Buku Fizikal
RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
eBahth Ilmi
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Kenapa puasa diwajibkan kepada kita?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, saya menerangkan terlebih dahulu definisi puasa:
- Pada bahasa dengan makna menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan juga bercakap.
- Pada istilahnya pula, ialah menahan diri dari sebarang perkara yang membatalkan ibadat puasa bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Lihat Ramadhan al-Mubarak Fadhilat dan Hukum Puasa, hlm. 45)
Berkenaan dengan persoalan di atas suka saya nyatakan bahawa puasa Ramadhan termasuk dalam rukun-rukun Islam yang wajib ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat. Hal ini termasuk dalam maklum min al-Din bi al-Dharurah dan ia adalah ijma’ atau kesepakatan para ulama berkenaan dengan kefardhuan atau kewajipan berpuasa.
Adapun kefardhuannya, firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Surah al-Baqarah (183)
Perkataan “كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ” memberi maksud kewajipan puasa ke atas orang-orang yang beriman. Persoalan di atas telah dijelaskan oleh nas Ilahi dan hadyun nabawi di samping dapatan hikmah para ulama berkenaan dengan asrar atau rahsia serta maqasid puasa itu sendiri. Antaranya:
- Allah SWT menyebut “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ” memberi maksud “supaya kamu bertaqwa”. Ertinya, puasa itu yang dilakukan dengan sebenar dan seikhlasnya boleh menatijahkan ketaqwaan.
- Puasa boleh memberi kesihatan. Sabda Nabi SAW:
صُومُوا تَصِحُّوا
Maksudnya: “Berpuasalah, maka kamu akan sihat.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8312) dan Abu Nu’aim dalam al-Tibb al-Nabawi (113). Al-Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (3/108) menyatakan isnadnya dha’if.
- Puasa boleh mengingatkan orang kaya betapa laparnya perlu dibebaskan belenggu orang-orang miskin yang biasa kelaparan. Dengan itu, sifat ihsan dan membantu akan bertambah tinggi serta diberi prihatin yang sewajarnya.
- Puasa menjadikan sifat ihsan dan rahmah di kalangan ahlinya akan lebih kuat dan kukuh. Ini kerana mereka yang berpuasa akan memahami dengan sebenarnya erti kelaparan dan kesukaran. Justeru, sifat ihsan dan rahmah akan muncul.
- Dengan puasa akan lahirnya takaful atau perasaan ingin berkorban dan membantu antara sesama rakan yang berpuasa. Dengan sebab itu, tidak pelik bila kita lihat anak-anak yatim, orang-orang miskin sentiasa dibantu terutamanya pada bulan Ramadhan al-Mubarak. Masyarakat yang memerlukan bantuan dengan mudah akan mendapatkannya kerana sikap orang kaya, orang besar dan pemerintah untuk membantu mereka yang memerlukannya.
- Puasa menjadi perisai dari api neraka atau mengikut nafsu syahwat seperti yang disebut oleh ulama.
Semoga sebahagian daripada persoalan di atas sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita yang terkait dengan ibadat puasa dan akhirnya menatijahkan kita dengan memperolehi ketaqwaan. Wallahu a’lam.
Bertarikh: 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadhan 1444H