#5608: Kisah Sedekah Menyembuhkan Sakit Anak Kecil

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah dato ceritakan satu kisah tentang sedekah ini boleh menyembuhkan penyakit?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah Sedekah Menyembuhkan Sakit Anak Kecil

Kisah ini diceritakan oleh Syeikh Sulaiman bin ‘Abd al-Karim al- Mufarraj:

Orang yang mengalami kisah ini menceritakan sendiri kepadaku, katanya: “Anak perempuan saya yang masih kecil menderita penyakit di tekak. Saya membawanya ke beberapa hospital. Saya menceritakan penyakitnya kepada banyak doktor, namun tidak ada hasilnya. Dia belum juga sembuh, bahkan sakitnya bertambah parah. Hampir sahaja saya ikut jatuh sakit kerana sakit anak perempuan saya yang mengundang kesedihan seluruh keluarga.

Akhirnya doktor memberinya suntikan untuk mengurangkan rasa sakit, sehingga kami berputus asa daripada semuanya kecuali daripada rahmat Allah SWT. Hal itu berlarutan sehingga datangnya sebuah harapan dan dibukanya pintu kelapangan. Seorang yang soleh menghubungi saya dan menyampaikan hadith Rasulullah SAW:

دَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Rawatlah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah.”

Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105) daripada al-Hasan al-Basri; al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3/1310) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2/274). Syeikh al-Ghumari menilai hadith ini sebagai sahih.

Saya berkata, “Saya telah banyak bersedekah.” Dia menjawab, “Bersedekahlah pada kali ini dengan niat untuk kesembuhan anak perempuanmu.”

Saya pun mengeluarkan sedekah sekadarnya untuk seorang fakir, tetapi tidak ada perubahan.

Saya kemudian memberitahunya dan dia berkata, “Engkau adalah orang yang banyak mendapat nikmat dan kurniaan Allah SWT. Bersedekahlah setanding dengan banyaknya harta benda kamu.”

Saya pun pergi untuk kali yang kedua. Saya penuhi isi kereta saya dengan beras, ayam dan bahan-bahan makanan lain dengan menghabiskan wang yang cukup banyak. Saya lalu membahagikannya kepada orang-orang yang memerlukan dan mereka berasa gembira dan senang hati dengan sedekah saya.

Demi Allah, saya tidak pernah menyangka bahawa selepas saya mengeluarkan sedekah itu, anak saya tidak perlu disuntik lagi. Anak saya sembuh sepenuhnya. Alhamdulillah.

Saya yakin bahawa faktor (yang menjadi sebab) yang paling besar, yang dapat menyembuhkan penyakit adalah sedekah. Sekarang sudah tiga tahun berlalu. Anak saya itu tidak merasa sebarang penyakit apa pun. Semenjak itu, saya banyak mengeluarkan sedekah, khususnya dalam bentuk wakaf. Setiap saat saya merasakan hidup penuh kenikmatan, keberkatan, sihat sejahtera sama ada pada diri peribadi mahupun keluarga saya.

Saya mewasiatkan kepada semua orang sakit untuk bersedekah dengan harta mereka yang paling mereka cintai, dan mengeluarkan sedekah terus menerus. Nescaya Allah SWT akan menyembuhkannya walaupun hanya sebahagian penyakit. Saya yakin kepada Allah SWT dengan apa yang saya ceritakan. Sesungguhnya Allah SWT tidak mengabaikan balasan untuk orang-orang yang melakukan kebaikan. (Lihat Wasfah ‘Ilajiyyah Tuzilu Kaffah al-Amradh bi al-Kulliyyah, hlm. 5)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ أَعْمَالَنَا كُلَّهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الْكَرِيمِ، وَتَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah kesemua amalan kami ini Ikhlas kerana  mengharapkan wajah-Mu yang Mulia, dan terimalah doa kami ini, sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam.