#1147: Meninggalkan Puasa Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum. Apakah hukum meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Puasa Ramadhan termasuk dalam rukun Islam yang lima. Ini berdasarkan hadith Ibn Umar R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya selain Allah, dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan ibadah haji, dan puasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (B) dan Muslim (16)

Puasa Ramadhan termasuk dalam perkara ‘“معلوم من الدين بالضرورة”’ yang mesti dilakukan dan tidak mungkin umat Islam jahil tentang kefardhuan puasa. Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW dengan tegas  menggambarkan betapa pentingnya puasa dipelihara dan tidak ditinggalkan. Kami kemukakan dua hadith:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

عُرَى الإِسلامِ وَقَوَاعِدُ الدِّين ثلاثَةٌ: عَلَيهِنَّ أُسِّسَ الإسلامُ، مَن تَرَكَ وَاحِدَةً مِنْهُنَّ فَهُوَ بِهَا كَافِر ٌحَلاَلُ الدَّمِ: شَهَادَةُ أن لا إلهَ إلاَّ الله والصلاةُ الْمَكتُوبَةُ وَصَومُ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya, maka ia dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadhan.”

Riwayat Abu Ya’la (2349) dan al-Dailami

Imam al-Haithami menukilkan di dalam Majma’ al-Zawaid (1/47-48): Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la secara sempurna dan al-Tabarani di dalam al-Mu’jam alKabir. Akan tetapi, ia hanya menyebutkan tiga sahaja dan tidak menyebutkan riwayat Ibn Abbas di atas. Sanad hadis ini hasan. Al-Munziri di dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1/382) berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad hasan. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَفْطَرَ يَومًا مِنْ رَمَضَانَ، في غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخِّصَهَا الله لَهُ لَمْ يَقْضٍ عَنْهُ صِيَامُ الدَّهْرِ كُلُّهُ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadhan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”

Riwayat Abu Daud (2396), Ibn Majah (1672) dan al-Tirmizi (723) 

Berdasarkan dua hadis di atas, jelas menunjukkan betapa Islam memandang prihatin berhubung perlaksanaan ibadat puasa Ramadhan, bahkan ia dianggap salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Penulis menukilkan ketegasan Imam al-Zahabi yang berkata: “Di sisi semua orang Islam telah mengakui dan mengiakan bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan pada siang harinya tanpa sebarang keuzuran sebenarnya orang tersebut lebih jahat daripada penzina dan peminum arak, bahkan mereka mengesyaki keislaman orang yang tidak berpuasa dan menyangka dengan kafir zindiq, dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.”

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan betapa meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat diganti dengan qada’ dari sudut nilaiannya.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam dan perkara fardhu dalam agama yang mesti diketahui. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari kewajipannya, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat, dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama.

Sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya, dia menjadi fasiq. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalang daripada makan dan minum pada waktu siang supaya dia berpuasa, sekalipun secara zahirnya sahaja.

Justeru, sewajarnya umat Islam tidak memandang ringan dalam masalah puasa Ramadhan, tetapi hendaklah bertekad dan berazam untuk menunaikannya sebaik mungkin.

Bertarikh: 27 Mac 2023 bersamaan 5 Ramadhan 1444H