#249 Ibu Mertua Nikah Dengan Ayah Kandung

Soalan

Adakah ayah kandung saya boleh mengahwini ibu mertua saya? Mohon pencerahan

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mahram merupakan Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat. Ianya juga boleh didefinisikan sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. (Lihat Kasyifah al-Saja Fi Syarh Safinah al-Naja, hlm. 114)

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah Al-Nisa’: 23)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam menghuraikan siapakah “saudara-saudara perempuan kamu”  dalam ayat di atas: “Dan saudara perempuan kamu (yang diharamkan atas kamu berkahwin dengannya) adalah setiap wanita yang diperanakkan oleh ibu bapa kamu atau salah seorang daripada mereka.”(Lihat Raudhah al-Talibin, 7/108)

Imam Al-Mawardi menukilkan kata-kata Imam Al-Syafi’e yang menyebut : Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan.

Kemudian Imam Al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya: Wanita yang mahram itu ada dua kategori. Pertamanya : Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Manakala bahagian yang lain adalah haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). Dan bahagian yang individunya menjadi mahram selamanya ada dua bahagian iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan). (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/196)

Berdasarkan persoalan di atas, Perkahwinan antara mertua dengan mertua sah dan harus samada ianya berlangsung ketika perkahwinan anak menantu mereka masih kekal atau setelah keduanya bercerai. Begitu juga perkahwinan ini sah dan harus samada ianya berlangsung ketika perkahwinan orang tua mereka masih kekal atau setelah mereka bercerai.

Kami berikan contoh situasinya di sini:

  • Situasi 1: Ahmad dan Zainab berkahwin. Kemudian, bapa kepada Ahmad iaitu Marwan (mertua isteri) pula berkahwin dengan ibu kepada Zainab iaitu Fatimah (mertua suami).
  • Situasi 2: Marwan dan Fatimah (bapa kepada Ahmad dan ibu kepada Aminah) berkahwin terlebih dahulu. Kemudiannya Ahmad dan Aminah (anak tiri mereka) pula berkahwin.

Isu seperti ini sama juga dengan adik beradik tiri yang lain ibu dan lain bapa, dan mereka ini bukan mahram dan boleh dikahwini.

Manakala anak perempuan bagi ibu tiri pula, Imam Nawawi menyambung: “Tidak menjadi mahram anak perempuan kepada ayah tiri, ibu kepada ayah tiri, anak tiri kepada anak perempuan, ibu kepada menantu lelaki, ibu kepada ibu tiri, dan tidak juga menjadi mahram anak perempuan kepada ibu tiri (yang bukan hasil daripada nikah dengan ayahnya).” (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/112)

Syeikh al-Bujairimi berkata: “Sesungguhnya tidak haram bernikah dengan anak perempuan suami emak (adik beradik tiri), tidak juga haram dengan emak suami emak (nenek tiri), tidak juga haram dengan anak kepada suami anak (anak tiri kepada anak), tidak juga haram dengan emak suami anak (mertua kepada anak), tidak juga haram dengan emak isteri bapa (nenek tiri), tidak juga haram dengan anak perempuan isteri bapa (adik beradik tiri), tidak juga haram dengan emak isteri kepada anak (mertua kepada anak), tidak juga haram dengan anak kepada isteri anak (anak kepada tiri kepada anak) dan tidak juga haram dengan isteri kepada anak tiri kerana mereka itu terkeluar daripada mereka yang disebutkan haram bernikah.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 3/423)

Manakala bagi kedudukan mereka dalam kekeluargaan pula, mereka terikat dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh syara’ seperti hal-hal berkaitan dengan mahram, harta pusaka, wali dan lain-lain. Akhir kata, semoga Allah berikan kepada kita kefahaman yang benar dan tepat dalam urusan beragama. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H