#4602: Biografi Ringkas ‘Aqil Bin al-Bakir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri,  boleh kisahkan kepada kami siapa sahabat nabi yang bernama ‘Aqil Bin al-Bakir dan apakah kisahnya  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Biografi Ringkas Sahabat ‘Aqil Bin al-Bakir

Berdasarkan persoalan di atas nama beliau adalah ‘Aqil Bin al-Bakir Bin Ya Lail Bin Nasyib  Bin Ghirah Bin Sa’ad Bin Laith Bin Bakir  Bin Abd Manah Bin Kinanah al-Laisi. Nama beliau sebelum islam  adalah Ghafil kemudian Rasulullah SAW menukar dan menamakannya sebagai ‘Aqil. Telah memeluk islam kesemua anak Abu al-Bakir termasuklah ‘Aqil dan beliau merupakan orang yang terawal memeluk islam di Dar al-Arqam selepas Rasulullah SAW menjadikan tempat tersebut sebagai tempat untuk menyebarkan dakwahnya.

Anak anak Abu al-Bakir berhijrah namun mereka dihalang, baik lelaki mahupun perempuannya, sampai pintu-pintu (kota) ditutup bagi mereka. Mereka kemudian menetap di tempat Rafi’ah bin ‘Abd al-Munzir di Madinah. Kemudian, mereka menyatakan bahawa Rasulullah  SAW menjadikan persaudaraan antara ‘Aqil dan Mubashir bin ‘Abd al-Munzir, lalu keduanya gugur bersama dalam perang Badar. Dikatakan bahawa ‘Aqil telah dibunuh oleh Maik Bin Zuhair al-Jashmi dan   gugur syahid dalam peperangan Badar ketika umurnya 34 tahun (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala, 1/185)

Justeru kami katakan sahabat Rasulullah SAW Aqil Bin al-Bakir merupakan pemuda yang sanggup berkorban nyawa demi menentang musuh dan membela serta mengangkat kalimah Allah.   Kesanggupannya untuk berkorban dalam mempertahankan kebenaran menjadikan beliau salah satu dari mereka yang menginspirasi dengan pengorbanan dan keberaniannya yang luar biasa dan dia tergolong dari kalangan 14 perwira yang Syahid dalam peperangan Badar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua’lam