#5209: Nama Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan nama surah al-Kahfi dengan nama ini atau ada lagi nama yang lain?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perkataan al-Kahf (الْكَهْفُ) di dalam bahasa Arab bermaksud “gua”. Manakala, Ashab al-Kahfi pula bermaksud “penghuni-penghuni gua”. Nama ini juga diambil daripada kisah yang terdapat dalam surah ini iaitu pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT di dalam gua bertahun-tahun lamanya.

Nama tauqifi bagi surah ini sepertimana yang dinamakan sendiri oleh Rasulullah SAW ialah Surah al-Kahfi. (Lihat al-Itqan Fi Ulum al-Quran, 1/193; al-Tahrir Wa al-Tanwir, 15/241)

Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ R.A bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (809)

Riwayat-riwayat daripada sahabat R.Anhum juga menunjukkan bahawa mereka mengenali surah ini dengan nama ‘al-Kahfi’. Antaranya riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, seperti yang disebutkan di dalam Surah al-Isra’ sebelum ini. Begitu juga dengan sebuah riwayat daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa beliau berkata:

كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الكَهْفِ، وَإِلَى جَانِبِهِ حِصَانٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ، فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُو وَتَدْنُو وَجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالقُرْآنِ

Maksudnya:Ketika seorang lelaki sedang membaca Surah al-Kahfi dan di sisinya ada seekor kuda yang terikat dengan dua tali, sekumpulan awan tiba-tiba menaunginya sedikit demi sedikit, lalu ia semakin dekat dan bertambah dekat, sehingga menyebabkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi, dia bertemu Rasulullah SAW, lantas menceritakan perkara itu. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Itulah ketenangan yang turun dengan al-Quran.”

 Riwayat al-Bukhari (5011)

Penamaan ini bertepatan dengan kemunculan kisah Ashab al-Kahfi yang tidak ada disebutkan di dalam surah yang lain melainkan surah ini. (Lihat Asma’ Suwar al-Quran wa Fada’iluh, hlm. 255)

Begitu juga dengan kalimah ‘Kahf’ yang tidak terdapat di dalam al-Quran melainkan sebanyak enam kali dan kesemuanya ada terdapat di dalam surah ini. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras Li Alfaz al-Quran, hlm. 621)

Selain nama al-Kahfi, ia turut disebut dalam sesetengah riwayat dengan penambahan perkataan ‘ashab’ (أَصْحَابُ) sebelum perkataan ‘al-Kahf’, menjadikan namanya sebagai surah ‘Ashab al-Kahfi’, bermaksud surah orang-orang yang menghuni gua, iaitu merujuk kepada tujuh pemuda dalam kisah tersebut. Antara riwayat yang dirakamkan dengan penambahan ini ialah sebuah hadith panjang mengenai kemunculan Dajjal di akhir zaman yang diriwayatkan oleh al-Nawwas bin Sam‘an al-Kilabi R.A.

Dalam hubungan ini, antara petikan riwayat tersebut berkaitan Surah al-Kahfi ialah bimbingan Rasulullah SAW kepada sesiapa yang bakal berhadapan dengan fitnah Dajjal menerusi sabda baginda, daripada al-Nawwas bin Sam‘an R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersadba:

فَمَنْ رَآهُ مِنْكُمْ فَلْيَقْرَأْ فَوَاتِحَ سُورَةِ أَصْحَابِ الكَهْفِ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang melihatnya dalam kalangan kamu, hendaklah dia membaca pembukaan surah Ashab al-Kahfi.”

Riwayat al-Tirmizi (2240). Beliau berkata: Ini hadith hasan sahih.

Selain nama ‘al-Kahfi’ dan ‘Ashab al-Kahfi’ terdapat juga beberapa kitab tafsir yang menyebut nama lain bagi surah ini, iaitu ‘al-Ha’ilah’ (الحائلة) yang bermaksud penghalang. Ini kerana antara fadhilat surah ini ialah ia menjadi penghalang kepada pembaca dan pengamalnya daripada api neraka di hari akhirat. (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, 5/356; Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Quran al-Azim wa al-Sab‘ al-Mathani, 8/189)

Walau bagaimanapun, di sebalik kesahihan banyak riwayat mengenai fadhilat surah al-Kahfi, para ulama’ dan pengkaji menegaskan bahawa riwayat berkaitan penamaannya sebagai ‘al-Ha’ilah’ adalah tidak kuat. (Lihat Ruh al-Ma’ani Fi Tafsir al-Quran al-Azim Wa al-Sab‘ al-Mathani, 8/189; Asma’ Suwar al-Quran Wa Fada’iluh, hlm. 258)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”