tidak berkahwin, maka dengan sebab itulah rumah Sa‘d bin Khaithamah dinamakan sebagai Bait al-A‘zab (Rumah Orang-orang Bujang). Allah SWT jugalah yang lebih mengetahui kebenarannya. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 1/493)

Beginilah serba ringkas yang dapat saya kongsikan berkenaan sahabat yang mulia ini. Semoga Allah SWT mengganjari beliau dengan ganjaran yang besar atas pengorbanan beliau memperjuangkan agama Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Wallahu a‘lam