#4751: Larangan Memakai Sutera dan Emas Bagi Lelaki

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa para lelaki tidak dibenarkan memakai emas dan sutera di kalangan umat Muhammad SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kita katakan, pakaian tersebut dikhususkan kepada wanita berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Saidina Ali bin Abi Talib RA:

إِنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.”

Riwayat Ahmad (935)

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Kerana adanya pengecualian hukum bagi kaum wanita, iaitu dibolehkan bagi kaum wanita memakai emas dan sutera untuk menjaga perasaan wanita dan tuntutan kewanitaannya dengan sifat atau fitrah semulajadi kaum wanita itu suka serta cenderung untuk menghias diri. Kecenderungan untuk bermewah atau menghias diri itu tidaklah bertujuan untuk menggoda kaum lelaki serta menaikkan semangat nafsu syahwatnya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 151)

Antara alasan yang diberi oleh Rasulullah SAW seperti hadith Ibn Abi Laila, katanya:

كَانَ حُذَيْفَةُ، بِالْمَدَايِنِ، فَاسْتَسْقَى، فَأَتَاهُ دِهْقَانٌ بِمَاءٍ فِي إِنَاءٍ مِنْ فِضَّةٍ، فَرَمَاهُ بِهِ وَقَالَ: إِنِّي لَمْ أَرْمِهِ إِلَّا أَنِّي نَهَيْتُهُ فَلَمْ يَنْتَهِ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الذَّهَبُ وَالفِضَّةُ، وَالحَرِيرُ وَالدِّيبَاجُ، هِيَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا، وَلَكُمْ فِي الآخِرَةِ».

Maksudnya: Suatu ketika, Huzaifah pernah berada di Madayin dan meminta air minuman, lalu dihqan (seorang ketua kampung) datang kepadanya dengan membawa air dalam satu bekas yang diperbuat daripada perak. Namun Huzaifah melemparkan bekas itu lalu berkata: “Sesungguhnya tidaklah aku melemparnya, melainkan aku telah melarangnya (menggunakan bekas perak ini), tetapi dia tidak mahu berhenti (menggunakannya). Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Emas, perak, sutera, dan sutera halus, adalah untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia dan untuk kalian (umat Islam) di akhirat.’”

Riwayat al-Bukhari (5831)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”