#1168: Derma Darah Ketika Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh ke tidak saya melaksanakan derma darah ketika sedang berpuasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Saya nyatakan bahawa menderma darah adalah sifat yang terpuji dan ia termasuk dalam bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan. Firman Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ 

Maksudnya:  “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Kita yakin dengan asbab kita menolong seseorang, ia dapat menyelamatkan nyawanya dan sudah pasti ganjaran Allah SWT kepada kita amat besar. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan ia tidak membatalkan puasa dengan syarat orang yang berpuasa selamat daripada merasa lemah atau membawa kebinasaan. 

Mufti Mesir Dr Syauqi ‘Allam memberi pendapat seperti yang di atas bertarikh 26 Mac 2023 dalam wawancara rancangan Al-Quran ‘Allama al-Insan. Walaupun begitu, amatlah baik untuk kita mengelakkan derma darah pada siang hari tetapi kita laksanakannya pada malam hari untuk keluar daripada khilaf hadith Nabi SAW.

Bertarikh: 30 Mac 2023 bersamaan 8 Ramadhan 1444H