#586: Ancaman Bagi Yang Melalaikan Solat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Akhir-akhir ini, kita melihat bahawa ramai yang semakin mengambil ringan dan melalaikan akan kewajiban melaksanakan solat fardhu lima waktu. Malah ada yang sengaja meninggalkan solat tanpa ada keuzuran. Bagaimana hukum orang yang meninggalkan solat kerana malas dan lalai ini? Mohon nasihat ustaz.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Solat juga adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Sabda Nabi SAW:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat al-Bukhari (7)

Perkataan solat adalah diambil daripada bahasa Arab. Ia adalah merupakan kata nama terbitan (masdar) daripada kata kerja (fi’il); solla, yusolli, solatan yang membawa maksud doa, al-istighfar, al-maghfirah, al-Islam, al-din.(Lihat al-Mu’jam al-‘Arabi al-Asasi, 1/746)

Allah SWT berfirman:

وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ

Maksudnya: “Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.”

(Surah al-Taubah: 103)

Dari sudut istilah Fiqh, solat bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/257)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Ia dinamakan solat kerana ia mengandungi doa yang merupakan unsur yang banyak di dalamnya. Hal ini kerana menggunakan nama juzuk untuk maksud keseluruhannya (إطلاقا لاسم الجزء على الكل). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/309)

Menurut Kamus Dewan, solat dalam bahasa Melayu diertikan sebagai sembahyang iaitu perbuatan menyembah Allah dan secara khususnya ia dilaksanakan di dalam Solat fardu yang lima.

Ancaman Terhadap Orang yang Melalaikan Solat

Dalam menjawab isu di atas, kami kemukakan di sini nas al-Quran dan al-Hadith tentang ancaman bagi yang melalaikan solat dan meninggalkan solat dengan sengaja. Kami nukilkan daripada kitab al-Kabair (hlm. 30-36) oleh Imam al-Zahabi seperti berikut:

“Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.

Allah SWT berfirman:

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً

Maksudnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.”

(Surah Maryam: 59-60)

Ibn Abbas RA berkata: “Pengertian ‘meninggalkan solat’ tersebut bukanlah beerti meninggalkan solat itu sama sekali, malah yang dimaksudkan ialah mengakhirkannya dari waktunya.”

Said bin al-Musayyib pula berkata: “Maksud ‘meninggalkan solat’ adalah seseorang yang yang tidak solat Zohor kecuali sehingga datangnya waktu Asar, dan tidak solat Asar sehingga datangnya waktu Maghrib, dan tidak solat Maghrib sehingga datangnya waktu Isya’ dan tidak solat  Isya’ sehingga datangnya waktu fajar solat Subuh, kemudian tidak menunaikan solat Subuh sehingga terbitnya matahari.

Maka sesiapa yang mati di atas cara yang sedemikian itu dan tidak bertaubat (sebelum matinya), maka Allah SWT akan meletakkannya sebagai orang yang berdosa, dan kerana itu juga dia akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam pada bahagian yang paling dalam sekali.

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

(Surah al-Ma’un: 4-5)

Iaitu lalai daripada menunaikan solat serta mensia-siakan solat.”

Sa’ad bin Abi Waqqas RA berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang melalaikan solatnya, maka Baginda menjawab: “Iaitu mengakhirkan waktu solat (daripada waktunya yang asal sehingga sampai kepada waktu solat yang lain). Mereka itu tetap dinamakan orang-orang yang menunaikan solat iaitu sebagai musalliin. Akan tetapi kerana mereka telah mensia-siakan dan mengakhirkan waktu solat tersebut, maka mereka diancam dengan neraka Wail, iaitu seksaan yang teramat pedih di dalamnya.

Ada juga yang mengatakan Wail itu adalah sebuah lembah di dalam neraka Jahannam, yang sekiranya gunung-gunung di dunia ini dicampakkan ke dalamnya, maka gunung-gunung itu akan menjadi cair akibat kepanasannnya yang teramat. Maka itulah tempat bagi mereka yang mensia-siakan solatnya dan mengakhirkan solatnya sehingga keluar dari waktunya. Kecuali jika dia telah bertaubat kepada Allah SWT dan menyesal akan kesalahannya itu.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

(Surah al-Munafiqun: 9)

Menurut ahli tafsir, katanya: “Zikir kepada Allah atau mengingati Allah itu di dalam ayat ini, iaitu mengerjakan solat lima waktu. Sesiapa yang disibukkan oleh hartanya ataupun anak-anaknya atau urusan perniagaan jual beli dan mencari saraan hidup ataupun disibukkan dengan pengurusan tanah kebunnya sehingga membuatkannya lalai dari mengerjakan solat sehingga keluar daripada waktunya, maka mereka itu akan tergolong dalam kategori orang-orang yang paling rugi, ini kerana Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal.”

Riwayat al-Tirmizi (413), Ahmad (8017), Abu Daud (864) dan Ibn Majah (1425)

Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran tentang kedudukan penghuni neraka yang tidak mengerjakan solat. Firman Allah SWT:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (٤٢) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (٤٣) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (٤٤) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (٤٥) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ (٤٦) حَتَّى أَتَانَا الْيَقِينُ (٤٧) فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ

Maksudnya: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.”

(Surah al-Mudatthir: 42-48)

Nabi SAW bersabda lagi:

الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Perjanjian diantara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.

Riwayat Ahmad (23403), al-Nasaie (326), al-Tirmizi (2621) dan Ibn Hibban (1454)

Dan Nabi SAW juga bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya, yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir dan syirik, iaitu meninggalkan solat.”

Riwayat Muslim (82) dan Ahmad (14947)

Yang memberi makna bahawa jika seseorang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkarinya akan membawa kepada kafir. Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sabda Nabi SAW:

مَنْ فَاتَتْهُ صَلَاةُ الْعَصْرِ حَبِطَ عَمَلُهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat asar, maka sia-sialah amalnya.”

Riwayat al-Bukhari (553)

Sabda Nabi SAW lagi:

مَنْ تَرَكَ الصلاةَ متعمِّدًا فقَدْ بَرِئَتْ منْهُ ذِمَّةُ اللهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas dari perlindungan Allah.”

 Riwayat al-Baihaqi (14895) dan Ahmad (28007)

Nabi SAW bersabda lagi:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ، وَيُقِيْمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكاَةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالىَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, menegakkan solat, menunaikan zakat. Jika mereka melakukan hal itu maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan mereka ada pada Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (20)

Nabi SAW bersabda:

مَنْ حافظَ عليْهَا كانَتْ له نورًا وبرهانًا ونجاةً يومَ القيامةِ، ومَنْ لمْ يحافظْ عليهَا لمْ يكنْ لَهُ نورٌ ولا برهانٌ ولا نجاةٌ وحُشِرَ يومَ القيامةِ معَ فرعَونَ وهامانَ وقارونَ وأُبَيِّ بنِ خلفٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.”

Riwayat Ahmad (6540) dan al-Darimi (2721)

Umar bin Khattab RA berkata: “Seseorang itu tidak akan bernasib baik di dalam Islam jika dia meninggalkan solat.”

Ali RA telah ditanya tentang wanita yang tidak solat, maka beliau menjawab: “Sesiapa yang tidak solat, maka dia sebagai tidak beragama.” Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim.

Ibn Mas’ud RA berkata: “Sesiapa yang tidak solat maka dia tidak beragama.”

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Sesiapa yang meninggalkan solat sekali sahaja dengan sengaja, maka dia akan mengadap Allah SWT dalam keadaan mendapat kemurkaan.” Riwayat Ahmad dan Abu Daud.

Ibn Hazm berkata: “Tidak ada dosa yang lebih besar sesudah syirik, kecuali bagi orang yang melewatkan solatnya dari waktunya yang sebenar, atau dia membunuh seorang mukmin dengan cara yang salah.”

Ibrahim al-Nakhaie berkata: “Sesiapa yang meninggalkan solat, maka sungguh dia telah menjadi kafir.” Demikian juga pendapat Ayyub al-Sakhtiani.

Aun bin Abdullah berkata: “Sesungguhnya seseorang itu jika telah memasuki alam kubur, maka yang ditanyakan adalah tentang solatnya, dan itulah yang pertama ditanyakan. Jika telah lulus maka akan dilihat pada amalnya yang lain. Dan jika solatnya tidak memenuhi syarat, maka amalnya yang lain tidak akan dilihatnya lagi.”

Inilah sepertimana yang disebut oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya yang masyhur, al-Kaba’ir. (Lihat al-Kabair oleh Imam al-Zahabi, hlm. 30-36)

Hukum Meninggalkan Solat Daripada Kitab al-Fiqh al-Manhaji

Kami nukilkan pendapat Ashab al-Fadhilah guru-guru kami ini, di mana mereka telah menjelaskan secara panjang lebar berkenaan isu orang yang meninggalkan solat sama ada kerana malas, cuai, ingkar dan sengaja meringan-ringankannya.

Dalam isu ini, sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersenda-sendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam. Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak membiarkannya demikian sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat. Jika terus mengingkarinya dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak harus dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Malah tidak harus dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka.

Sementara orang yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukum wajibnya, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqadha’kan solat, dan bertaubat daripada kesalahan meninggalkannya.

Jika masih ingkar mengqadha’nya dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat. Ini kerana hukuman atas orang yang meninggalkan fardhu adalah wajib diperangi tetapi selepas dibunuh, dia masih dianggap seorang Islam. Justeru, jenazahnya, pengkebumiannya, dan pembahagian hartanya hendaklah diuruskan menurut tatacara Islam.

Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّى دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan memerangi manusia hingga mereka mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan mengaku bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Apabila mereka telah melakukannya terpeliharalah darah dan harta benda mereka daripada tindakan aku, kecuali dengan kebenaran Islam dan terserahlah perhitungan mereka itu kepada Allah.

Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (22)

Hadis tersebut menunjukkan sesiapa yang telah berikrar dengan dua kalimah syahadah, tetap diperangi jika dia tidak mendirikan solat tetapi tidak dihukum sebagai kafir berdalilkan hadis yang berikut:

Daripada Ubadah bin al-Somit RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Allah telah mewajibkan solat lima waktu atas hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang tetap melakukannya tanpa meninggalkan satu pun daripadanya lantaran meringan-ringankan hukum wajibnya, Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa pun kepada-Nya sama ada mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-Nya.

Riwayat Abu Daud (1420)

Hadis ini menunjukkan orang yang meninggalkan solat tidak dihukumkan kafir kerana jika dihukumkan demikian tentulah tidak termasuk dalam maksud sabda Nabi SAW, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-Nya. Ini kerana hanya orang kafir yang tidak akan masuk ke dalam syurga sama sekali. Justeru, maksud tidak kafir adalah ditujukan kepada mereka yang meninggalkan solat disebabkan malas bagi menerima pakai semua dalil tersebut.

Ini berdasarkan hadis, daripada Jabir RA katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Yang membezakan seseorang Islam dengan syirik dan kafir itu ialah meninggalkan solat.”

Riwayat Muslim (82) dan yang lainnya

Maksud hadis ini ditujukan kepada orang yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau mempersenda-sendakan dan meremehkannya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa menjaga solat kita dan berazam untuk melaksanakannya di awal waktu.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak semua untuk berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H