#584: Tafsir Ayat Seribu Dinar

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan berkenaan ayat seribu dinar yang sering disebut oleh ramai orang?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Allah SWT berfirman:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Talaq : 2-3)

Ayat di dalam surah ini yang kami nyatakan di atas yang dikenali dalam kalangan masyarakat awam khususnya umat di Malaysia sebagai ayat seribu dinar.

Sebab Turun Ayat

Sebab turun ayat ini seperti dinukilkan: Bahawa seorang lelaki daripada sahabat Rasulullah SAW yang bernama Auf bin Al-Asyjai’ mempunyai seorang anak lelaki dan kaum musyrikin telah menawan anaknya. Maka ayahnya pun menemui Rasulullah SAW dan mengadu hal tersebut kepada Baginda SAW berkenaan anaknya yang ditawan musuh dan keadaan apa yang dihadapinya. Maka Rasulullah SAW menyuruhnya agar bersabar terhadap ujian yang menimpa dan Baginda SAW bersabda kepadanya bahawa sesungguhnya Allah SWT akan memberikannya jalan keluar. Maka tidak lama selepas itu, maka terlepaslah anaknya daripada tangan musuh. Lalu anaknya membawa beberapa ekor kambing musuh berserta harta lalu ia menemui bapanya. Maka turunlah ayat ini. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran23/43-47 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/380)

Imam al-Razi berkata: Kebanyakan ulama’ tafsir menyebut ayat ini dan selepasnya diturunkan kepada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Auf bin Malik Asyjai’. Anaknya telah ditawan oleh musuh maka beliau menemui Nabi SAW dan menceritakan keadaan anaknya yang ditawan dan mengadu kesusahan yang dihadapinya. Maka Baginda SAW bersabda: “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabar dan perbanyakkan ucapan لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا باللَّه.” Maka beliau pun terus melakukannya. Tatkala beliau berada di rumah, lalu telah datang anaknya. Anaknya telah berjaya meloloskan diri daripada musuh dengan membawa bersamanya unta, lalu dibawakan kepada ayahnya. Telah berkata pengarang Kitab Al-Kasyaf, ketika mana beliau berada di rumah, tiba-tiba datang anaknya lalu mengetuk pintu rumah dan membawa bersama-samanya 100 ekor unta disebabkan musuh telah terlupa akan anaknya. Anaknya berjaya melarikan diri membawa bersama-sama dengan harta yang bernilai. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/562)

Dalam riwayat lain, Imam al-Tha’labi menukilkan bahawa ayat ini diturunkan kepada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Auf bin Malik Ashjai’. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas beliau datang kepada Nabi SAW lalu menceritakan keadaan anaknya yang ditawan musuh. Beliau berkata: “Ya Rasulallah SAW, sesungguhnya anakku ditawan musuh dan ibunya amat berdukacita dan sedih.” Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah ayat ini diturunkan kepada Auf bin malik Ashjai’ yang mana pihak musuh musyrikin telah menawan anaknya yang bernama Salim. Lalu beliau telah datang menemui Rasulullah SAW untuk mengadu kesusahan dan penderitaan yang dihadapinya. Beliau berkata: “Ya Rasulallah SAW sesunguhnya anakku telah ditawan oleh musuh dan ibunya amat sedih dan berdukacita. Apakah yang patut engkau suruh aku lakukan ya Rasulallah SAW?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah dan aku memerintahkanmu dan isterimu untuk memperbanyakkan ucapan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ’.” Lalu beliau pun pulang ke rumahnya dan berkata kepada isterinya: “Sesungguhnya Rasulullah menyuruhku dan engkau untuk memperbanyakkan ucapan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ’.” Maka isterinya berkata, “Itu adalah sebaik-baik perkara yang diperintahkan kepada kita untuk melakukannya.” Mereka berdua pun mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Nabi SAW. Tidak lama daripada itu maka anaknya dapat meloloskan diri daripada musuh dan membawa bersamanya kambing-kambing musuh musyrikin lalu dibawa kepada ayahnya berjumlah 4000 ekor kambing. Maka turunlah ayat ini. Lalu Nabi SAW memberikan keizinan bahawa kesemua binatang tersebut menjadi hak kepunyaan mereka.

Dalam riwayat yang lain mengatakan telah dibawa kepada bapanya unta berserta harta. Mereka ini adalah dari kalangan fakir miskin. Berkata al-Kalbi, “Sebanyak 50 ekor unta.” Dalam riwayat yang lain menyatakan anaknya telah meloloskan diri daripada tahanan musuh lalu menunggang bersamanya binatang unta kaum tersebut lalu dalam perjalanan ia membawa kesemua binatang unta tersebut dan dia pun membawa balik kepada ayahnya.

Muqatil berkata bahawa apabila ia telah mendapat kambing dan harta lalu ia membawa kepada bapanya. Lalu bapanya bertanya kepada Rasulullah SAW adakah halal untuk dimakan apa yang telah dibawa oleh anaknya itu. Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Ya halal untuk dimakan.” Lalu turunlah ayat, ‘وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ’. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/160-162)

Tafsiran Ulama’ Berkenaan Ayat

Kami bawakan di sini beberapa pandangan ulama’ tafsir dalam menjelaskan maksud ayat ini.

Daripada Masruq bin Abdillah, katanya:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: المخرج أن يعلم أن الله تبارك وتعالى لو شاء أعطاه وإن شاء منعه، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ قال: من حيث لا يدري

Maksudnya: (Firman Allah SWT) “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, iaitu jalan yang diketahui Allah Taala jika sekiranya Dia menghendaki sesuatu maka Dia akan berikan, dan Dia mahu, Dia juga akan menegahnya. Dan firman Allah Taala: “Dan akan diberikan rezeki dari jalan yang yang tidak disangka-sangkanya,” maknanya dari jalan yang tidak diketahuinya. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran3/43-47)

Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma, katanya:

قوله: (وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا) يقول: نجاته من كل كرب في الدنيا والآخرة

Maksudnya: (Firman Allah SWT) “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya selamat daripada setiap kesengsaran dan kesusahan di dunia dan akhirat. (Lihat Jami’ al-Bayan3/43-47)

Daripada Rabi’ bin Haitham, katanya:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: من كلّ شيء ضاق على الناس

Maksudnya: (Firman Allah Taala) “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya jalan daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia. (Lihat Jami’ al-Bayan3/43-47)

Daripada Ikrimah, katanya:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: من طلق كما أمره الله يجعل له مخرجًا

Maksudnya: (Firman Allah Taala) yang berbunyi “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya barangsiapa yang menceraikan istrinya seperti mana yang telah ditetapkan dan diperintahkann Allah Taala maka baginya jalan keluar sama ada ia diberikan kemudahan untuk merujuk isterinya kembali dalam tempoh iddah ataupun memudahkn urusannya ia kembali kepada isterinya dengan mahar dan akad nikah yang baru selepas daripada berakhirnya iddah isteri (Ini bagi mereka yang menceraikan isteri talak satu dan dua). (Lihat Jami’ al-Bayan3/43-47)

Daripada al-Suddi, katanya:

في قوله: (وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا) قال: يطلق للسُّنة، ويراجع للسُّنة؛

Maksudnya: Pada mentafsirkan (Firman Allah Taala) “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya barangsiapa yang menceraikan isterinya secara sunnah dan merujuk isterinya juga secara sunnah. ( Lihat Jami’ al-Bayan3/43-47)

Daripada Qatadah, katanya:

يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: من شُبُهَات الأمور، والكرب عند الموت (وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ) : من حيث لا يرجو ولا يؤمل

Maksudnya: Firman Allah Taala diberikan baginya jalan keluar: maknanya jalan keluar daripada segala perkara syubhat dan kesuahan ketika mati dan firman Allah Taala diberikan baginya rezeki daripada yang tidak disangka-sangka maknaya daripada sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan tidak diharapkan. (Lihat Jami’ al-Bayan3/43-47)

Menurut al-Tabari, firman Allah SWT, ‘قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا’, maknanya sesungguhnya Allah SWT menjadikan sesuatu daripada talak, iddah dan selain daripadanya mempunyai sesuatu had dan tempoh serta kadar pengakhirannya. (Lihat Jami’ al-Bayan3/43-47)

Daripada al-Kalbi, beliau berkata:

وَمَنْ يَصْبِرْ عَلَى الْمُصِيبَةِ يَجْعَلِ اللَّه لَهُ مَخْرَجًا مِنَ النَّارِ إِلَى الْجَنَّةِ، وَقَرَأَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَخْرَجًا مِنْ شُبُهَاتِ الدُّنْيَا وَمِنْ غَمَرَاتِ الْمَوْتِ، وَمِنْ شَدَائِدِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Sesiapa yang sabar di atas sesuatu musibah yang berlaku maka dijadikan Allah Taala jalan keluar daripada neraka ke syurga, dan Nabi membaca ayat ini maka maknanya jalan keluar daripada syubhat dunia dan kedahsyatan mati serta daripada kesengsaraan hari akhirat. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/562)

Daripada Ibnu Abbas, al-Sya’bi dan al-Dahhak berkata:

هَذَا فِي الطَّلَاقِ خَاصَّةً، أَيْ مَنْ طَلَّقَ كَمَا أَمَرَهُ اللَّهُ يَكُنْ لَهُ مَخْرَجٌ فِي الرَّجْعَةِ فِي الْعِدَّةِ

Maksudnya: Ayat ini merupakan khusus untuk talak iaitu sesiapa yang menceraikan isteri seperti mana yang diperintahkan Allah Taala maka baginya jalan keluar iaitu jalan untuk merujuk isterinya kembali ketika isteri di dalam iddah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/160-162)

Daripada Hussain bin Fadhl berkata:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ فِي أَدَاءِ الْفَرَائِضِ، يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً من العقوبة. (وَيَرْزُقْهُ) الثواب مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ أَيْ يُبَارِكْ لَهُ فِيمَا آتَاهُ

Maksudnya: Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah pada menunaikan segala kewajipan Fardhu maka akan diberikannnya jalan keluar daripada segala balasan siksa dan diberikan rezeki iaitu pahala daripada yang tidak disangka-sangka iaitu Alah Taala akan memberkati setiap apa yang diberikan kepadanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/160-162)

Daripada Sahl bin Abdillah berkata:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ فِي اتِّبَاعِ السُّنَّةِ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً مِنْ عُقُوبَةِ أَهْلِ الْبِدَعِ

Maksudnya: Barangsiapayang bertaqwa kepada Allah pada mengikut sunnah Nabi SAW maka akan diberikannya jalan keluar daripada balasan seksa ahli bidaah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/160-162)

Daripada Umar bin Uthman al-Sodafi, katanya:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ فَيَقِفُ عِنْدَ حُدُودِهِ وَيَجْتَنِبُ مَعَاصِيَهُ يُخْرِجْهُ مِنَ الْحَرَامِ إِلَى الْحَلَالِ، وَمِنَ الضِّيقِ إِلَى السَّعَةِ، وَمِنَ النَّارِ إِلَى الْجَنَّةِ. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ مِنْ حَيْثُ لَا يَرْجُو

Maksudnya: Barangsiapa yang bertqwa kepada Allah Taala dan menjaga segala batas-batas hukumnya dan menjauhi segala perkara maksiat maka akan dikeluarkan baginya darpad yang haram kepada yang halal, daripada kesempitan kepada kesenangan, daripada neraka kepada syurga. Lalu diberikan rezeki daripada yang tidak disangka-sangka yang mana ia tidak harapkan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/160-162)

Sufyan Ibn ‘Uyainah berkata:

هُوَ الْبَرَكَةُ فِي الرِّزْقِ

Maksudnya: “Ia adalah keberkatan di dalam rezeki.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/160-162)

Ibnu Mas’ud dan al-Masruq telah menafsirkan ayat ini secara umum. Abu Dzar berkata Nabi SAW telah bersabda :

إِنِّي لَأَعْلَمُ آيَةً لَوْ أَخَذَ بِهَا النَّاسُ لَكَفَتْهُمْ- ثُمَّ تَلَا- وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ . فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا وَيُعِيدُهَا

Maksudnya: Sesungguhnya aku akan mengajarkanmu satu ayat apabila diamalkan ayat tersebut maka ia sudah mencukupi bagi mereka, kemudian Nabi SAW membaca وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجاً. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ Maka senantiasalah aku (Abu Dzar) mengulangi dan berteruran membaca dan mengamalkan ayat tersebut. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/160-162)

 

Kesimpulan

Setelah meneliti beberapa tafsiran para ulama berkaitan ayat ini, kami mendapati bahawa:

  • Setiap ayat al-Quran mempunyai kelebihan yang tertentu. Konsep taqwa dan tawakkal yang terdapat di dalam ayat ini membawa pengertian mendalam dan perlu diamal serta dihayati bersama.
  • Ayat ini bukanlah semata-mata membacanya akan mendapat ganjaran pahala seribu dinar bahkan maksud sebenarnya ayat ini adalah dari sudut amalan yang disertai dengan taqwa serta tawakal. Bahkan Allah SWT akan mengurniakan baginya ganjaran yang lebih daripada seribu dinar jika setiap amalan itu disertakan dengan taqwa, berdasarkan firman Allah SWT:

واللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

(Surah al-Baqarah:261)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H