Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Dahulu saya pernah memberi makan kepada beberapa ekor kucing yang terbiar dan lama kelamaan kucing semakin banyak yang datang ke rumah saya sehingga menyebabkan najis merata-rata dan tidak terkawal. Soalan saya, bolehkah saya membuang kucing-kucing itu atau sebahagiannya ke tempat lain yang jauh dari rumah saya tetapi banyak makanan (mungkin yang dapat ditangkap olehnya) seperti pasar, hutan atau seumpamanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kucing ialah sejenis binatang yang kecil, berbulu lembut dan tebal, dipelihara sebagai binatang kesayangan, biasanya untuk menangkap tikus.[1] Di dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan bahawa kucing ialah haiwan kesayangan kegemaran manusia di seluruh dunia. Kucing adalah pintar dan mempunyai sifat berdikari. Haiwan kecil ini juga suka bermain-main dan menghiburkan. Banyak kucing dijadikan haiwan kesayangan yang penyayang, setia, dan menjadi teman bagi manusia semua peringkat umur. Perkataan kucing juga merujuk kepada famili haiwan pemakan daging yang termasuk harimau, singa, harimau bintang dan harimau kumbang. Famili ini juga termasuk kucing bela jinak — iaitu kucing yang dibela sebagai haiwan kesayangan.
Kucing berbeza-beza wataknya dan ciri fizikal tertentu, seperti panjang dan warna bulunya. Terdapat banyak baka kucing. Ciri khas membezakan setiap baka daripada baka yang lain. Antara baka kegemaran ialah kucing Siam, kucing Burma dan kucing Parsi. Tiada siapa yang tahu dengan tepat bila kucing mula dijinakkan. Tetapi sesetengah autoriti percaya bahawa kucing dijinakkan lebih kurang 5000 tahun dahulu. Sepanjang sejarah, manusia menghargai kucing kerana kemahirannya memburu dan membunuh mencit, tikus dan ular. Kucing membantu menjadikan ladang, rumah, dan tempat perniagaan bebas daripada haiwan perosak ini. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 11/520-521).
Mencit. Kredit: https://static.educalingo.com/img/ms/800/mencit.jpg
Tambahan lagi, kucing merupakan haiwan yang suci dan selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”
Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)
Keduanya, agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik (Ihsan) kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Taubah: 128)
Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).”
(Surah al-Ma’idah: 13)
Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123).
Seterusnya, Islam melarang keras perbuatan menzalimi haiwan. Hal ini kerana nyawa haiwan adalah dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat daripadanya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ! وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا
Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung ‘usfur dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”
Riwayat al-Nasa’i (4349); al-Darimi (1978); al-Zahabi menyatakan dalam al-Muhazzab (7/3614), sanadnya adalah baik.[2]
Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin menyatakan, ini menunjukkan hukumnya adalah makruh, dan jika dikatakan hukumnya adalah haram, maka terdapat alasan kukuh bagi perkara itu kerana ia termasuk dalam perbuatan yang sia-sia, pembaziran harta dan membuang masa. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, jika dia tidak bermaksud untuk mengambil manfaat daripadanya, maka ia adalah haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam melakukan kerosakan di atas muka bumi, dengan mensia-siakan nyawa. (Lihat Fath al-Bari, 9/602).
Larangan menyakiti dan menzalimi haiwan turut dinyatakan secara jelas dalam hadith, di mana seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW telah bersabda:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
Maksudnya: “Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.”
Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:
لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.”
Riwayat al-Bukhari (2365)
Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, dinyatakan bahawa haiwan itu hendaklah dicegah sedikit demi sedikit meskipun ia akan menyebabkannya kepada kematiannya seperti haiwan yang mengganggu/berbahaya (ganas). Sebahagian mereka menyatakan, jika haiwan itu dapat dicegah dengan hanya menakutkannya (atau menghalaunya) tetapi ia akan kembali semula dan melakukan kerosakan yang ingin dicegah dalam keadaan tidak sedar dan hal itu juga berulang kali berlaku, maka dibolehkan untuk membunuhnya, sekalipun dalam keadaan tidak memudaratkan/membahayakan. Hal ini kerana kejahatan/kerosakannya tidak terjamin dalam dielakkan melainkan dengan cara membunuhnya. (Lihat Hasyiata Qalyubi dan ‘Umairah, 4/214).
Begitu juga haiwan seperti kucing jika mengganggu dan melakukan kerosakan boleh disamakan dengan anjing gila dan binatang bias sehinggakan ia boleh dibunuh jika tidak ada lagi jalan lain bagi mengatasi kerosakannya melainkan dengan cara itu sahaja. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (11/312) bahawa:
فَالبَهِيمَةُ إذا صَالَتْ صَارَتْ بِمَثَابَةِ الكَلْبِ العَقُورِ والسَّبُعِ الضَّارِي
Maksudnya: “Haiwan jika ia mengganggu/melakukan kerosakan, boleh disamakan dengan anjing gila dan binatang buas (yang berbahaya).”
Tambahan lagi, al-Baijuri juga ada menyatakan, setiap haiwan yang menimbulkan kerosakan, seperti kucing yang diketahui menyebabkan kerosakan kepada burung, makanan dan sebagainya, pemiliknya mesti menggantikannya dan dia mesti mencegahnya sedikit demi sedikit seperti haiwan yang mengganggu/berbahaya. (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh al-Ghazzi ‘ala Matn Abi Syuja‘, Cet. DKI, 2/469).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan tidak menjadi masalah untuk membuang kucing-kucing yang menimbulkan kerosakan jauh dari kawasan rumah ke tempat yang sesuai seperti pasar dan seumpamanya, dengan harapan ia tidak kembali lagi ke kawasan rumah untuk mengganggu atau melakukan kerosakan. Ini kerana ia termasuk dalam salah satu cara untuk mencegah kerosakan yang dilakukan oleh kucing tersebut.
Tambahan lagi, apa yang dilarang adalah mengurung kucing dan membiarkannya mati kelaparan. Sebaliknya, jika membiarkannya bebas berkeliaran di tempat-tempat yang sesuai yang dirasakan kawasan tersebut boleh untuknya mencari makanannya sendiri, maka tidak termasuk dalam larangan yang disebutkan dalam hadith di atas, orang tersebut sudah terlepas tanggungjawabnya ke atas kucing itu.
Selain itu, kami juga mencadangkan, jika kucing itu asalnya adalah kucing rumah yang dipelihara, maka adalah lebih baik untuknya diiklankan lalu diberikan kepada orang lain yang sanggup untuk memeliharanya ataupun menyerahkannya kepada pusat perlindungan kucing.
Begitu juga kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia, apakah di sana terdapat akta atau larangan bagi membuang kucing di kawasan-kawasan tertentu seperti pasar dan seumpamanya. Jika tiada, maka dibolehkan untuk membuangnya ke kawasan tersebut, dan sekiranya ada, maka carilah kawasan yang sesuai yang dibenarkan ataupun serahkanlah kucing itu kepada orang lain yang sanggup untuk memelihara dan menjaganya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kucing. Diakses pada 30 Disember 2021.
[2] Begitu juga Ibn al-Mulaqqin menilainya sebagai sahih dalam al-Badr al-Munir (9/376). Manakala Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih (1/368) menilainya sebagai hasan, dan begitu juga ia dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Targhib (1092).