#5731: Wanita dalam Ihram Memakai Skincare

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita dalam ihram memakai skincare untuk menjaga kulit seperti memakai pelembap muka dan lipstik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, pemakaian skincare seperti pelembap muka dan lipstik adalah termasuk dalam perkara pakaian dan perhiasan. Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah diharuskan sama ada di badan, pakaian atau tempat, dan hukumnya berlanjutan sedemikian (yakni halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90). Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Sehubungan dengan itu, pemakaian skincare seperti pelembap muka dan lipstik bagi wanita dalam ihram adalah diharuskan selagi mana tiada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Begitu juga penggunaannya itu, tujuannya bukanlah untuk berwangi-wangian kerana memakai wangi-wangian termasuk dalam larangan ihram.

Namun, sekiranya skincare itu penggunaannya adalah kerana suatu keperluan seperti lip balm untuk mengelakkan kulit merekah, minyak angin kerana terseliuh, iodin kerana luka, sabun untuk membersihkan dan seumpamanya, maka penggunaannya adalah tetap diharuskan sekalipun ia ada bau wangi kerana tujuan utamanya bukanlah untuk berwangi-wangian tetapi kerana keperluan tersebut.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”