#5945: Tanda Taubat Diterima

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita dapat mengetahui tanda-tanda taubat diterima?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Surah al-Nur (31)

Ibn Kathir berkata: Lakukanlah apa yang aku perintahkan kamu dengannya, dan semua sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji. Pada saat yang sama, tinggalkanlah perangai ahli jahiliyyah dan sifat buruk mereka. Ini kerana kejayaan dan kemenangan yang sebenar dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/50).

Begitu juga dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima taubatnya.”

Riwayat al-Bukhari (2661)

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (4/1616) menyebut: Iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka Allah SWT akan menerima taubatnya berdasarkan firman-Nya:

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat).”

Surah al-Syura (25)

Al-Qurtubi berkata: Allah pasti mengampunkan sebarang bentuk dosa iaitu dari perlakuan syirik sebelum mereka Islam. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan dari kebaikan dan kejahatan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/27)

Dalam menjawab persoalan di atas, berkenaan tanda-tanda Allah SWT menerima taubat seseorang ialah antaranya apabila sikap dan akhlaknya berubah, jiwanya menjadi dekat dan kasih dengan masjid, akhlak dan bahasanya baik, dia merasa seronok untuk melakukan ibadat serta dia tetap berterusan memohon keampunan kepada Allah SWT. Maka itu adalah merupakan antara tanda Allah SWT menerima ibadatnya.

Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama’ menyebut: Taubat seseorang dapat diketahui pada empat perkara:

  • Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
  • Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
  • Jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
  • Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada Tuhannya. (Lihat Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya’ wa al-Mursalin, hlm. 109).

Sebahagian ahli hikmah telah ditanya: “Adakah ada tanda bahawa taubat seseorang itu telah diterima?” Mereka menjawab: “Ya, empat tanda taubatnya diterima, iaitu:

  • Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
  • Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
  • Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia daripada hatinya, dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
  • Percaya dan yakin dengan jaminan Allah SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, 110).

Justeru, mereka menyebut apabila terdapat semua sifat tersebut, maka termasuklah dia dari kalangan mereka yang disebut oleh Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Surah al-Baqarah (222)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”