#417: Antara Tahiyatul Masjid dan Jawab Azan Jumaat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika azan Jumaat, terdapat sebahagian jemaah yang menunggu selesai azan dulu, baru melakukan solat sunat. Bolehkah dia terus solat sunat ketika azan sedang dilaungkan? Mohon pandangan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat sunat Tahiyyatul Masjid ialah solat dua rakaat yang dilakukan oleh setiap orang yang masuk ke dalam masjid sebelum dia duduk. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Qatadah al-Sulami R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: “Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.”

Riwayat al-Bukhari (444) dan Muslim (1687)

Imam al-San’ani dalam menjelaskan hadis ini, beliau menyebut bahawa hadis ini mengandungi larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Lihat Subul al-Salam, 2/62)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama bersepakat bahawa solat tahiyatul masjid adalah sunat dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/52)

Berbalik kepada persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu hukum hakam yang berkaitan.

Pertama, menunggu selesai azan dalam keadaan berdiri bagi orang yang baru masuk masjid pada Jumaat tujuannya adalah untuk mendapatkan pahala fadilat menjawab azan. Justeru, hukumnya adalah sunat untuk diam bagi orang yang mendengar azan dan menjawabnya sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/117)

Hal ini berdasarkan hadith, sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ ما يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar azan ucaplah sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin.

Riwayat al-Bukhari (586) dan Muslim (383)

Kedua, hukum solat sunat. Dalam konteks solat sunat pada hari Jumaat, terdapat dua jenis solat sunat. Pertama ialah solat tahiyyatul masjid dan kedua ialah solat sunat mutlak. Bagi orang yang datang ke masjid awal, sunat bagi mereka untuk bersolat tahiyyatul masjid dan memperbanyakkan solat sunat mutlak. Bahkan, hukum makruh solat sunat ketika matahari berada tegak di atas kepala pada waktu tengahari juga dihilangkan kerana besarnya fadilat hari Jumaat.

Solat Tahiyyatul Masjid ialah solat dua rakaat yang dilakukan oleh setiap orang yang masuk ke dalam masjid sebelum dia duduk. Hal ini berdasarkan hadith:

فإِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّىَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, janganlah duduk sehingga dia bersolat sebanyak dua rakaat.”

Riwayat al-Bukhari (433) dan Muslim (714)

Tahiyyatul Masjid terhasil dengan sendirinya apabila melakukan solat fardhu atau solat-solat sunat yang lain. Tujuannya ialah supaya seseorang itu tidak harus duduk di dalam masjid tanpa bersolat terlebih dahulu kerana menghormati masjid. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/215)

Solat ini tidak gugur hukumnya sekiranya seseorang itu masuk dalam masjid dan berdiri, sekalipun dalam masa yang lama. Hal ini ada disebutkan dalam kitab Sabil al-Muhtadin karangan Syeikh Arsyad al-Banjari. Kata beliau: “Demikian lagi tiada gugur sunatnya dengan berdiri dan jika lama masanya sekalipun.” (Lihat Sabil al-Muhtadin, 2/15)

Begitu juga pada hari Jumaat, jika seseorang itu masuk ke dalam masjid sedangkan imam sudah naik ke mimbar atau sudah berkhutbah, sunat baginya untuk melakukan tahiyyatul masjid tetapi meringkaskannya. Berkata Imam al-Syarwani dalam Hasyiyah beliau terhadap Tuhfah al-Muhtaj (2/455) karangan Imam Ibn Hajar al-Haitami:

“Dan bermula makruh tahrim secara ijma’ bagi seseorang yang menghadiri solat Jumaat melakukan solat sunat selepas khatib sudah naik ke atas mimbar dan duduk di atasnya, sekalipun dia tidak dapat mendengar khutbah (kerana jauh, dll). Pengecualian ialah bagi solat solat sunat tahiyyatul masjid bagi orang yang baru masuk masjid sedangkan khatib sudah berada di atas mimbar. Maka sunat baginya untuk melaksanakan solat sunat tahiyatul masjid dan wajib meringkaskannya. Ini sekiranya dia sudah melakukan solat sunat qabliah Jumaat. Jika belum, maka memadai dia solat dua rakaat sahaja, dan ini sudah memperolehi sunat tahiyyatul masjid tanpa dia perlu menambah lebih daripada dua rakaat.”

Hal ini juga berdasarkan hadith, daripada Jabir RA, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu sampai ke masjid pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah dia hendaklah mendirikan solat dua rakaat yang ringkas dan sempurna.”

Riwayat Muslim (875)

Sekiranya khatib masih belum mengakhiri khutbahnya. Jika demikian, dia hendaklah menunggu solat fardhu didirikan. Apabila dia terus duduk maka solat sunat dua rakaat tersebut terluput dan tidak sah jika dia melakukannya semula. Malah dia wajib terus duduk mendengar khutbah sehingga solat Jumaat didirikan. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 2/210)

Namun begitu, kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu masuk ke dalam masjid ketika azan kedua sedang berkumandang, keadaan tersebut tidak sama dengan masuk ketika imam sedang berkhutbah. Kami cenderung untuk mengatakan bahawa lebih afdal dia terus solat Tahiyyatul Masjid dan meninggalkan fadhilat menjawab azan yang kedua. Ini bagi meraikan fadhilat mendengar khutbah secara sempurna yang lebih utama berbanding menjawab azan. Inilah sepertimana dinyatakan dalam mazhab Syafie.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H