#5806: Hingus Tidak Membatalkan Wuduk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya dengar ada pendapat ulama yang mengatakan bahawa keluarnya hingus atau seumpamanya seperti kahak membatalkan wuduk? Boleh ustaz jelaskan secara ringkas. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu hingus. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hingus ialah lendir yang keluar daripada hidung.[1] Dalam bahasa Arab, hingus dipanggil sebagai mukhat (المُخَاط) iaitu dari segi bahasa ia bermaksud cecair yang mengalir dari hidung seperti air liur dari mulut. Al-Makhtah (المَخْطَةُ) bermaksud cecair yang dikeluarkan oleh seseorang dari hidungnya. Dikatakan: “امْتَخَطَ” iaitu seseorang mengeluarkan hingusnya dari hidungnya. Kemudian, maknanya dari segi istilah pula tidak terkeluar daripada maknanya dari segi bahasa. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/258).

Secara umumnya, para fuqaha bersepakat bahawa hingus adalah suci dan solat seseorang yang pada bajunya terdapat hingus adalah dikira sah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/258). Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith:

فَإِذَا تَنَخَّعَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَنَخَّعْ عَنْ يَسَارِهِ تَحْتَ قَدَمِهِ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيَقُلْ هَكَذَا -‏ وَوَصَفَ الْقَاسِمُ – فَتَفَلَ فِي ثَوْبِهِ ثُمَّ مَسَحَ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ ‏

Maksudnya: “Maka apabila salah seorang di antara kamu ingin meludah, hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya di bawah kakinya. Akan tetapi jika dia tidak menemui (ruang untuk meludah) dia harus melakukan seperti ini — al-Qasim (salah seorang perawi) meludah ke kainnya lalu melipatnya dan menyapunya.”

Riwayat Muslim (550)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha berbeza pendapat berkenaan terbatalnya wuduk dengan sebab keluarnya hingus dan cecair seumpamanya seperti kahak. Secara ringkasnya, ulama Malikiyyah, Hanabilah, Syafi‘iyyah, Abu Hanifah dan Muhammad bin al-Hasan dalam kalangan ulama Hanafiyyah berpendapat, wuduk seseorang tidak terbatal dengan sebab keluarnya hingus dan cecair seumpamanya yang turun dari otak atau dari jauf (rongga dalam).

Namun mereka berselisih pendapat berkenaan sebab tidak terbatalnya wuduk tersebut, bergantung kepada perbezaan mereka pada sebahagian perkara yang membatalkan wuduk. Menurut ulama Syafi‘iyyah dan Malikiyyah, kerana ia adalah sesuatu yang tidak keluar dari salah satu daripada sabilain (qubul dan dubur). Setiap sesuatu yang tidak keluar dari dua rongga/lubang itu tidak membatalkan wuduk, melainkan jika saluran keluar itu tersumbat lalu dibuka jalan/saluran keluar lain dari bawah pusat, yang kemudiannya benda yang biasa keluar dari sabilain keluar dari lubang itu pula, maka dalam keadaan ini wuduk terbatal dengannya. Manakala Abu Hanifah, Muhammad, dan ulama Hanabilah pula menyatakan sebabnya adalah kerana ia adalah suci. Begitu juga kerana ia adalah sesuatu yang padat yang tidak melekat pada najis, maka ia adalah suci dan keluarnya sesuatu yang suci daripada orang yang dalam keadaan berwuduk tidak membatalkan wuduk, maka ia seperti ludah.

Abu Yusuf pula menyebutkan, sekiranya hingus/lendir naik dari perut dan memenuhi mulut, maka ia merosakkan taharah disebabkan oleh bercampurnya dengan najis. Tambahan lagi, perut merupakan tempat berkumpulnya najis, maka hingus/lendir itu dianggap sebagai hadas yang membatalkan wuduk seperti mana muntah. Seterusnya, al-Zaila‘i menjelaskan dengan menyatakan bahawa sesungguhnya titik perselisihan antara Abu Yusuf dan dua ashabnya adalah jika kahak itu tidak bercampur dengan makanan dan makanan mendominasi. Akan tetapi jika ia bercampur dengan makanan dan makanan mendominasi, maka ia membatalkan wuduk secara sepakat di sisi mereka. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/259-260).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa keluarnya hingus atau cecair seumpamanya seperti kahak, lendir dan lain-lain tidak membatalkan wuduk seseorang. Hal ini kerana hingus atau kahak itu adalah sesuatu yang suci dan bukannya najis, di samping ia juga tidak keluar melalui salah satu daripada sabilain (qubul dan dubur), sebaliknya ia keluar melalui rongga hidung.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hingus. Diakses pada 23 April 2024.