#5339: Isteri Nabi Musa AS dan Kisah Perkahwinannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami isteri Nabi Musa AS dan kisah perkahwinannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nabi Musa AS adalah merupakan salah seorang nabi ulul azmi yang mempunyai kelebihan dan kesabaran yang tinggi. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ فَلَا تَكُن فِى مِرْيَةٍۢ مِّن لِّقَآئِهِۦ ۖ وَجَعَلْنَـٰهُ هُدًۭى لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٢٣ وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةًۭ يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا۟ ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah al-Sajdah: 23-24)

Berkenaan persoalan di atas, Nabi Musa A.S telah mengahwini empat orang wanita. Nama-nama isteri baginda adalah sepertimana berikut:

  • Safurah iaitu Ibu kepada Jaisun dan al-‘Aizar
  • Jabsyah
  • Puteri Qieni
  • Puteri Habbab (Lihat Ta‘addud Zaujat al-Rasul SAW, 59/152)

Terdapat banyak kisah berkenaan Nabi Musa AS disebutkan di dalam al-Quran. Antaranya, diceritakan bahawa ketika Nabi Musa A.S menuju ke arah kota Madyan, meninggalkan kota Firaun dalam perjalanannya menyelamatkan diri daripada kezaliman Firaun, Baginda sekali lagi berdoa kepada Tuhannya dengan mengatakan: (عَسَىٰ رَبِّىٓ أَن يَهْدِيَنِى سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ) yakni, “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar.” Allah SWT mengabulkan permintaannya dan menunjukkan kepadanya jalan yang lurus, sama ada di dunia mahupun di akhirat serta menjadikannya sebagai pemberi petunjuk kepada orang lain.

Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi Musa A.S tidak mengetahui jalan untuk pergi ke sana, melainkan prasangka baik terhadap Tuhannya dengan berdoa, “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar.” Mujahid pula berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan (سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ) adalah jalan menuju ke kota Madyan.

Baginda telah memilih jalan yang tengah daripada tiga jalan yang ada. Baginda juga telah bertanya kepada orang ramai mengenai keadaan jalan yang sesuai sebagaimana adat kebiasaannya seorang perantau yang bertanya jalan agar tidak sesat atau semakin menjauh dari tempat yang dituju. Menurut Ibn Ishaq, Baginda telah keluar dari Mesir menuju ke kota Madyan tanpa membawa sebarang bekalan sama ada makanan mahupun wang perbelanjaan. Baginda tidak menunggang sebarang kenderaan dan juga tidak memakai apa-apa alas kaki. Oleh itu, sepanjang perjalanan Baginda hanya berkaki ayam dan tidak ada apa-apa makanan padanya melainkan kulit kayu. Perjalanan ke kota Madyan mengambil masa selama lapan hari. Ada juga yang berpendapat bahawa jarak antara kota Mesir dan Madyan adalah seperti Kufah dan Basrah. Selain itu, ada yang berpendapat perjalanan antara dua kota tersebut mengambil masa selama lapan malam.

Apabila sudah sampai di pinggir kota Madyan, Baginda mendapati di sana ada sebuah telaga yang menjadi sumber air buat penduduk kota itu untuk memberi minum kepada haiwan ternakan mereka atau sebagai minuman buat mereka sendiri. Ketika Baginda sampai di telaga tersebut, Baginda melihat di sana sekumpulan penggembala sedang memberi minum haiwan ternakan mereka dan terdapat dua orang perempuan sedang berdiri jauh daripada kelompok penggembala itu, sambil menahan dan menghalang kambing-kambing ternakan mereka berdua daripada ikut sama berebut air dengan kambing-kambing ternakan penggembala yang lain, supaya mereka berdua tidak disakiti oleh penggembala lelaki yang berada di situ. Melihat hal itu, Nabi Musa A.S berasa kasihan terhadap mereka, lalu bertanya kepada mereka: “Mengapa dengan kamu berdua? Mengapa tidak ikut memberi minum haiwan ternakan kamu bersama penggembala tersebut?” Mereka berdua menjawab, kerana ingin menunggu penggembala lain selesai terlebih dahulu memberi minum kepada haiwan ternakan mereka, dan bapa mereka pula sudah tua serta tidak mampu lagi untuk memberi minum kepada haiwan ternakan. Oleh itu, mereka berdua terpaksa membantunya untuk melakukan pekerjaan ini.

Al-Tabari menyebutkan bahawa dua perempuan tersebut menahan kambing-kambing ternakan mereka daripada pergi mendapatkan air di telaga itu, sehinggalah penggembala lain selesai memberi minum haiwan ternakan mereka disebabkan oleh lemahnya mereka berdua. Selain itu, mereka juga tidak mahu bersesak-sesak bersama penggembala lelaki.  Oleh sebab itu, mereka akan menunggu sehingga semua penggembala lelaki selesai, kemudian, barulah mereka berdua pula memberi minum kepada haiwan ternakan mereka lebihan air yang tersisa daripada kambing-kambing penggembala tadi. (Lihat Tafsir al-Tabari Taqrib wa Tahzib, 6/21)

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, beliau berkata:

فَلَمَّا فَرَغُوا أَعَادُوا الصَّخْرَةَ عَلَى الْبِئْرِ وَلَا يُطِيقُ رَفْعَهَا إِلَّا عَشَرَةُ رِجَالٍ

Maksudnya: “Apabila kaum tersebut selesai mengambil air, mereka akan meletakkan batu yang berat di atasnya. Batu tersebut sangat berat sehingga tidak boleh diangkat melainkan oleh 10 orang lelaki.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (31842). Ibn Kathir menyatakan sanadnya sahih.

Maka, dapat difahami daripada riwayat di atas, bahawa telaga tersebut ditutup dengan batu yang sangat berat sehingga tidak boleh diangkat melainkan oleh 10 orang lelaki. Terdapat dalam riwayat yang lain menyebut, ia tidak boleh diangkat melainkan oleh 30 orang lelaki. Oleh itu, tinggallah dua perempuan itu sendirian dengan memberi minum kambing-kambing mereka daripada sisa-sisa air yang ada. Mereka tiada saudara lelaki lain yang boleh membantu mereka melaksanakan pekerjaan berat ini. Maka, Nabi Musa A.S yang sedang melihat kejadian itu pergi bertanya kepada mereka mengenai apa yang berlaku. Kedua-duanya menceritakan kepada Nabi Musa A.S perkara yang harus mereka hadapi tiap-tiap hari. Setelah itu, Baginda membantu mereka berdua dengan pergi ke arah batu yang menutup telaga tersebut, lalu mengangkatnya seorang diri dan memberi minum kepada haiwan ternakan kedua perempuan itu. Kemudian, Baginda tidak mengambil air melainkan satu bekas sehingga kambing-kambing ternakan itu kenyang.

Setelah itu, Baginda pergi berteduh dan duduk berehat di bawah pohon sambil bermunajat kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” Pada waktu itu, tengahari dan cuaca sedang panas terik. Buktinya ialah Nabi Musa berehat daripada kepenatan dan berteduh di bawah bayangan sebuah pohon. Nabi Musa A.S merintih dan memohon kepada Allah SWT kebaikan dan makanan kerana Baginda sudah sangat lapar. Menurut Mujahid pula, Baginda tidak meminta kepada Tuhannya melainkan makanan. Manakala menurut Hamka, melihat air telaga yang jernih dan sejuk menjadikan perutnya semakin lapar. Setelah itu, badan Baginda mulai terasa lelah dan penat disebabkan oleh perjalanan yang jauh dan kesusahan yang dialaminya tanpa sebarang bekalan, haiwan tunggangan, mahupun alas kaki. Oleh itu, semasa sedang berehat dan berteduh itulah Baginda memohon kepada Tuhan, dalam keadaan Baginda sudah sangat melarat, sengsara dan lapar, agar Tuhan sudi memberinya anugerah kebajikan. Susunan rintihan Nabi Musa A.S tersebut, menunjukkan budi pekerti yang halus, bukan mendesak-desak mengatakan dirinya sangat lapar. ‘Ata’ bin al-Sa’ib menambah, ketika Nabi Musa A.S bermunajat dan merintih kepada Tuhannya, perempuan tersebut terdengar rintihannya itu.

Nabi Musa A.S tidak perlu menunggu lama sebelum permintaannya, agar dikurniakan rezeki dan pertolongan ketika berada di perantauan dikabulkan oleh Allah SWT. Salah seorang daripada perempuan yang dibantu datang kepada Nabi Musa A.S dalam keadaan malu-malu, sambil menutup wajahnya dengan pakaiannya, dalam keadaan memelihara kehormatannya, seperti halnya seorang wanita yang mulia. Lalu dia menyampaikan kepada Nabi Musa A.S bahawa ayahnya menjemputnya datang bertemu dengannya, bagi membalas jasa baik serta ihsan Baginda terhadap kedua-dua anaknya itu.

Jelas daripada susun atur ayat ini, dapat difahami bahawa adanya peristiwa yang berlaku sebelumnya iaitu setelah berjaya memperoleh air, kedua-duanya segera menuju kepada ayah mereka dengan pantas, sedangkan kebiasaannya mereka akan mengambil masa yang lama. Lalu mereka menceritakan perihal Nabi Musa A.S yang telah membantu mereka itu. Kemudian, ayah mereka meminta yang lebih tua dan ada pendapat menyebut yang lebih muda untuk memanggil Nabi Musa A.S datang bertemu dengannya. Setelah itu, barulah salah seorang daripada mereka menyampaikan pesanan daripada si bapa kepada Nabi Musa A.S. Nabi Musa A.S lalu menerima undangan lelaki soleh tersebut.

Fakhr al-Din al-Razi menukilkan daripada al-Dhahhak, bahawa Nabi Musa A.S memperkenalkan dirinya kepada lelaki tersebut, serta menceritakan kesemua peristiwa yang telah dilaluinya, sejak kelahirannya, penyusuannya, dicampak ke dalam Sungai Nil, kesilapannya membunuh lelaki Qibti serta keadaannya yang kini sedang diburu oleh Firaun yang hendak membunuhnya. Cerita Nabi Musa A.S itu didengar dengan penuh tekun oleh lelaki tersebut, lalu dia menenangkan Nabi Musa A.S, mengingatkannya supaya tidak khuatir serta memberi jaminan bahawa dia kini telah selamat daripada ancaman orang-orang zalim yakni Firaun serta konco-konconya kerana Madyan tidak termasuk di bawah wilayah pemerintahan Firaun. (Lihat Tafsir al-Razi, 24/591)

Menurut Sayyid Qutb, keperluan Nabi Musa A.S terhadap keselamatan diri adalah lebih kuat berbanding keperluannya terhadap makanan dan minuman. Oleh itu, lafaz pertama yang diucapkan oleh lelaki tersebut kepada Nabi Musa A.S ialah ‘jangan kamu takut’, supaya timbul rasa ketenangan dan keamanan pada dirinya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/2687)

Setelah itu, salah seorang daripada perempuan tersebut meminta bapanya supaya mengambil Nabi Musa A.S sebagai pekerja untuk menggembala binatang ternakan, lantaran terhimpun padanya dua sifat penting yang perlu ada pada seseorang untuk melaksanakan suatu pekerjaan; iaitu kekuatan atau kemampuan, dan amanah serta terpelihara daripada sifat khianat. Dia membuat kesimpulan tersebut apabila melihat kekuatan Nabi Musa A.S yang mampu mengangkat batu besar yang hanya mampu diangkat oleh sepuluh orang lelaki, serta amanah dalam menjaga maruah diri dan kehormatan wanita ketika mereka dalam perjalanan ke rumah.

Ibn ‘Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir (20/106) menukilkan kata-kata Umar bin al-Khattab R.A yang pernah mengeluh dan berdoa:

أَشْكُو إِلَى اللَّهِ ضَعْفَ الْأَمِينِ وَخِيَانَةَ الْقَوِيِّ

Maksudnya: “Aku mengadu kepada Allah, akan lemahnya orang-orangnya yang amanah, dan khianatnya orang-orang yang kuat.

Maksudnya beliau sangat menginginkan orang yang terhimpun dalam dirinya kedua-dua sifat ini iaitu amanah dan berkemampuan (integriti dan kompetensi), supaya beliau boleh meminta pertolongannya dalam urusan pemerintahan. Selain itu, ini juga menjadi dalil bahawa kontrak ijarah (upah) menjadi amalan yang disepakati di sisi umat terdahulu, dan kontrak itu adalah sah dalam setiap agama, lantaran ia memberi kemaslahatan kepada urusan dan pergaulan sesama manusia.

Di akhir kisah ini, Allah SWT menceritakan bahawa bapa kepada wanita tersebut kemudiannya telah mengakui dan menerima bahawa Nabi Musa A.S adalah lelaki yang kuat dan dipercayai. Beliau lalu menyampaikan keinginannya kepada Nabi Musa A.S untuk menjadikannya sebagai menantu, menikahkannya dengan salah seorang daripada kedua puterinya dengan menyuruh Nabi Musa A.S memilih siapa yang disukainya. Manakala maharnya pula adalah dengan bekerja menggembalakan kambing-kambingnya selama lapan tahun. Sekiranya Nabi Musa A.S mahu menambah dua tahun lagi, maka itu adalah haknya. Jika tidak, lapan tahun itu sudah mencukupi.

Dalam kisah ini juga, terdapat pelbagai hukum feqah yang diketengahkan sebagaimana dinyatakan oleh al-Qurtubi di dalam tafsirannya sehinggakan ia mencapai lebih daripada 20 permasalahan. Antaranya ialah perbahasan mengenai hukum mengupah pekerja, hukum wanita menikahkan dirinya sendiri, hukum menikahkan anak gadis tanpa persetujuannya, hukum menggabungkan upah kerja dengan nikah, hukum mengupah pekerja dengan upah yang tidak jelas, kewajipan saksi dalam pernikahan dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 13/267-279)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”