#5246: Pekerja Pembersihan dan Cara Membuang Ayat-Ayat Al-Quran yang Lama

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana pekerja pembersihan mahu membersihkan najis daripada mereka? Seperti pekerja pembersihan bahagian kitar semula. Saya tengok mereka lagi terdedah dengan pelbagai jenis najis. Dan bagaimana pula mereka perlu buat jika ada orang membuang barang seperti muqaddam atau ayat-ayat alquran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan).”

(Surah al-Waqi’ah: 77)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya  mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)

Firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqiah: 79)

Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali RA, Ibnu Mas’ud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’e. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bagi pekerja pembersihan, kami mengesyorkan apabila hendak mendirikan solat, maka tukarlah pakaian yang bersih agar solat lebih sempurna dan selesa kerana syarat sah solat adalah bersih daripada najis. Namun, sekiranya dapat dipastikan tiada najis pada pakaian, maka tidak menjadi masalah untuk solat dengan pakaian tersebut. Perlu difahami suatu yang kotor tidak semestinya najis, tetapi suatu yang najis sudah tentu kotor.

Manakala, bagi pelupusan ayat-ayat al-Quran atau mushaf, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2835: Melupuskan Bahan Bacaan yang Mengandungi Ayat al-Quran[1]

Maka, ringkasnya terdapat dua pandangan ada yang mengatakan ia perlu dilupuskan dengan cara ditanam dalam tanah dan ada yang berpendapat ia perlu dibakar. Meskipun begitu, kami lebih cenderung kepada hujah mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar. Justeru, sebaiknya ia perlu dikumpulkan agar mudah untuk proses pembakaran dan mereka yang membuang sampah sewajarnya mengasingkan mushaf tersebut dalam satu tempat bagi memudahkan urusan pekerja yang mengutip sampah tersebut.

Akhirnya, moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota kaki:

[1] https://maktabahalbakri.com/2835-melupuskan-bahan-bacaan-yang-mengandungi-ayat-al-quran/