#1099: Jawab Lafaz Azan Subuh

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana kita ingin menjawab azan Subuh pada lafaz ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Lafaz ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’ Pada Azan Subuh

Al-Tathwib (التَّثْوِيب) pada azan Subuh bermaksud apabila muazzin (tukang azan) melaungkan seruan ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’ (solat itu adalah lebih baik daripada tidur) selepas melaungkan ‘حي على الفلاح’. Ia dinamakan sebagai al-Tathwib kerana ia merupakan pengulangan seruan yang sama (seruan menunaikan solat) iaitu seruan ‘حي على الصلاة’ (marilah menunaikan solat). Setiap sesuatu yang kembali dilakukan, disebut di dalam bahasa Arab sebagai ‘ثَابَ إليه’. (Lihat al-Zahir fi Gharib Alfaz al-Syafi’i oleh al-Harawi, hlm. 54).

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata: Al-Tathwib ‘التثويب’ ketika azan Subuh dengan mengucapkan ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’ sebanyak dua kali selepas lafaz ‘حَى عَلَى الْفَلاَحِ’. Pada azan Subuh, selepas lafaz ‘حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ’ yang kedua, ditambah ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’ yang bermaksud: “Solat itu adalah lebih baik daripada tidur.” Lafaz azan di atas telah thabit dalam beberapa hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim dan yang lainnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/344).

Dalam sebuah hadith Abu al-Mahzurah, disebutkan:

فَإِنْ كَانَ صَلَاةُ الصُّبْحِ قُلْتَ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya:Jika solat Subuh, ucapkanlah: ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ’.”

Riwayat Abu Dawud (501), al-Nasa’i (2/7) dan Ahmad (3/408). Hadith ini dinilai sahih dalam takhrij al-Misykat (645).

Berdasarkan hadith ini, majoriti ulama menghukumkan al-Tathwib sebagai sunnah pada azan Subuh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/92 dan al-Mughni, 1/407).

Dalam riwayat Ibn Umar R.Anhuma pula dinyatakan:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ فِيْ الأَذَانِ الأَوَلِ بَعْدَ الْفَلاَحِ الصَّلاَةُ خَيْرٌ منَ النَّوْمِ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya:Ibn Umar berkata bahawa pada azan awal, setelah al-falah (ucapan) ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’ sebanyak dua kali.”

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا أَذَّنْتَ بِالأُولَى مِنَ الصُّبْحِ فَقُلْ: الصَّلاةُ خَيْرٌ مِنَ النَّوْمِ مَرَّتَيْنِ، وَإِذَا أَقَمْتَ فَقُلْهَا مَرَّتَيْنِ: قَدْ قَامَتِ الصَّلاةُ قَدْ قَامَتِ الصَّلاةُ

Maksudnya: “Jika engkau mengumandangkan azan pertama untuk Subuh, ucapkanlah ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’ dua kali, dan jika iqamah, maka ucapkanlah dua kali ‘قَدْ قَامَتِ الصَّلاةُ قَدْ قَامَتِ الصَّلاةُ’.”

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (779)

Maksud azan pertama dalam hadith ini adalah azan selepas terbit fajar, kerana Nabi SAW bersabda:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ

Maksudnya: “Antara dua azan, ada solatnya. Antara dua azan, ada solatnya.”

Riwayat al-Bukhari (624) dan Muslim (838)

Yang dimaksudkan dengan dua azan di sini adalah azan dan iqamah. Disebut demikian kerana kaedah taghlib.[1] (Lihat Sahih Muslim dengan ta‘liq Muhammad Fuad ‘Abd al-Baqi, 1/573).

Daripada Anas R.A, katanya:

مِنْ السُّنَّةِ إِذَا قَالَ اَلْمُؤَذِّنُ فِي اَلْفَجْرِ: حَيَّ عَلَى اَلْفَلَاحِ, قَالَ: اَلصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنَ اَلنَّوْمِ

Maksudnya:Termasuk amalan sunnah adalah apabila muazzin pada waktu fajar mengucapkan ‘حَيَّ عَلَى اَلْفَلَاحِ’, kemudian dia mengucapkan ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’ (solat itu lebih baik daripada tidur).”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1/202), al-Daraqutni (1/243) dan al-Baihaqi (1/423)

Menjawab Lafaz ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’ pada Azan Subuh

Berkenaan dengan hal ini, Imam al-Haramain al-Juwaini dan Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa apabila muazzin mengucapkan ketika azan Subuh, ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’, maka jawabnya adalah dengan mengucapkan, ‘صَدَقْت وَبَررْت’ (Benarlah seruan engkau dan engkau menjadi orang yang baik). (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 2/55; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/111; lihat juga al-Fiqh al-Manhaji, 1/347 dan Faidh al-Qadir, 1/379).

Manakala Imam al-Ghazali pula menyatakan bahawa ketika muazzin mengucapkan ‘الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنْ النَّوْمِ’, maka jawablah dengan mengucapkan, ‘صَدَقْتَ وَبَررْتَ وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِين’ (Benarlah seruan engkau dan engkau menjadi orang yang baik, dan aku atas yang demikian itu termasuk dalam kalangan orang yang menyaksikan). (Lihat Bidayah al-Hidayah, hlm. 36).

Begitu juga al-Rafi‘i turut menyebutkan, pada lafaz al-tathwib, hendaklah seseorang itu menjawabnya dengan menyebutkan, ‘صَدَقْتَ وَبَررْتَ’. Dalam satu wajah (pendapat) yang lain, menjawabnya dengan mengucapkan, ‘صَدَقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنَ النَّوْمِ’ (Benarlah Rasulullah SAW, solat itu adalah lebih baik daripada tidur). (Lihat Fath al-‘Aziz bi Syarh al-Wajiz, 3/205).

Baris Bacaan pada Lafaz ‘صَدَقْت وَبَررْت

Para ulama turut menjelaskan perkara ini, dan kami menukilkannya seperti berikut:

  • Syeikh Zakariyya al-Ansari menyatakan, pada ucapan al-tathwib hendaklah seseorang menjawabnya dengan mengucapkan ‘صَدَقْت وَبَرِرْت’ sebanyak dua kali, dengan dibaca baris bawah (kasrah) pada huruf ra’ yang pertama, berdasarkan khabar yang menyebutkan mengenainya. Ibn al-Rif‘ah pula menyebutkan, maksudnya ialah ‘صِرْت ذَا بِرٍّ’ (jadilah orang yang baik yakni yang memiliki kebaikan yang banyak. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 1/130).
  • Begitu juga al-‘Allamah Syeikh Muhammad al-Zuhri al-Ghamrawi turut menyatakan, pada ucapan al-tathwib dalam azan Subuh, seseorang hendaklah menjawabnya dengan menyebutkan, ‘صَدَقْتَ وَبَرِرْتَ’ dengan dibaca baris bawah (kasrah) pada huruf ra’ yang pertama dan sukun pada (huruf ra’) yang kedua. Maksudnya ialah ‘صِرْتَ ذَا بِرٍّ وَخَيْرٍ’ (Jadilah orang yang baik lagi memiliki kebaikan). Wallahu a‘lam. (Lihat al-Siraj al-Wahhaj ‘ala Matn al-Minhaj, hlm. 38).
  • Abu Bakar bin Muhammad Syatha al-Dimyati pula menyatakan, ucapan ‘صَدَقْتَ وَبَررْتَ’ (bagi menjawab al-Tathwib) dibaca dengan baris bawah (kasrah) pada huruf ra’ yang pertama. Namun, turut dinukilkan bahawa ia juga boleh dibaca dengan baris atas (fathah). Selain itu, dia menambah dalam kitab al-‘Ubab (dengan lafaz tambahan): ‘وَبِالْحَقِّ نَطَقْتَ’. Selain itu, dikatakan, dia juga boleh menjawabnya dengan menyebut: ‘صَدَقَ رَسُولُ اللهِ’. (Lihat Hasyiyah I‘anah al-Talibin, 1/280).
  • Demikianlah juga Ibn Hajar al-Haitami ada menyatakan, pada ucapan al-tathwib, seseorang boleh mengucapkan sebagai ganti bagi dua kalimatnya ketika menjawabnya dengan menyebutkan, ‘صَدَقْتَ وَبَررْتَ’ dengan dibaca baris bawah (kasrah) pada huruf ra’ yang pertama, dan ada juga yang berpendapat, ia dibaca dengan baris atas (fathah). Maksudnya ialah ‘صِرْتَ ذَا بِرٍّ’ iaitu jadilah orang yang memiliki kebaikan yang banyak. Selain itu, dikatakan, dia juga boleh menjawabnya dengan mengucapkan, ‘صَدَقَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ’ dan ia adalah bersesuaian. (Lihat al-Manhaj al-Qawim Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, hlm. 84).
  • Al-Mubarakfuri menukilkan kenyataan Mulla Ali al-Qari dalam al-Mirqah bahawa jika kamu mendengar laungan azan, maka jawablah seperti mana lafaz yang dilaungkan oleh muazzin kecuali pada ucapan hai‘alatain (الْحَيْعَلَتَيْنِ)[2], maka dia hendaklah menjawabnya dengan menyebut, ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاَللَّهِ’ dan begitu juga pada ucapan ‘الصلاة خير من النوم’, hendaklah dijawab dengan menyebut, ‘صَدَقْتَ وَبَرَرْتَ وَبِالْحَقِّ نَطَقْتَ’. Lafaz ‘بَررْتَ’ dibaca dengan baris bawah (kasrah) pada huruf ra’ yang pertama, dan ada juga yang berpendapat, ia dibaca dengan baris atas (fathah). Maksudnya, jadilah orang yang baik dan memiliki kebaikan yang banyak. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 1/525).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa terdapat beberapa lafaz yang boleh diucapkan bagi menjawab ucapan al-Tathwib tersebut. Kami ringkaskannya seperti mana berikut:

  • Boleh menjawabnya dengan mengucapkan: “صَدَقْتَ وَبَرَرْتَ” iaitu dengan baris atas pada huruf ra’ yang pertama atau “صَدَقْتَ وَبَرِرْتَ” iaitu dengan baris bawah pada huruf ra’ yang pertama.
  • Atau menambah selepas lafaz di atas dengan lafaz tambahan: “وَبِالْحَقِّ نَطَقْتَ”.
  • Atau boleh juga menjawabnya dengan mengucapkan: “صَدَقَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ”.
  • Atau mengucapkan: “صَدَقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنَ النَّوْمِ”.

Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita semua. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

[1] Lafaz-lafaz umum yang merangkumi semua cabang di bawah jenisnya, melainkan orang Arab dalam keadaan-keadaan tertentu menggunakan lafaz umum untuk memasukkan cabang yang lain disebabkan perkaitan antara keduanya yang mereka jelaskannya dalam bahasa mereka, dan inilah yang disebut sebagai al-Taghlib. Sebagai contoh, mengutamakan lafaz muzakkar (lelaki) bagi memasukkan lafaz muannath (perempuan).

[2] Iaitu lafaz “حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ” dan “حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ”.