Buku Fizikal
RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
eBahth Ilmi
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Kedudukan ahlu fatrah dalam Islam. Apakah mereka selamat daripada azab neraka?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Pertamanya kami definisikan dahulu ahli fatrah. Dari sudut bahasa, Ibn Manzur menyebut: Lafaz ‘الفَتَرُ’ atau dalam bentuk ‘الفَتْرَة’ pada dasarnya bermaksud ‘الضَّعُفُ’ iaitu lemah. Sebagaimana kebiasaan orang Arab berkata, ‘أَجِدُ فِي نَفْسِي فَتْرَةً’, yang bermaksud aku merasakan tubuhku terasa lemah. (Lihat Lisan al-’Arab, 5/43)
Syeikh Masyhur bin Hasan Alu Salman hafizhahullah mengatakan, “Yang benar, ahlu fatrah adalah orang-orang yang hidup di antara dua rasul. Rasul yang pertama tidak diutus kepada mereka (yakni dakwahnya tidak sampai ke masa hidup mereka), dan mereka belum menemui rasul yang kedua.” (Lihat Adillatu Mu’taqad Abi Hanifah al-A’zham fi Abawai al-Rasul oleh al-Allamah Ali bin Sultan Muhammad al-Qari, tahqiq Syaikh Masyhur bin Hasan bin Salman, hlm. 10)
Firman Allah SWT:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا
Maksudnya: “Dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.”
Surah al-Isra’(15)
Al-Tabari menukilkan bahawa Qatadah berkata: Allah tidak mengazab seseorang sebelum dia menerima berita daripada Allah, atau datang kepadanya keterangan yang jelas dari Allah. Allah juga tidak mengazab seseorang kecuali kerana dosanya.”
Imam Ibnu Kathir mengatakan, ”Ini merupakan pemberitaan keadilan Allah SWT. Yaitu Allah SWT tidak akan mengazab seorang pun kecuali setelah hujjah ditegakkan kepada orang tersebur dengan mengutus seorang Rasul kepadanya. Allah SWT berfirman :
كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ﴿٨﴾قَالُوا بَلَىٰ قَدْ جَاءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبْنَا وَقُلْنَا مَا نَزَّلَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ كَبِيرٍ
Maksudnya: “Setiap kali sekumpulan (orang-orang kafir) dilemparkan ke dalam neraka, penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan ?” Mereka menjawab, “Benar ada. Sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, tetapi kami mendustakan (nya) dan kami katakan: “Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar.”
Surah al-Mulk (8-9)
Kemudian, kami nyatakan di sini yang bahawa ahli fatrah tidak akan dimasukkan ke neraka kecuali diutuskan rasul kepada mereka. Inilah pendapat Ibnu Kathir. Di antara bangsa Arab yang hidup di zaman fatrah, ada yang sudah sampai kepadanya dakwah, lalu bertauhid, dan tidak berbuat syirik, maka dia pasti selamat. Seperti, Qais bin Sa’idah, Zaid bin ‘Amr Ibnu Nufail, Waraqah bin Naufal, dan lainnya yang disebutkan dalam nash-nash yang shahih bahwa mereka ini meninggal dalam keadaan bertauhid.
Sedangkan orang-orang yang sudah sampai kepadanya dakwah, tetapi tidak bertauhid, bahkan berbuat syirik, maka mereka pasti celaka. Seperti ‘Amr bin Luhay al-Khuza’i, Abdullah bin Jud’an, pemilik tongkat bengkok yang mencuri barang-barang jama’ah haji.
Mengenai kedudukan ahli fatrah di akhirat kelak berdasarkan hadith bahawa mereka akan diuji. Daripada al-Aswad bin Sari’, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَرْبَعَةٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ رَجُلٌ أَصَمُّ لاَ يَسْمَعُ شَيْئًا وَرَجُلٌ أَحْمَقُ وَرَجُلٌ هَرَمٌ وَرَجُلٌ مَاتَ فِي فَتْرَةٍ فَأَمَّا اْلأَصَمُّ فَيَقُولُ رَبِّ لَقَدْ جَاءَ اْلإِسْلاَمُ وَمَا أَسْمَعُ شَيْئًا وَأَمَّا اْلأَحْمَقُ فَيَقُولُ رَبِّ لَقَدْ جَاءَ اْلإِسْلاَمُ وَالصِّبْيَانُ يَحْذِفُونَنِي بِالْبَعْرِ وَأَمَّا الْهَرَمُ فَيَقُولُ رَبِّي لَقَدْ جَاءَ اْلإِسْلاَمُ وَمَا أَعْقِلُ شَيْئًا وَأَمَّا الَّذِي مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ فَيَقُولُ رَبِّ مَا أَتَانِي لَكَ رَسُولٌ فَيَأْخُذُ مَوَاثِيقَهُمْ لَيُطِيعُنَّهُ فَيُرْسِلُ إِلَيْهِمْ أَنْ ادْخُلُوا النَّارَ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَوْ دَخَلُوهَا لَكَانَتْ عَلَيْهِمْ بَرْدًا وَسَلاَمًا وَفِيْ رِوَايَةٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :فَمَنْ دَخَلَهَا كَانَتْ عَلَيْهِ بَرْدًا وَسَلاَمًا وَمَنْ لَمْ يَدْخُلْهَا يُسْحَبُ إِلَيْهَا
Maksudnya: “Pada hari kiamat ada empat orang yang akan mengadu kepada Allah iaitu seorang yang tuli, tidak mendengar sesuatu pun; seorang yang amat bodoh; seorang yang amat tua; dan seorang yang meninggal dunia di zaman fatrah.
Adapun orang yang tuli akan mengatakan, ‘Ya Tuhanku, agama Islam telah datang, namun aku tidak mendengar sesuatu pun.’
Sementara orang yang amat bodoh akan mengatakan, ‘Ya Tuhanku, agama Islam telah datang, sedangkan anak-anak kecil melempariku dengan najis binatang”.
Adapun orang yang amat tua akan mengatakan: “Ya Tuhanku, agama Islam telah datang, sementara aku dalam keadaan tidak berakal sedikit pun.”
Dan orang yang mati di zaman fatrah akan mengatakan: “Ya Tuhanku, tidak ada seorang rasul pun yang datang kepadaku.’ Maka Allah mengambil perjanjian mereka bahawa mereka benar-benar akan mentaati-Nya.
Kemudian Allah mengutus utusan kepada mereka yang mengatakan, ‘Masuklah kalian ke dalam neraka!”. Nabi SAW bersabda: “Demi (Allah) Yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, seandainya mereka memasukinya, sesungguhnya neraka itu menjadi sejuk dan selamat bagi mereka”.
Pada riwayat yang lain daripada Abu Hurairah katanya: “Barangsiapa memasukinya, sesungguhnya neraka itu menjadi sejuk dan selamat baginya. Dan barangsiapa tidak memasukinya, dia diseret ke dalamnya.”
Hadith riwayat Ahmad, no. 15866. Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani di dalam Sahih al-Jami’ al-Saghir, no. 894)
Berdasarkan nas di atas, bahawa ahli fatrah akan diuji pada hari akhirat kelak. Mereka yang berjaya akan dimasukkan ke syurga. Sebaliknya, mereka yang gagal akan dihumban ke dalam neraka.
Semoga Allah SWT selamatkan kita di dunia dan di akhirat. Saya akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 22 Mac 2023 bersamaan 29 Syaaban 1444H