#4606: Iman Benteng Azab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah iman adalah sebagai benteng azab Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا كَانَتْ قَرْيَةٌ ءَامَنَتْ فَنَفَعَهَآ إِيمَـٰنُهَآ إِلَّا قَوْمَ يُونُسَ لَمَّآ ءَامَنُوا۟ كَشَفْنَا عَنْهُمْ عَذَابَ ٱلْخِزْىِ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَمَتَّعْنَـٰهُمْ إِلَىٰ حِينٍۢ

Maksudnya: “Tidak ada sebuah negeri pun yang seluruh penduduknya beriman, lalu keimanan itu memberi manfaat dengan menyelamatkannya daripada azab melainkan kaum Nabi Yunus. Apabila mereka beriman Kami hapuskan  daripada mereka azab kehinaan dalam kehidupan dunia dan Kami kurniakan kesenangan kepada mereka hingga ke suatu masa yang Kami tentukan.”

(Surah Yunus: 98)

Ibn Kathir menukilkan daripada Qatadah, katanya: Sekiranya penduduk suatu negeri telah kafir, kemudian beriman ketika azab datang, maka keimanannya tidak bermanfaat dan terus menerima azab kehancuran. Kecuali kaum Nabi Yunus A.S, tatkala Nabi Yunus A.S meninggalkan mereka dengan ancaman azab, lalu ketika azab menghampiri mereka, mereka bersegera insaf dan bertaubat memakai pakaian kasar dan memisahkan setiap ternakan dengan anaknya memohon pengampunan daripada Allah SWT selama 40 malam. Dengan ketulusan taubat mereka, Allah SWT menjauhkan mereka daripada azab yang hampir menimpa mereka. (Lihat  Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)

Iman Benteng Azab dan Bencana

Zaman ini turut menyaksikan pelbagai wabak dan bencana alam yang melanda manusia. Orang Islam khususnya, cuba membahaskan kejadian ini sama ada berlaku kerana ke-murkaan Allah SWT ataupun hanyalah kejadian alam semulajadi yang tiada kaitan dengan kemurkaan Allah SWT terhadap maksiat manusia. Hakikatnya, dengan mengatakan bencana alam dan wabak penyakit sebagai kejadian alam semulajadi semata, seolahnya telah memisahkan antara iman dan kejadian alam.

Kaum Nabi Yunus A.S telah melakukan perbuatan kekufuran kepada Allah SWT yang hampir menyebabkan mereka diazab, namun dengan taubat dan iman yang ikhlas kepada Allah SWT, mereka diselamatkan daripada azab tersebut. Bahkan Allah SWT membentangkan kisah ini sebagai suatu isyarat peringatan kepada kaum musyrikin Makkah, supaya mereka mengambil tindakan untuk beriman sebelum azab Allah SWT menimpa mereka. Jika kaum musyrik diselamatkan daripada azab dan bencana dengan keimanan mereka kepada Allah SWT, maka orang Islam seharusnya lebih utama untuk memperbaiki iman dan amal dalam menghadapi wabak dan bencana yang melanda umat manusia pada hari ini. Sudah semestinya manusia tidak dapat menilik kemurkaan Allah SWT, namun bagi orang yang beriman, kejadian alam sama ada yang baik ataupun yang buruk adalah petunjuk untuk menambahkan keimanan dan mempertingkatkan ibadah dan juga taubat kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/404-405)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, benarlah bahawa iman adalah sebagai benteng daripada azab Allah SWT. Justeru, berimanlah ketika diberikan kenikmatan, kelapangan dan kemewahan kerana iman di masa ini akan memberi manfaat pada diri sendiri. Tatkala ajal menjemput, tiada lagi ruang bertaubat, apatah lagi untuk beramal.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.